Malaysia dilanda banjir? Salah siapa?
Kejadian banjir yang melanda negara pada dua hari lepas telah mengemparkan semua pihak. Pada masa yang sama, kemungkinan banjir itu boleh diatasi atau dikawal dengan lebih baik turut wujud. Kenapa saya berkata demikian?
Pertama, bukanlah kita seharusnya dengan keupayaan teknologi ramalan cuaca yang moden sudah mempunyai tanda-tanda akan berlakunya hujan dalam tempoh atau jangka masa tertentu itu. Tidakkah kita boleh menggunakan data ramalan itu untuk membuat ramalan sama ada banjir akan berlaku, sama ada bantuan perlu disediakan lebih awal, sama ada sistem amaran banjir atau mekanisme untuk memberikan bantuan dihidupkan terus pada masa yang sama? Ringkasnya, kita boleh bersedia jika berlaku perkara sebegini dengan lebih baik dengan membandingkan data-data yang dikumpul sebelum ini untuk menjadikan ramalan itu lebih baik pada masa depan.
Kedua, kejadian banjir ini juga mengesahkan bahawa banyak aspek pembangunan di negara ini yang dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang aspek perancangan atau ketelitian dalam memastikan kelestarian alam sekitar. Kita terus sahaja membina bangunan di sesuatu kawasan itu tanpa mengambil kira kepadatan penduduk, kepadatan bangunan, dan paling penting kewujudan pokok-pokok yang mampu menghalang berlakunya kejadian banjir ini. Bangunan dibina kerana mengutamakan keuntungan walaupun kawasan itu sudah mempunyai kepadatan penduduk yang terlalu tinggi. Pembangunan sebegini pastinya akan menyukarkan pengaliran air yang lancar.
Ketiga, penyelenggaraan sistem saliran kita pastinya kurang memuaskan kerana kejadian banjir yang berlaku banyak disebabkan oleh sistem parit atau longkang yang tidak dijaga selia dengan sempurna lalu aliran air akan mudah tersekat apabila jumlah air yang melaluinya meningkat secara mendadak itu. Pemeriksaan parit yang tersumbat atau longkang yang tersekat seharusnya dilakukan oleh pihak berkuasa tanpa perlu mendapat aduan daripada masyarakat. Pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam hal ini seharusnya meronda lalu membuat tindakan susulan segera.
Aspek keempat, bagaimanakah dengan nasib mereka yang mengalami banjir ini? Pastinya rumah mereka akan rosak? Peralatan rumah mereka akan musnah? Kerja mereka akan terjejas? Adakah pihak tertentu seperti bank akan membantu meringankan beban terutama aspek pembayaran ansuran rumah atau kereta? Bagaimana pula dengan majikan dalam membantu pekerja yang terpaksa menanggung kerugian itu?
Namun, dalam mengkritik pihak tertentu dalam isu banjir ini, sekalung tahniah kepada pihak berkuasa terutama bomba, RELA dan polis serta lain-lain yang sudah menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin terutama untuk memindahkan mereka yang terperangkap dalam kejadian banjir itu. Kesungguhan mereka bekerja seharusnya diberi pujian dan penghargaan oleh pihak berkuasa. Begitu juga dengan kepantasan pihak NGO yang menggunakan kawasan atau bangunan mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir itu harus diberi sanjungan tinggi juga.
Cuma, masalah banjir sebegini tidak akan selesai kerana kita selalu menyalahkan cuaca sebagai punca yang tidak boleh dikawal atau menyalahkan takdir perkara ini berlaku. Takdir Tuhan dan cuaca merupakan perkara yang kita tidak boleh tentukan atau kawal (lalu menerima dengan baik) tetapi pengenalan sistem amaran banjir, sistem ramalan cuaca yang baik, mekanisme penghantaran bantuan yang segera, menghulurkan bantuan dan kesanggupan atau kesudian membantu merupakan perkara yang kita sebagai manusia boleh lakukan.
Jadi, apa yang kita akan buat selepas ini? Masih menggunakan kaedah lama iaitu menunggu sahaja hujan turun dua hari dan seluruh negara mengalami banjir.
Kes buli terus berlaku
Kes buli terus berlaku
Kejadian kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh telah menjadi tumpuan. Ketika penulisan inin dihasilkan masih belum jelas situasi sebenar walaupun sudah ada kenyataan bahawa pihak berkuasa terutama pihak polis sudah memulakan siasatan mereka. Kejadian buli ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang sistem pendidikan negara.
Pelbagai persoalan timbul terutama sebab berlakunya kejadian ini di sebuah sekolah yang ditubuhkan untuk melahirkan golongan profesional negara pada masa depan. Sekolah yang mengandungi pelajar yang memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Sekolah yang diberi pelbagai kemudahan yang baik, tenaga pengajar yang berkelayakan dan sebagainya. Banyak pihak menyoalkan aspek pemantauan pihak sekolah dan asrama malah ada yang mempersoalkan tindakan pemantauan ibu bapa pelajar yang terbabit itu pula.
Buat saya pertanyaan yang paling ingin saya ketahui ialah mengapakah budaya buli ini masih dibenarkan untuk berlaku pada masa ini? Bagaimana pula dengan tanggungjawab pihak sekolah dalam isu ini? Adakah kes buli turut berlaku di sekolah biasa? Jika berlaku mengapakah kejadian ini tidak dilaporkan? Atau apakah tindakan-tindakan yang pihak sekolah biasa lakukan lalu berjaya mengawal isu ini? Atau kes buli berlaku tetapi tidak dihebohkan.
Pihak kementerian pendidikan dan pihak sekolah perlulah menggariskan tindakan-tindakan yang akan mereka ambil sepanjang kes ini menjadi perbualan masyarakat kerana tanpa tindakan yang konkrit (bukan setakat untuk meredakan kecaman masyarakat sahaja) isu buli ini akan terus menjadi masalah pada masa depan. Urutan peristiwa kejadian ini juga perlu diketengahkan supaya semua pihak memahami bagaimana kejadian buli ini boleh berlaku untuk tindakan susulan nanti.
Kita sudah banyak kali melihat pelbagai kes disiplin yang melanda sekolah tidak diambil tindakan yang memuaskan semua pihak. Kita juga jarang mendengar tindakan yang akan dilakukan kepada pihak yang terbabit kerana sama ada kita semua setuju atau tidak sedikit sebanyak pihak sekolah turut memikul tugas dalam kejadian ini. Pada masa yang sama, sudah banyak kali pihak media massa mengetengahkan isu ini terutama dengan idea dan komen pakar-pakar tentang kejadian ini tetapi kes buli terus berlaku.
Satu mekanisme fizikal yang teratur perlu diwujudkan. Bukan lagi setakat program didikan agama dan moral tetapi SOP yang perlu dipatuhi apabila sesuatu laporan tentang kejadian disiplin mula diketahui atau dibuat oleh seseorang pelajar. Satu kaedah melaporkan aduan yang mudah perlu diwujukan. Satu sistem tindakan susulan perlu diwujudkan. Satu laporan aduan kejadian perlu dilaporkan. Kewujudan satu SOP ini akan memudahkan sebarang usaha untuk mengesan kesilapan yang berlaku apabila kejadian seumpama ini berulang lagi daripada kita hanya menyalahkan situasi sahaja. Individu yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya kerana kejadian menumbuk pelajar bukanlah satu perkara yang boleh diambil rendah. SOP ini juga akan memudahkan tindakan pembetulan dilakukan pada masa depan jika buli berlaku. Atau sudah wujud SOP untuk kes buli? Lalu jika SOP sebegini sudah wujud mengapakah kejadian ini masih berlaku?
