Ratapi kehilangan seseorang

Cara kita meratapi kehilangan seseorang


Apabila saya mendengar kisah seorang calon SPM terpaksa meratapi kehilangan ayahnya sebelum mengambil peperiksaan, satu perasaan sedih berlingkar dalam hati ini. Ingatan saya perlahan-lahan kembali kepada arwah ayah dan ibu saya. Ya, saya sudah tidak mempunyai ayah dan ibu. 


Kesedihan atau grief merupakan sesuatu yang boleh mengubah keperibadian seseorang. Mungkin ada pembaca yang tidak akan bersetuju tetapi saya rasa dengan pengalaman saya melihat ayah dan ibu saya sihat dan meninggal dunia memberikan kelebihan untuk berbicara mengenai kesedihan akibat kehilangan seseorang yang kita sayangi.


Kesedihan merupakan satu proses biasa yang akan berlaku sebagai reaksi kita terhadap kehilangan seseorang. Kadangkala kesedihan itu begitu ketara sehingga boleh menggugat diri sendiri. Rasa terkejut, marah, sedih, tidak percaya dan sebagainya pasti akan muncul. Kesedihan juga akan memberikan impak ketara kepada kesihatan diri dan kemungkinan menyukarkan seseorang itu untuk tidur, makan, berjalan atau berfikir secara logik. Semua simpton yang saya nyatakan tu merupakan sesuatu yang lumrah kerana saya sendiri mengalami salah satunya.  Ringkasnya, semakin ketara kepentingan seseorang itu dalam kehidupan kita semakin ketaralah kesedihan yang bakal melanda.


Ada orang kata kepahitan jiwa itu akan berlalu begitu sahaja jika kita membiarkan kesedihan itu. Berdasarkan pengalaman saya, kita tidak boleh lari daripada kesedihan atau menyembunyikan begitu sahaja. Cuba melupakan kesedihan itu mungkin akan menjadikan kesedihan itu berpanjangan pula. Kesedihan yang melanda perlu dihadapi secara bersemuka dan secara positif. Pada saya itu tindakan yang lebih proaktif apabila kita kehilangan seseorang yang kita sayangi.


Ada orang kata kita perlu nampak kuat ketika menghadapi kesedihan. Pada saya rasa sedih, takut atau dipinggirkan merupakan impak biasa apabila kita kehilangan lalu menangis itu bukan bermakna kita lemah. Kadangkala kita cuba berpura-pura di depan ahli keluarga untuk menahan kesedihan juga bukanlah sesuatu yang membawa kebaikan. Saya masih ingat air mata saya mengalir perlahan-lahan ketika membawa jenazah ayah saya ke liang lahad. 


Ada orang kata jika kita tidak menangis maknanya kita tidak berasa sedih atas kehilangan individu itu. Menangis itu sesuatu yang lumrah dalam perkara kehilnganan ini tetapi bukan semua orang mempamerkan kesedihan mereka menerusi tangisan. Berbanding ketika ayah saya meninggal, saya kurang menangis ketika mak saya meninggalkan kami. Mungkin juga kerana saya mahu memberikan sokongan moral kepada adik saya ketika itu. Setiap insan mempunyai cara mereka tersendiri untuk melahirkan rasa sedih itu.


Ada orang kata kesedihan itu mengambil masa setahun. Entahlah tetapi saya rasa masa itu bergantung kepada individu. Mungkin ada yang lama dan mungkin ada yang sekejap. Buat saya, hampir sebulan lebih saya tidak pergi ke pejabat. Nasib baik, boss saya di UKM ketika itu, Profesor Norani memahami dan membiarkan saya mencari ketenangan diri. 


Ada orang kata meneruskan kehidupan sendiri bermaksud melupakan kehilangan yang dialami. Pada saya meneruskan kehidupan itu bermaksud kita menerima perkara atau takdir yang berlaku tetapi bukan bermakna kita melupakan individu itu. Memori bersama-sama ayah dan ibu akan tetap di hati ini. Setiap kali saya duduk bersendirian menghirup kopi, semua memori saya dengan ayah terutama ketika menaiki kereta api dan ibu kerana menikmati kesedapan masakannya akan bermain-main di depan mata. Malah, saya yakin semua memori yang berlaku akan memberikan satu semangat kepada kita untuk meneruskan kehidupan ini.