Pada masa yang sama, tindakan susulan hendaklah diberikan kepada ibu bapa mangsa dan mangsa buli itu. Bantuan daripada aspek sokongan dan pelbagai bantuan lain perlu diberikan kerana mangsa buli pastinya mengalami trauma yang mendalam dalam hidup mereka. Pihak berkuasa hendaklah bertanggungjawab kerana perkara ini berlaku di kawasan mereka dan ketika mereka belajar di bawah pemantauan mereka juga. Begitu juga dengan pembuli-pembuli itu. Satu bentuk bantuan psikologi perlu diberikan selain bentuk hukuman yang sewajarnya atas tindakan negatif yang telah dilakukan oleh mereka kepada pelajar lain itu.
Kita seharusnya dalam era moden ini telah menghapuskan buli di sekolah kerana amalan ini bertentangan dengan nilai-nilai murni kemanusiaan dan keagamaan di dunia ini. Namun, buli terus berlaku kerana sikap masyarakat yang enggan melihat masalah ini sebagai serius tetapi membiarkannya menjadi satu kejadian tahunan yang bakal berlaku pada masa depan. Masyarakat kita enggan berbahas dalam isu serius sebegini tetapi teruja apabila membicarakan aktivit-aktiviti yang dilakukan oleh artis-artis pula.
Buli perlu dihapuskan.
Bangunan tinggi dan rakyat
Antara bangunan tinggi dan kehidupan rakyat biasa
Bangunan Merdeka 118 sudah mula diperkatakan dalam media massa sebagai bangunan yang kedua tertinggi di dunia dalam sedikit masa lagi. Sudah pasti kejayaan ini satu pencapaian yang menarik buat arkitek dan syarikat yang memiliki bangunan itu. Pembinaan sebesar ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun, dalam keghairahan kita menerima berita ini harus kita merenung sejenak realiti kehidupan sebenar yang sedang melanda negara dan rakyat secara keseluruhannya.
Ada bangunan sebegini pastinya ada pihak yang memberikan hujah bahawa wang yang digunakan untuk membina bangunan ini bukanlah wang kerajaan tetapi duit swasta. Ada juga yang akan menggunakan hujah bahawa kewujudan bangunan ini memberikan projek yang banyak kepada syarikat pembinaan yang mengupah ribuan pekerja. Malah, ada pihak yang akan melihat pembinaan bangunan ini memberikan peluang kerja kepada ribuan rakyat tempatan apabila siap kerana ruang pejabat yang ada perlu diisi. Ada juga yang mengaitkan kewujudan bangunan kedua tinggi ini akan memberikan satu lonjakan semangat kepada rakyat ketika era pandemik berlangsung.
Namun, persoalan yang paling penting ialah adakah kewujudan bangunan kedua tertinggi ini penting? Tidak wajarkah jika bangunan ini hanya 25 tingkat sahaja? Perlulah membina bangunan tinggi-tinggi di negara yang mempunyai kawasan yang masih luas dan populasi yang agak kecil ini? Adakah bangunan tertinggi sebegini melambangkan kemajuan negara itu? Adakah betul akan ramai rakyat negara ini diambil bekerja atau lebih banyak pekerja asing terutama golongan profesional yang akan memenuhi ruang pejabat di bangunan itu?
Manakala, realiti kehidupan rakyat Malaysia sekarang ialah pandemik ini masih terus berlaku walaupun angka kes kelihatan agak stabil. Jumlah pengangguran pastinya besar walaupun saya sendiri tidak pasti tetapi melihat kewujudan warung-warung di tepi jalan mengesahkan dakwaan ini. Pelajar-pelajar sekolah masih tidak mengalami proses pembelajaran yang sebenar walaupun tanda-tanda perubahan mula kelihatan. Ekonomi negara masih agak perlahan walaupun sudah ada cadangan untuk menghidupkan semula projek kereta api laju (pada hal Malaysia yang menamatkannya dengan membayar denda jutaan ringgit kepada negara jiran sebagai tanda bayaran pampasan pembatalan projek). Pekerja masih takut untuk ke pejabat walaupun majikan sudah mula mendesak.
Kalau kita lihat negara-negara maju yang diiktiraf oleh dunia (bukannya dilaungkan oleh negara itu sendiri) seperti Jepun, Sweden, Norway, dan sebagainya sudah pasti negara itu tidak banyak bangunan setinggi ini (akan ada pihak yang menggunakan hujah negara-negara ini mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi). Rakyat negara-negara ini terutamanya Sweden dan Norway sering mendapat tempat teratas dalam indeks kajian masyarakat dunia dalam aspek pendidikan, pekerjaan, kesihatan, kebajikan rakyat , keselamatan diri, dan kegembiraan hidup mereka. Adakah negara kita berani untuk mengakui kedudukan kita dalam ranking dunia dalam semua aspek yang dihuraikan tadi? Bagaimana dengan kedudukan ranking negara dalam aspek amalan rasuah? Atau rangking yang dinyatakan tadi tidak memberikan kepentingan kepada Malaysia lalu melihat kedudukan mempunyai bangunan tertinggi di dunia itu sebagai melebihi segala-galanya.
Buat saya memiliki bangunan kedua tertinggi di dunia bukanlah sesuatu yang penting tetapi mempunyai peluang untuk memperoleh rezeki setiap bulan yang mampu menampung kehidupan itu yang menjadi impian. Mungkin juga impian saya ini dikongsi oleh insan-insan lain yang mendiami negara Malaysia ini. Atau mungkin wang yang digunakan untuk membina bangunan kedua tertinggi ini digunakan untuk membina lebih banyak flat atau rumah teres mampu milik yang akan menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera pada masa depan. Mungkin jika dunia mengesahkan rakyat Malaysia mempunyai pendapatan kedua tertinggi di dunia itu menjadi berita yang kita semua patut raikan bersama-sama. Sementara menanti waktu itu tiba, saya hanya mampu melihat dari jauh ketinggian bangunan kedua tertinggi di dunia ini.
Kenderaan tanpa pemandu memacu perubahan global
Dunia mula melakukan ujian kenderaan tanpa pemandu tetapi Malaysia…
Laporan media massa luar negara menyatakan bahawa Singapura merupakan negara ke-4 di dunia yang dikatakan sebagai negara yang bersedia untuk menerima konsep pemanduan kenderaan tanpa pemandu (driverless transport). Negara jiran Malaysia itu mengikuti Sweden, China dan Belanda yang merupakan negara yang berada di tangga teratas dalam senarai kajian ini.
Laporan kajian ini dibuat berdasatkan kepada kesungguhan negara itu untuk memajukan sektor ini dengan melakukan beberapa tindakan awal seperti mewujudkan kawasan ujian yang boleh menerima kewujudan sistem kenderaan tanpa pemandu ini. Namun, kita harus sedar bahawa kelebihan Singapura juga disebabkan oleh kesediaan penduduk negara itu yang sanggup menggunakan pengangkutan awam berbanding dengan negara lain terutamanya Malaysia. Penggunaan aplikasi navigasi di negara itu juga agak tinggi yang memberikan tanda-tanda bahawa penduduk negara itu bersedia untuk menerima perubahan yang lebih ketara dalam sistem pengangkutan terutama pengangkutan awam pada masa depan.
Pengenalan pengangkutan tanpa pemandu boleh membawa beberapa kebaikan kepada sesebuah negara terutama kota raya yang semakin dipenuhi dengan kenderaan dan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi itu. Kelebihan utama pengangkutan tanpa pemandu ialah kenderaan jenis ini dikatakan mampu untuk mengurangkan kadar kemalangan kerana peratusan kemalangan jalan raya yang berlaku banyak disebabkan oleh kesilapan manusia atau pemandu itu sendiri seperti tidur dan mengambil minuman keras yang berlebihan. Kalau pembaca sedia maklum sekarang ini banyak kenderaan baharu yang dilengkapkan dengan sistem ADAS atau dikenali dengan nama sistem keselamatan pemanduan terkini yang berguna ketika melakukan perhentian kecemasan dan sebagainya.
Malah, kemajuan utama dalam sistem pengangkutan tanpa pemandu ini lebih banyak diterajui oleh kenderaan persendirian terutamanya oleh syarikat seperti Tesla dan Baidu serta General Motors. Namun, syarikat Ford juga dikatakan sudah mula melakukan pelbagai ujian kereta tanpa pemandu kerana mereka sudah mula melihat kemungkinan kenderaan sebegini menjadi pilihan generasi akan datang.
Malaysia juga seharusnya mula melakukan program yang boleh melihat kemungkinan penggunaan kenderaan tanpa pemandu terutama selepas penggunaan sistem LRT Kelana Jaya yang tidak mempunyai pemandu itu harus dilanjutkan ke pelbagai sektor lain setelah kajian yang menyeluruh dilakukan terutama aspek keselamatan pengguna. Kajian ini penting kerana sama ada kita sedar atau tidak konsep kenderaan tanpa pemandu ini sudah mula menjadi bahan berita dalam media massa yang mendedahkan bahawa konsep ini bukan lagi satu angan-angan mat jenin tetapi realiti yang hanya menunggu masa untuk diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat terutama kemunculan pandemik yang melanda dunia telah memungkina konsep kenderaan tanpa pemandu yang boleh menghalang penularan wabak pada masa depan.
Kekalahan Man U mengejutkan semua
Bola sepak satu pasukan dan bukannya satu pemain terkenal sahaja
Berita kemenangan kelab Liverpool menenatng Manchester United Ahad lalu telah menyebabkan pelbagai spekulasi timbul terutama tentang masa depan Ole Gunnar Solskjaer. Namun, saya sebagai peminat bola berpendapat Manchester United perlu kembali kepada asas konsep permainan bola sepak. Maksud saya, Man U perlu mengutamakan pasukan dan bukannya individu terkenal dalam pasukan mereka.
Kalau kita lihat perlawanan itu, semua pemain Liverpool berusaha untuk menyerang dan bertahan secara satu unit pasukan berbeza dengan pasukan Man U yang lebih ke arah mahu menjadi pemain utama. Lihat sahaja Mo Salah yang sanggup berlari turun membantu mempertahankan Liverpool apabila diserang oleh pihak lawan. Adakah Ronaldo atau Greenwood mahu berlari turun ke bawah melakukan tugas pertahanan? Jika pemain-pemain ini enggan turun membantu, sudah pasti Ole harus mempunyai perancangan untuk menugaskan pemain lain membantu atau melindungi keenggaan Ronaldo atau Greenwood menghadapi serangan Liverpool. Asas perlawanan bola sepak ialah pemain mesti berlari, membuat rempuhan atau tackle dan saling mengingatkan satu sama lain tentang situasi perlawanan. Man U pada perlawanan itu tidak melakukan semua ini. Kekalahan ini bukan disebabkan angka gol tetapi cara Man U menerima kekalahan itu yang mengejutkan semua pihak.
Ole sudah menjadi jurulatih kelab ternama ini sejak 2018 tetapi beliau masih gagal untuk memenangi sebarang piala pun. Pada masa yang sama, Ole telah menghabiskan jutaan wang untuk membeli pemain berkualiti tinggi seperti Jadon Sancho, Christiano Ronaldo dan juga Raphael Varane. Semua pemain yang dibeli ini sememangnya bagus tetapi Man U perlu sedar bahawa apakah kehadiran pemain-pemain terkenal sebegini akan menjadikan kedudukan mereka sebagai satu unit pasukan lebih kuat atau tidak? Ini persoalan asas yang seharusnya Ole sebagai jurulatih memahaminya.
Apakah identiti yang hendak dibawa oleh Ole dengan membeli pemain-pemain ternama ini? Penulis berpendapat Ole gagal menggunakan pemain-pemain Man U yang sedia ada dengan sebaik mungkin dalam sebarang sesi taktikalnya. Pasukan Man U pada masa ini tidak mempunyai keseimbangan yang dimiliki oleh Man City, Chelsea dan Liverpool. Jika bukan Ole yang menjadi jurulatih Man U sudah pasti individu itu sudah dipecat oleh pihak pengurusan Man U tetapi disebabkan sejarah dan jasa Oleh terhadap kelab itu kemungkinan untuk beliau dipecat kelihatan samar-samar kerana isu pemecatan Ole ini sudah mula kedengaran tahun lepas lagi tetapi beliau masih diberikan tanggungjawab itu.
Pembaca juga perlu sedar bahawa Liverpool pada perlawanan itu tidak menurunkan kesebelasan utama mereka dan selepas kehilangan Pogba, Liverpool hanya menguasai bola tanpa melakukan serangan pantas seperti pada separuh masa pertama. Man U masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki segera sebelum perlawanan menentang Spurs berlaku itu.
Minum kopi amalan biasa
Kopi merupakan minuman yang ketiga terbanyak dinikmati oleh masyarakat dunia selepas air kosong dan teh. Buat masa ini, Brazil merupakan negara pengeluar utama kopi dunia. Saya sendiri suka minum kopi. Biasanya, waktu pagi saya akan membuat kopi dahulu sebelum mengosok gigi. Setelah menghirup aroma kopi itu barulah saya akan melakukan tugas-tugas rutin pula. Biasanya, satu hari saya akan mengambil antara 3-6 cawan kopi tanpa gula.
Kenapa saya minum kopi? Pengalaman minum kopi merupakan satu pengalaman yang rumit tetapi menyenangkan. Sebab utama sebab kopi memberikan satu aroma yang menyenangkan kepada diri saya. Air kopi yang panas suam ketika pagi memberikan satu kelegaan kepada diri dan paling penting saya begitu gembira apabila menikmati kopi bersendirian sambil merenung kehidupan diri dari tingkap dapur saya setiap hari itu.
Amalan minum kopi juga memerlukan sikap menyesuaikan diri kerana air kopi secara amnya agak pahit. Mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kopi perlulah memahami perkara ini terlebih dahulu. Sememangnya, kopi kini sudah mula ditambah dengan susu dan gula serta pelbagai pemanis lainnya yang pada pandangan saya sudah menjejaskan keunikan rasa kopi itu. Kopi sejati pada firasat saya perlu diambil dalam bentuk kopi kosong tanpa gula dan susu. Namun, setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza.
Selain Brazil, Vietnam dan Colombia merupakan dua negara pengeluar utama kopi dunia. Manakala, negara Indonesia dan Honduras serta Ethiopia merupakan beberapa lagi negara pengeluar kopi terkemuka dunia yang berjaya menghasilkan biji kopi yang berkualiti dan tersendiri unik rasa aromanya. Kemungkinan pembaca pernah mendengar cerita tentang Kopi Luwak yang dihasilkan oleh sejenis musang di Indonesia. Biasanya, penanam kopi di Indonesia akan membela musang ini yang akan memakan biji kopi lalu mengeluarkan biji kopi itu sebagai sebahagian daripada najisnya. Biji kopi ini akan dibersihkan sebelum dikisar seperti biji kopi yang lainnya. Saya pernah meminum kopi luwak ini ketika melancong ke Indonesia suatu masa dahulu dan harganya memang agak jauh lebih mahal malah lebih mahal daripada harga kopi Starbuck itu.
Namun, perubahan cuaca dunia telah menyebabkan penanaman kopi dunia mengalami masalah. Situasi ini menyebabkan penanam kopi dunia terpaksa mencari biji benih yang lebih baik terutama yang mampu menahan perubahan cuaca global yang ketara itu. Mungkin kita juga akan berjaya menghasilkan biji kopi yang berkualiti pada masa depan untuk dihirup oleh peminat kopi dunia nanti.
Maklumat peribadi rakyat hilang?
Maklumat peribadi rakyat hilang?
Laporan yang disiarkan oleh akhbar tempatan semalam tentang berlakunya kejadian penjualan data sebanyak 4 juta penduduk negara ini dalam Internet telah membuka mata semua pihak betapa seriusnya masalah privasi terutama maklumat peribadi seseorang itu. Laporan itu mengatakan bahawa data yang melibatkan nama, emel, nombor telefon dan juga alamat tetap bersama-sama dengan nombor kad pengenalan dan sebagainya memberikan satu amaran kepada kita semua mengenai keperluan mengawal maklumat peribadi ini dengan lebih baik. Data kad pengenalan yang dikatakan terjejas ini membabitkan rakyat Malaysia yang dilahirkan antara tahun 1979 dan 1998.
Menurut laporan akhbar itu pihak polis sedang berusaha untuk menghalang penjualan informasi ini menerusi Internet. Laporan mengenai penjualan data peribadi kad pengenalan ini turut dilaporkan oleh halaman sesawang lowyat.net yang mengatakan bahawa terdapat data rakyat Malaysia yang dijual dengan nilai yang agak tinggi juga di pasaran gelap Internet yang mengkhusus dalam penjualan data masyarakat dunia itu.
Persoalannya bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa (bukan setakat memberikan informasi dalam sidang media sahaja tanpa ada sebarang usaha mengetatkannya)? Apakah kehilangan data ini merupakan satu kecuaian atau satu perkara yang tidak boleh dielakkan? Bagaimana dengan sistem perisian yang digunakan untuk mengawal data-data sensitif sebegini? Namun, perkara yang paling mengejutkan ialah jika kejadian kehilangan ini didalangi oleh orang dalaman. Jika perkara ini dilakukan oleh orang dalam, sudah pasti rakyat berhak tahu mengenai tindakan susulan yang hendak dilakukan oleh pihak berkuasa. Semua pertanyaan ini perlu dijawab dengan data-data yang boleh disokong kebenarannya.
Kebocoran maklumat peribadi ini amat bahaya kerana banyak pihak yang mempunyai kepentingan tidak baik boleh menggunakan maklumat ini untuk menipu atau memperdayakan pihak lain. Maklumat ini akan menjadi kelebihan penjenayah untuk menggunakannya dalam usaha memberikan keyakinan kepada pihak lain bahawa mereka manusia yang jujur. Akibatnya, jenayah terutama jenayah penipuan akan bertambah pula.
Amalan penjualan data peribadi penduduk di dunia dan kemungkinan rantau Asia Tenggara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Persoalannya sampai bila lagi kita semua perlu mengalami perkara sebegini? Tidak adakah ahli parlimen yang berusaha untuk membawa sebarang cadangan konkrit untuk memastikan data peribadi penduduk negara ini terjamin? Atau masalah ini akan terus didiamkan tanpa sebarang tindakan dan Hanya akan berbangkit semula apabila isu ini timbul pada masa depan. Atau mungkin juga selepas ini amalan menuding jari akan dilakukan tanpa ada sebarang pihak yang berani untuk bertanggungjawab atas insiden ini.
Pakatan AUKUS timbulkan kemarahan Perancis dan China
Pakatan AUKUS bawa perlumbaan senjata Asia Pasifik
Perjanjian Pakatan AUKUS yang melibatkan Amerika Syarikat dan Australia dan UK telah mengemparkan masyarakat dunia terutama China dan Perancis. Pakatan ini dikatakan bertujuan untuk mengekang perluasan kuasa China di di rantau Asia Pasifik tetapi banyak pihak melihat usaha ini turut mendedahkan Australia untuk membuka negara itu menjadi sebuah negara yang menggunakan kuasa nuklear pada masa depan terutamanya dalam penghasilan tenaga elektrik.
Kerjasama pakatan ini yang paling ketara ialah usaha Australia yang mahu menghasilkan beberapa kapal selam nuklear mereka. Langkah ini telah menimbulkan kemarahan Perancis kerana negara itu terlebih dahulu telah memeterai perjanjian untuk menghasilkan kapal selam Australia pada tahun 2016. Perjanjian Perancis dan Australia untuk membekalkan beberapa kapal selam itu nampaknya telah dibatalkan. Perjanjian ini melibatkan pembinaan kapal selam berkuasa turbo diesel berbanding nuklear. Tindakan marah kerajaan Perancis itu bukan sahaja disebabkan mereka kerugian berbillion-billion ringgit tetapi paling penting mereka berasa tersinggung kerana tidak disertakan sekali dalam perjanjian pakatan ini. Perancis berasa mereka seharusnya diberi taklimat atau dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perjanjian pakatan ini. Perasaan amarah Perancis ini boleh disimpulkan apabila pemimpin negara itu mengaitkan perjanjian pakatan ini sebagai satu tikaman dari belakang.
Manakala, China melihat perjanjian pakatan ini bukan sahaja tidak perlu tetapi telah menyebabkan timbulnya suasana yang tidak stabil di rantau Asia Pasifik. Perjanjian pakatan ini dikatakan akan menimbulkan atau menghangatkan lagi perlumbaan senjata di rantau Asia Pasifik terutamanya di kawasan Laut China Selatan itu. China melihat perkongsian teknologi nuklear dalam pembinaan kapal selam Australia ini sebagai satu lagi tindakan yang tidak bertanggungjawab Amerika Syarikat dalam usaha untuk memerangi perluasan pengaruh China. Perluasan pengaruh China di kawasan Laut China Selatan yang menyaksikan beberapa buah negara ASEAN turut mempertikaikan perluasan yang dilakukan oleh China itu.
NATO secara amnya belum lagi memberikan pngumuman rasmi tetapi secara am NATO pasti melihat perjanjian pakatan ini sebagai satu kaedah untuk menguatkan lagi pengaruh mereka di rantau Asia Pasifik dan menguatkan lagi keselamatan di Rantau Asia Pasifik. Kewujudan pakatan ini secara tidak langsung turut menularkan pengaruh NATO di rantau ini walaupun Australia bukanlah sebagahagian daripada pakatan ketenteraam itu tetapi Amerika Syarikat serta Britain merupakan anggota utama mereka. Perjanjian ini seolah-olah memberikan perluasan pengaruh NATO secara tersirat pula.
Buat Australia perjanjian pakatan AUKUS lebih menarik kerana pakatan ini akan menyediakan panduan untuk menghasilkan kapal selam berkuasa nuklear yang jauh lebih baik berbanding berkuasa diesel. Kapal selam nuklear juga membolehkan tentera Australia menjalankan operasi yang lebih lama untuk jarak yang lebih jauh tetapi senyap lalu menyukarkan proses pengesanan oleh pihak musuh. Manakala, kapal selam berkuasa diesel pula masih memerlukan tindakan untuk naik ke permukaan dan kemungkinan lebih mudah dikesan kerana menghasilkan bunyi yang lebih kuat berbanding kapal selam nuklear.
Perjanjian untuk menghasilkan kapal selam nuklear ini akan menguji kekuatan kerajaan Australia pada mata masyarakat mereka kerana negara itu sememangnya tidak mempunyai sebarang tenaga nuklear sejak tahun 1998. Adakah rakyat negara itu bersedia untuk mempunyai kapal selam nuklear yang akan sering berlabuh di pelabuhan tentera mereka nanti? Adakah perjanjian pakatan AUKUS ini akan menandakan adanya proses untuk menamatkan pengharaman penggunaan nuklear di negara itu terutama dalam aspek penghasilan tenaga?
El Salvador umumkan bitcoin sebagai mata wang rasmi negara
Negara El Salvador telah memulakan satu ujian yang paling getir iaitu negara itu telah mengumumkan bahawa BITCOIN akan menjadi mata wang rasmi negara itu. Pengumuman ini pastinya akan dilihat dan dikaji oleh negara-negara lain yang ingin mengetahui keberkesanan penggunaan bitcion dalam urusan harian kewangan sesebuah negara. Langkah ini bermakna, semua perniagaan di negara itu diwajibkan untuk menerima bayaran dalam bentuk bitcoin apabila diminta oleh pengguna.
Namun, pengumuman ini turut disertai dengan pelbagai pertanyaan. Pertama, adakah rakyat biasa di negara itu benar-benar memahami konsep bitcoin? Kedua, bagaimana pula dengan persediaan bank di negara itu dalam menguruskan bitcoin terutama aspek penyediaan ATM untuk kegunaan umum? Ketiga, mengapakah tindakan ini dilakukan sekarang?Rakyat negara itu akan menerima US30 dalam bentuk bitcoin sebaik sahaja mereka memuat naik aplikasi e-dompet digital yang dihasilkan oleh kerajaan itu dalam proses penggunaan wang kripto ini.
Setakat artikel ini ditulis, pengumuman bitcoin ini merupakan salah satu langkah Presiden Nayib Bukele untuk memodenkan sistem kewangan negaranya bersama-sama untuk menghapuskan penggunaan orang tengah yang telah mengenakan bayaran tinggi untuk sebarang penghantaran atau transaksi kewangan. Bayaran kiriman wang di negara ini telah disalahgunakan oleh pihak tertentu lalu penggunaan bitcoin boleh menyediakan satu ruang yang bukan sahaja mudah tetapi murah untuk sebarang penghantaran wang. El Salvador mempunyai ramai rakyatnya yang bekerja di luar negara terutama di Amerika Syarikat. Penghantaran wang dari luar negara merupakan antara aktiviti utama rakyat negara itu.
Ada juga pihak berpendapat pengumuman ini bertujuan untuk mengekang aktiviti penggubahan wang haram yang begitu ketara di El Salvador. Pada masa yang sama, amalan rasuah yang melampau turut berlaku di negara Amerika Tengah itu. Penggunaan bitcoin dikatakan mampu menjadikan semua pihak yang terlibat dalam urusan kewangan dalam situasi yang lebih adil. Penggemar bitcoin sering menyalahkan pihak bank yang dikatakan mempunyai kelebihan dalam urusan kewangan walaupun wang yang disimpan di bank itu asalnya dimiliki oleh orang ramai.
Negara itu juga berpendapat bahawa penggunaan bitcoin ini boleh menarik kumpulan-kumpulan pelabur lain untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara itu. Golongan pelabur yang mempunyai idea yang kreatif berbanding pelabur kategori lama yang agak sukar untuk menerima perubahan dalam proses pemberian pinjaman kewangan kepada negara itu.Penggunaan bitcoin juga diharapkan oleh kerajaan negara itu akan memudahkan urusan kewangan rakyat negara itu yang masih jauh tertinggal dalam penggunaan sistem perbankan cara lama.
Usaha menggunakan bitcoin di negara itu dijalankan dengan kerjasama sebuah syarikat bitcoin dari Amerika syarikat yang dikenali dengan nama Strike. Kerjasama ini menyaksikan negara itu telah menyediakan beratus-ratus kemudahan ATM bitcoin yang dipanggil Chivo. Ada pihak yang menyatakan bahawa pengumuman ini mungkin akan diikuti oleh beberapa buah negara lain di Amerika Selatan yang sedang sibuk memerhatikan impak yang bakal melanda negara itu.
Kalau pembaca semua masih ingat, kerajaan China sejak akhir-akhir pula sering melakukan pemantauan yang ketat terhadap mata wang kripto sehingga menyebabkan banyak industri perlombongan mata wang kripto China telah beralih ke negara lain seperti Amerika Syarikat untuk menjalankan aktiviti mereka.
Kita lihat sama ada uji kaji penggunaan bitcoin ini akan berjaya atau tidak di El Salvador kerana sebarang kesudahannya pasti akan membawa tempias kepada sistem kewangan dunia dan kemungkinan juga Malaysia nanti.
Permainan video perlu ada di pejabat
Permainan video cetuskan semangat berpasukan pekerja
Permainan video games di pejabat? Pastinya banyak mata akan merenung tajam kerana konsep bermain permainan terutama permainan video sering dilihat akan menimbulkan persoalan kesuntukan masa untuk sesuatu kerja yang perlu diselesaikan. Namun, sama ada kita sedar atau tidak permainan video sudah banyak berubah sehingga permainan sebegini sudah menjadi satu bentuk perniagaan yang membolehkan banyak jutawan dilahirkan. Lihat sahaja kursus-kursus berkaitan permainan video yang ditawarkan oleh pihak universiti dalam dan luar begara.Semua mengesahkan bahawa permainan video membawa perubahan.
Jadi, apakah perkara yang paling mudah boleh dihasilkan oleh permainan video kepada sesebuah syarikat itu?
Semangat berpasukan.
Ini merupakan satu masalah yang rumit kerana untuk mewujudkan semangat bepasukan yang kukuh, satu keserasian amat penting. Namun, semangat berpasukan ini merupakan satu elemen yang paking dilupakan oleh mana-mana syarikat di negara ini. Jika seseorang peekrja itu gagal untuk bekerja dengan rakan sekerja yang lain pastinya kualiti kerja mereka akan merosot. Ini akan menghasilkan satu keadaan yang tidak baik kepada diri sendiri dan semua pekerja syarikat itu.
Semangat berpasukan bukanlah merujuk amalan keluar makan atau minum selepas kerja. Semangat berpasukan merujuk kemampuan minda pekerja untuk saling berinteraksi antara mereka lalu mewujudkan satu hubungan dengan rakan sepejabat yang sihat dan aman. Semangat berpasukan memudahkan sebarang urusan di pejabat daripada sukar menjadi mudah untuk diselesaikan.
Banyak syarikat menghabiskan ribuan atau mungkin jutaan ringgit dalam mengadakan latihan-latihan pemupukan semangat sepasukan secara tradisional atau pun mengadakan satu hari khas yang menyaksikan pekerja syarikat akan berkumpul untuk melihat filem tertentu di pawagam. Kemungkinan kos perbelanjaan yang jauh lebih murah boleh dibelanjakan untuk menyediakan satu tempat atau bilik khas yang memberi ruang kepada pekerja mereka untuk bermain permainan video.
Permainan video menyediakan satu aktiviti sosial yang kreatif lalu jika amalan ini dilakukan dengan baik pastinya minda pekerja syarikat akan menjadi lebih sempurna. Permainan yang dilakukan secara harian akan menyediakan pekerja syarikat untuk saling memahami satu sama lain terutama aspek pemikiran pekerja lain sehingga membantu mereka untuk menghasilkan satu kaedah yang kreatif dalam mencapai matlamat syarikat itu sendiri.
Sudah banyak kajian yang menyatakan bahawa permainan video yang dilakukan oleh seseorang itu akan menjadikan diri mereka lebih mudah memahami keperluan teknologi semasa, mengukuhkan lagi skil atau kemampuan menyelesaikan masa bersama-sama meninggikan kemahiran fizikal dan mental terutama setelah menghadapi tekanan kerja yang berlambak-lambak itu. Mungkin penulisan ini ringkas tetapi kini sudah wujud persepsi dalam kalangan pakar yang mengaitkan betapa perlunya pekerja diberi ruang untuk memainkan permainan dalam waktu kerja mereka terutama permainan video itu.
Kita harus sedar bahawa pekerja yang gembira dengan kerja mereka akan menjadi seorang pekerja yang bukan sahaja setia dengan syarikat tetapi mampu menghasilkan sumbangan yang berguna kepada keuntungan syarikat pada masa depan.
Kerajaan China haling permainan video remaja
China halang permainan video remaja
Tindakan China untuk menghalang individu di bawah umur 18 tahun untuk bermain permainan video lebih daripada satu jam telah mendapat perhatian masyarakat dunia. Larangan ini turut membenarkan permainan video ini pada hari-hari tertentu dan masa tertentu sahaja. Ada pihak memberikan contoh permainan video Honour of Kings yang dikeluarkan oleh Tencent itu boeh dimainkan oleh remaja sehingga lapan jam sehari. Kenapakah China melakukan tindakan ini dan bagaimanakan perkara ini hendak dikuatkuasakan?
Pengharaman ini mula difikirkan oleh beberapa pakar setelah beberapa media utama yang dikendalikan oleh kerajaan negara itu mengeluarkan pengumuman yang mengaitkan permainan video ini sebagai spiritual opium atau electronic drugs. Kita semua sedia maklum bahawa usaha mengaitkan istilah candu ini ada kaitan sejarah iaitu pada zaman dinasti Qing, banyak pihak penjajah seperti Britain dan Perancis telah menggunakan candu sebagai bahan eksport utama mereka ke China sehingga menyebabkan berlakunya peperangan yang menyaksikan China terpaksa menyerahkan Hong Kong kepada Britain.
Perkara ini juga semakin menjadi topik hangat apabila ada laporan kajian yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan negara itu yang mengaitkan banyak remaja negara itu ketagih bermain permainan video ini lalu laporan itu meminta kerajaan mengambil tindakan tegas kepada syarikat-syarikat permainan online negara itu. China mahu lebih banyak masa dihabiskan dengan remaja melibatkan diri dalam permainan berbentuk realiti dan fizikal seperti bola sepak, bola keranjang, dan sebagainya itu.
Tindakan pengharaman bermain permainan video ini akan dilakukan oleh syarikat permainan online. Syarikat ini diwajibkan untuk mendaftarkan semua pelanggan mereka dengan menggunakan identiti sebenar. Pihak berkuasa negara itu juga telah memaklumkan bahawa mereka akan lebih kerap membuat pemeriksaan untuk memastikan syarikat permainan video mematuhi arahan ini.
Sejauh manakah langkah ini akan berkesan belum lagi dapat dipastikan tetapi satu perkara yang pasti ialah China apabila melakukan sesuatu akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan bukannya seperti sesetengah negara yang hanya pandai berkata-kata retorik tanpa melakukan tindakan konkrit untuk kemajuan negara pada masa depan.
Cabaran Yuan Digital kepada Amerika Syarikat
Yuan Digital satu cabaran baharu buat Amerika Syarikat?
Kemunculan wang digital China yang kini berada dalam proses percubaan di beberapa buah bandar besar di negara itu bakal menyaksikan pertembungan baharu dalam dunia ekonomi antara China dan Amerika Syarikat. Kedua-dua buah negara ini saling kena mengenakan satu sama lain terutama jika kita melihat rentetan peristiwa diplomatik yang berlaku antara mereka itu.
Kita semua sedia makluman bahawa China merupakan antara negara yang boleh dikatakan sudah menerima konsep masyarakat tanpa tunai. Perkara ini mampu dicapai ekoran kejayaan syarikat seperti Ant Group dan Tencent yang memperkenalkan konsep pembayaran digital yang menyeluruh dan menarik itu. Penduduka China dikatakan telah mula menerima pembayaran digital sebagai sebahagian daripada budaya baharu. Yuan Digital ini diwujudkan oleh Bank Pusat atau Bank Negara China yang kemudiannya akan diberikan kepada bank komersial lain untuk memastikan mata wang ini disebarkan kepada masyarakat umum untuk kegunaan harian.
Banyak pihak melihat tindakan ini sebagai usaha secara langsung China untuk mengekang perluasan pengaruh Amerika Syarikat terutama penggunaan Dolar dalam urusan ekonomi.Tindakan Amerika Syarikat mencetak lebih banyak wang untuk membantu ekonomi negara itu berkembang dan tindakan mengenakan sekatan terhadap syarikat Huawei dan pegawai kerajaan China yang terlibat dalam pentadbiran Hong Kong dan Xinjiang dilihat sebagai usaha menghapuskan pengaruh China di peringkat antarabangsa lalu kewujudan Yuan Digital ini akan menjadi satu pilihan lain selain Dolar yang sedang diusahakan oleh China secara perlahan-lahan. Kejayaan Yuan Digital ini akan hanya terbukti apabila tamatnya proses percubaan sistem ini di beberapa buah bandar di China dan juga penggunaannya oleh negara lain.
Kita semua tahu kelebihan utama digital terutama bitcoin ialah kemampuannya untuk bergerak melintasi sempadan negara begitu mudah dan murah. Kemungkinan banyak negara terutama negara yang melihat penggunaan Dolar sebagai merugikan mereka dalam proses pertukaran mata wang asing akan menggunakan Yuan Digital sebagai satu bentuk pembayaran global yang baharu. Lama-kelamaan, situasi ini akan menjadikan dunia tidak lagi terlalu bergantung kepada Dolar untuk sebarang transaksi pembayaran.
Ada juga pihak yang melihat usaha menjadikan Yuan Digital ini sebagai satu usaha pihak berkuasa negara itu untuk menjadikan pihak bank lebih berdaya saing dalam bidang pembayaran digital kerana sektor ini telah dikuasai oleh syarikat-syarikat gergasi Internet yang disebutkan tadi. Malah, ada juga pendapat yang mengaitkan usaha untuk memajukan Yuan Digital ini juga membuktikan bahawa negara itu begitu memandang serius usaha pengumpulan maklumat individu dalam kalangan syarikat gergasi Internet negara itu yak menyaksikan beberapa buah syarikat terpaksa menerima kesan perundangan yang agak ketat sehingga menyebabkan IPO dan keuntungan syarikat terjejas dengan teruk. Malah, seorang tokoh Internet negara itu telah dikatakan berdiam diri atau tidak kelihatan di khalayak ramai sejak syarikatnya menjadi sasaran kritikan pihak berkuasa China untuk mengawal usaha pengumpulan maklumat ini.
Sebenarnya, sebarang usaha untuk mewujudkan Yuan Digital ini perlulah dilihat sebagai satu perubahan besar yang bakal melanda ekonomi dunia. Semua pihak baik Amerika Syarikat dan Malaysia perlu melihatnya secara strategik kerana jika usaha China ini berjaya sudah pasti pelbagai peluang baharu dalam pembayaran digital turut akan muncul lalu kepantasan Malaysia untuk sama-sama merebut peluang itu hendaklah dimulakan dari sekarang terutama selepas era pandemik yang menyaksikan banyak sektor ekonomi negara mengalami kemelesetan yang ketara.
Aspek psikologi rakyat perlu diberi perhatian
Peristiwa dua pelajar sebuah universiti meninggal dunia baru-baru ini pasti memberikan satu kejutan kepada semua terutama ketika negara sedang dilanda pandemik ini. Ada laporan akhbar yang mengaitkan kematian ini dengan tekanan atau stres yang dihadapi oleh pelajar ketika mengharungi cabaran di universiti itu. Saya sendiri tidak pasti setakat mana kebenaran laporan akhbar itu namun saya boleh akui bahawa kehidupan sebagai pelajar kadangkala bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Berita ini kemudiannya ditambah pula dengan berita kematian seorang insan yang bekerja sebagai guru bersendirian di rumahnya.
Pada masa yang sama, saya tertarik untuk menarik perhatian pembaca tentang impak yang ditimbulkan oleh pandemik ini terutama kesan PKP yang dikenakan itu. Ketika pihak berkuasa berpendapat bahawa PKP ini boleh menghalang penularan wabak itu (walaupun angka terus meningkat dan kehidupan masyarakat semakin terjejas kerana ketiadaan sumber pendapatan), saya berasa banyak masyarakat kita sudah tertekan habis. Mereka tertekan disebabkan oleh pelbagai faktor yang melibatkan semua pihak termasuklah pemimpin negara.
Ada pemimpin dan artis sewenangnya melakukan perkara di luar SOP tetapi didenda dengan kadar yang mampu dibayar oleh mereka. Itu pun setelah berbulan-bulan siasatan dilakukan. Manakala, rakyat biasa terus disaman pada masa itu tanpa perlu ada siasatan dan hanya diminta pergi membuat rayuan jika berasakan saman itu terlalu mahal. Bayangkan saman yang mencecah ribuan ringgit itu pastinya sukar dibayar oleh insan biasa yang sudah berbulan-bulan tidak boleh keluar mencari nafkah. Pastinya banyak pihak berasa marah dan tidak gembira atas semua yang berlaku ini.
Sekarang, bayangkan setelah duduk di rumah atau bilik berbulan-bulan pastinya persepsi masyarakat tentang kehidupan berubah. Ada yang mengeluh mengenai sukarnya untuk menyara kehidupan diri dan keluarga. Ada yang tertekan kerana tidak boleh keluar dari rumah terutama jika mereka tinggal dalam rumah yang kecil dan banyak penghuninya. Ada juga yang terpaksa mencuri terutama keperluan makanan kerana sudah tidak mempunyai simpanan yang mampu menampung kehidupan. Malah, ada juga yang melihat kehidupan mereka tidak bererti lagi.
Secara peribadi, saya berpendapat manusia apabila duduk terkongkong akan menyebabkan minda mereka bergelumang dengan pelbagai tanggapan negatif yang boleh memudaratkan tahap kesihatan diri pula. Itu sebabnya kita selalu menasihati rakan yang bermasalah supaya keluar dari rumah atau pergi menenangkan fikiran apabila fikiran mereka buntu. Namun, dalam suasana PKP yang menghalang pergerakan masyarakat pastinya perkara ini tidak boleh dilaksanakan pula. Bayangkan situasi ini berlaku berbulan-bulan. Pasti ada kesannya. Pasti ada impaknya.
Masalah kesihatan mental terutama aspek psikologi masyarakat perlulah diberikan penekanan oleh kerajaan dalam tempoh terdekat ini. Saya yakin jika perkara ini masih tidak diberi perhatian sudah pasti kita akan melihat lebih banyak perkara-perkara ganjil dalam kalangan masyarakat. KIta harus sedar bukan semua insan mempunyai kemampuan berfikir dan bersikap positif yang serupa. Bukan semua insan mempunyai sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan. Bukan semua insan mempunyai pekerjaan yang terjamin dan simpanan wang yang cukup untuk hari-hari mendatang ini. Ketika memikirkan semua kemelut ini lah mental seseorang itu akan mula terjejas dengan teruknya.
Kadangkala saya terfikir ke manakah perginya bantuan kerajaan yang berbilion-bilion itu? Tidak adakah sebarang program yang boleh membantu rakyat yang menghadapi tekanan mental yang ketara ini?
Bendera Putih lambang masyarakat sengsara
Bendera putih
Banyak pihak menyuarakan pandangan mereka tentang konsep Bendera Putih yang diuar-uarkan dalam media sosial itu. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Ada yang melihat secara negatif dan ada yang melihatnya ssesuatu yang positif. Saya secara peribadi melihat kemunculan bendera ini sebagai positif. Kenapa?
Pertama, menyedarkan saya bahawa bendera putih ini sebagai satu bentuk atau jalan buat rakyat Malaysia yang sedang buntu dilanda kemelut pandemik ini baik disebabkan kekurangan wang, makanan dan sebagainya. Kemunculan bendera ini juga menjadi sokongan dan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap rakan atau jiran mereka yang bermasalah. Sesiapa sahaja yang bermasalah boleh mengibarkan bendera putih lalu sesiapa sahaja yang melihatnya boleh menghulurkan bantuan tanpa banyak kerenah birokrasi itu. Dalam suasana pandemik ini, saya yakin banyak orang dan ahli keluarga yang tertekan hidupnya lalu bendera putih satu jalan penyelesaian yang baik. Kita tolong sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan keturunan serta agama.
Kedua, kemunculan bendera ini menyedarkan saya betapa seriusnya penyakit mental yang sedang melanda masyarakat. Jika paparan media sosial yang saya lihat betul sudah jelas kadar penyakit mental di Malaysia naik secara mendadak itu. Tekanan mental berlaku kerana pandemik membawa munculnya kemelut pengangguran, kemelut hutang dan kemelut peribadi serta sebagainya yang sememangnya boleh menghakis keyakinan sesiapa sahaja itu. Bendera Putih seolah-olah memberikan satu peluang kepada sesiapa sahaja di luar sana yang sedang bergelumang dengan masalah untuk mencari kaedah keluar daripada masalah mereka. Sekurang-kurangnya bendera ini memberikan satu harapan kepada mereka bahawa masih ada sinar dalam hidup ini.
Ketiga, konsep bendera putih ini menyedarkan saya betapa teruknya sistem ekonomi negara kita yang dilanda pandemik ini. Sistem ekonomi yang dimajukan sejak berdekad lamanya dimusnahkan oleh virus dalam setahun dua sahaja. Kira sahaja jumlah syarikat dan kilang serta hotel yang terpaksa ditutup gara-gara pandemik ini, pastinya jumlahnya banyak. Kita perlu melihat semula sistem ekonomi negara ini selepas ini kerana jika pandemik ini berterusan pasti kita tidak akan terlepas lagi. Satu perubahan drastik diperlukan dalam merangka ekonomi negara selaras dengan impak yang berlaku itu.
Keempat, kemunculan bendera putih ini juga menyedarkan saya tentang kegagalan beberapa ahli politik kita melaksanakan tugas mereka. Amalan mengibarkan bendera putih menandakan seseorang itu tidak mempunyai makan minum dan wang untuk keperluan harian tetapi ahli politik kita terus menayangkan jamuan demi jamuan, makanan demi makanan, rumah besar demi rumah besar, dan kereta besar serta jam berjenama yang pastinya boleh menampung makan minum untuk beberapa ahli keluarga yang mengibarkan bendera putih ini dalam sebulan dua. Mereka gagal kerana terlalu banyak birokrasi. Banyak syarat yang perlu dipenuhi sebelum layak menerima bantuan ketika ada anak isteri kebuluran di rumah. Ada Ahli politik ini gagal kerana terlalu mementingkan pihak mana yang perlu dibantu dan pihak mana yang boleh dilewatkan bantuan. Bukanlah ahli politik yang mewakili rakyat itu wajib membantu rakyatnya sendiri dahulu?
Kelima, bendera ini menyedarkan saya bahawa masih ada ahli masyarakat Malaysia yang mengutamakan konsep kemanusiaan sebenar. Negara ini masih wujud rakyat yang mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi kerana rela membantu sesiapa sahaja yang mengibarkan bendera putih itu. Masih ada syarikat yang membantu, masih ada kedai makan yang turut serta, masih ada pihak yang berusaha supaya tidak ada insan yang terpinggir dalam meneruskan kehidupan mereka pada zaman pandemik ini. Prasangka buruk tidak wujud kerana kita semua sedar bukan mudah untuk seseorang itu meminta bantuan daripada orang lain melainkan mereka sudah keputusan idea untuk memulihkan kehidupan sendiri itu pula.
Semua sebab yang dihuraikan tadi telah menyebabkan masyarakat mengasaskan bendera putih ini. Bendera yang menjadi lambang sesebuah negara dan pertubuhan telah digunakan secara kreatif oleh masyarakat untuk meluahkan perasaan mereka terhadap kualiti kehidupan masyarakat sekarang. Bendera putih bukan bermaksud mereka mudah mengaku kalah tetapi mengibarkan bendera putih merujuk wujudnya sikap bantu membantu dalam masyarakat Malaysia walaupun pandemik ini telah menyusahkan semua lapisan masyarakat. Buat mereka yang telah dan akan menghulurkan bantuan sekalung tahniah dan terima kasih dipanjangkan kepada mereka.
Bendera putih harus diteruskan kerana semua orang berhak dibantu.
Kita perlu buat sesuatu...
Cara selesaikan masalah? Buat sesuatu
Suatu masa dahulu, saya ada seorang pelajar yang menyertai kelas penulisan saya yang tidak tahu menulis lalu saya berkata kepada, “Jika anda ada masalah, jangan duduk termenung sahaja tetapi fikirkan masalah itu dan kemudian cuba selesaikan walaupun anda tidak tahu menulis tetapi sikap cuba menulis sesuatu itu akhirnya akan memberikan satu idea kepada anda nanti.” Itulah nasihat saya kepadanya.
Kini, dia sudah berjaya. Dia mempunyai kelayakan universiti dan pekerjaan yang baik jika saya melihat ke arah keretanya yang besar dan berwarna biru muda itu. Lambang BMW yang menonjol tertera sekaligus menarik perhatian orang yang lalu-lalang di kawasan tersebut. Semua orang suka kereta berjenama mahal.
“Boss, saya masih ingat kata-kata boss dalam kelas penulisan itu,” katanya sambil menghirup secawan kopi pahit yang dipesannya sebentar tadi. Dia memang suka memanggil saya dengan panggilan boss (walaupun saya BUKAN boss). Telefon bimbit yang berjenama terkenal turut diletakkan di atas meja di hadapan saya. Telefon itu jauh lebih menarik berbanding telefon lama di poket seluar saya itu. Saya mengangguk-angguk sahaja kerana secara jujur saya tidak pasti kata-kata mana yang dirujuk olehnya itu. Raut wajah insan di depan ini penuh dengan senyuman yang seolah-olah melambangkan kepuasan yang dialami dalam kehidupannya kini.
“Kata-kata itu sudah menjadi tangkal kepada saya setiap kali saya ada masalah,” ujarnya dengan penuh kesungguhan. “Boss kata, jangan duduk sahaja. Buat sesuatu. Jawapannya akan muncul kemudian,” tambahnya dengan penuh semangat. Kali ini kata-kata itu menyebabkan saya mengimbau kenangan bersama-sama lelaki dewasa ini di dalam kelas itu beberapa tahun lalu.
Sebenarnya, banyak daripada kita lupa bahawa tindakan melakukan sesuatu bukanlah kesan daripada sesuatu motivasi itu tetapi tindakan itulah yang menyebabkan motivasi berlaku. Apabila kita menghadapai masalah kita perlu melakukan sesuatu. Apa-apa tindakan pun kerana sikap berdiam diri tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku. Mungkin tindakan keluar dari rumah atau menelefon rakan akan memberikan idea untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Namun, sikap duduk diam tidak akan memberikan apa-apa melainkan kita duduk diam memikirkan sesuatu. Itu juga bermakna kita sedang melakukan sesuatu tindakan.
Banyak daripada kita hanya melakukan sesuatu apabila kita mempunyai tahap motivasi tertentu untuk membuatnya. Kita selalu beranggapan bahawa motivasi itu akan hanya berlaku apabila wujudnya inspirasi dalam bentuk emosi yang cukup banyak kerana tanggapan kita sebenarnya salah. Maksud saya kita beranggapan inspirasi yang berunsurkan emosi akan menghasilkan motivasi dan motivasi akan menghasilkan sesuatu tindakan.
(Inspirasi emosi menghasilkan motivasi lalu membawa sesuatu tindakan berlaku).
Namun, pandangan saya konsep motivasi di atas adalah tidak benar. Motivasi bukanlah sesuatu yang bersifat selari sahaja tetapi motivasi itu sebenarnya berlaku dalam satu pusingan yang lebih besar. Maksud saya inspirasi emosi akan menghasilkan motivasi lalu membawa berlakunya sesuatu tindakan dan tindakan ini menghasilkan inspirasi emosi semula lalu membawa berlakunya motivasi lagi serta menghasilkan tindakan seterusnya.
(Inspirasi emosi menghasilkan motivasi lalu membawa sesuatu tindakan berlaku lalu membawa inspirasi emosi dan motivasi serta tindakan berlaku semua).
Setiap pagi saya akan menghabiskan satu tempoh masa sekitar 20-30 minit untuk menaip. Kadangkala perkara yang saya taipkan itu tiada kaitan dengan apa-apa projek penulisan yang sedang saya usahakan tetapi ini maksud saya tadi bahawa sebarang tindakan menaip yang saya lakukan itu pastinya akan memberikan satu sumber inspirasi atau idea atau lonjakan untuk melakukan sesuatu pula kemudian nanti.
Jadi, pembaca yang memahami konsep ini akan setuju bahawa tindakan menghasilkan inspirasi emosi yang akan membawa berlakunya motivasi diri. Jika anda berasa kurang motivasi untuk melakukan perubahan dalam hidup anda, cuba lakukan sesuatu - apa-apa sahaja untuk menggunakan hasil tindakan itu menjadi perkara yang boleh memberikan motivasi kepada diri anda nanti.
Sikap melakukan sesuatu apabila menghadapi masalah merupakan satu langkah yang mudah. Apabila anda berada dalam sesuatu masalah cuba buat sesuatu tindakan. Kemungkinan idea yang dilakukan itu boleh menyelesaikan sebahagian daripada masalah dan kemungkinan juga tidak tetapi yang penting di sini ialah anda berusaha untuk menyelesaikannya. Penting di sini anda mempunyai tapak untuk melakukan satu tindakan yang akan memberikan impak terhadap masalah anda itu.
Ringkasnya, kita semua boleh menjadi sumber inspirasi tersebut. Kita semua boleh menjadi sumber motivasi itu. Tindakan untuk mencapainya merupakan sesuatu yang boleh dijangkau oleh setiap insan di dunia ini. Hanya berbekalkan satu tindakan mudah melakukan sesuatu sahaja boleh menjadi kayu pengukur kejayaan dalam kehidupan seseorang itu. Anda hanya perlu BUAT sahaja.
Cari kami untuk masalah kandungan web anda
Manusia perlu berubah?
Gajah dan tali umpama manusia yang tidak mahu berubah
Salah satu cerita yang sering saya kisahkan kepada pelajar saya di kelas dan seminar ialah kisah gajah yang diikat kakinya. Kisah ini mengaitkan saya tentang sikap manusia yang sudah biasa atau mempunyai satu set pemikiran bahawa hidup mereka sememangnya begitu atau mereka enggan berusaha kerana sudah pernah menemukan kegagalan dahulu.
Kisahnya begini. Suatu masa dahulu di sebuah negara yang terkenal dengan mempunyai kumpulan gajah yang banyak. Kelihatan seorang pengembara yang melalui kawasan istana di negara itu setelah berbulan-bulan mengembara. Pengembara itu mendekati sekumpulan gajah yang kakinya diikat dengan seutas tali yang jauh lebih kecil daripada kaki haiwan gergasi itu. Rasa hairan dan curiga bermain-main dalam minda pengembara yang separuh keletihan itu.
“Kenapakah gajah yang begitu besar ini tidak mahu melepaskan diri mereka? Diam-diam pengembara itu bercakap di dalam hatinya. Dia menolah ke kiri dan ke kanan untuk mencari seseorang. Matanya terpandang kepada seorang pengawal istana di hujung istana tersebut. Sambil melangkah ke arah pengawal itu, pengembara tadi sempat menoleh sejenak ke belakang untuk memastikan si gajah itu tidak mengekorinya. Rasa takut masih wujud dalam dirinya apabila berhadapan dengan haiwan gergasi itu.
“Saya berasa hairan kerana gajah itu tidak sedikit pun berusaha untuk melepaskan dirinya?” kata pengembara kepada pengawal tersebut. Pengawal itu menjawab sambil tersenyum, “ Sejak kecil lagi kami sudah mengikat gajah itu dengan saiz tali yang serupa. Lama-kelamaan mereka sudah biasa. Tali yang kecil itu sudah cukup untuk menghalang mereka melarikan diri’.
Gajah itu melihat tali yang diikat pada kaki mereka itu sudah cukup kuat kerana mereka sudah biasa diikat begitu sejak kecil. Sama juga dengan kita sebagai manusia yang tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri kerana dalam minda sendiri sudah wujud satu konsep bahawa kita tidak perlu berusaha kerana sudah biasa menerima kegagalan atau mempercayai diri sendiri akan mengalami kegagalan jika melakukan sesuatu yang berbeza.
Pengembara meneruskan perjalanannya tetapi sekali-sekali masih menoleh kerana berasa kasihan melihat nasib gajah yang terpaksa akur dengan seutas tali kecil itu. Alangkah baiknya jika gajah itu berusaha sedikit sahaja pastinya tali itu akan terputus dengan mudah. Pastinya hidup gajah itu jauh lebih baik daripada berdiri di tepi istana itu.
70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?
70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...