Buat pelajar SPM itu, ungkapan takziah saya hulurkan dan semoga kehidupan anda berjalan lancar selepas ini. Saya yakin anda akan mampu meneruskan kehidupan dengan sokongan ahli keluarga dan rakan yang lain.

Cara hidup masing-masing

Cara hidup masing-masing.


Saya suka menaiki LRT. Mungkin sebab ketika kecil ayah saya sering membawa kami balik ke kampung menaiki kereta api. Mungkin juga bunyi atau pergerakan  LRT yang seolah-olah seperti kereta pai itu itu memberikan ketenangan kepada diri lalu berasa gembira. Saya memilih LRT daripada memandu kerana LRT memberikan kegembiraan kepada saya. Memandu menimbulkan ketegangan dan stres yang tidak saya perlukan lagi. Ada dua tiga kenalan saya sering bertanyakan soalan LRT. Mungkin saya tidak nampak kelebihan memandu sama seperti orang lain tidak nampak kelebihan LRT kepada saya.


Pada pandangan saya, kita semua berhak menentukan cara hidup selagi perkara itu tidak membawa kemudaratan kepada sesiapa pula. Manusia seharusnya menumpukan perhatian kepada cara hidup yang sudah mereka pilih daripada mengkritik kehidupan orang lain terutama jika kita tidak mengenali insan tersebut. Kita tidak tahu susah payah yang mereka alami untuk memilih jenis cara hidup tertentu itu.


Sebagai contoh, bukan semua ahli perniagaan itu mengutamakan aspek kewangan sahaja. Saya pernah bertemu dengan ahli perniagaan yang mengutamakan kewajipan membantu masyarakat. Lihat sahaja tindakan seorang ahli pendakwah yang juga ahli perniagaan yang suka membantu sesiapa sahaja sehinggakan saya bependapat tindakan beliau lebih banyak membawa manfaat kepada kesejahteraan hidup rakyat daripada sesetengah pemimpin kita yang cakap tidak serupa bikin itu. Lantaran itu, kita tidak boleh terus mengkritik ahli perniagaan atas alasan mereka suka akan wang.


Tujuan kita hidup ini adalah untuk memilih cara hidup yang kita mahukan secara sedar. Perkara ini penting kerana cara hidup yang kita pilih itulah yang akan menentukan hala tuju kehidupan seseorang pada masa depan. Semua yang berlaku dalam kehidupan kita akan berpandukan kepada cara hidup itu. Cara hidup ini meliputi kepercayaan keagamaan, jenis pekerjaan yang dipilih, hobi yang diminati, jumlah masa yang dihabiskan dengan insan lain, kehidupan berkeluarga mereka, dan kemungkinan juga cara seseorang itu melihat kehidupan dunia itu secara menyeluruh.


Cara hidup saya mudah sahaja iaitu saya mahu melakukan kerja yang saya suka, mempunyai harta yang sederhana atau cukup sahaja, berjalan waktu pagi atau petang di taman, banyak mengembara, bersikap positif terhadap kehidupan, mengutamakan konsep kerja keras, suka menulis mengenai kehidupan masyarakat, mempunyai satu dua kawan sejati, tidak mahu mengalami penyakit, duduk sambil menghirup kopi  dan menghormati semua pihak.


Itu cara hidup saya. Pembaca tidak semestinya meniru cara hidup saya kerana tidak ada cara hidup yang sesuai untuk semua pihak. Cara hidup ini boleh diumpamakan seperti resipi rahsia sesuatu makanan yang perlu dicuba sendiri oleh seseorang insan untuk mengetahui kenikmatan dan keserasian cara hidup itu. Apabila kita sudah mengalami lalu barulah kita boleh memilih cara hidup yang bersesuaian dengan diri. Kita boleh melakukan apa-apa yang kita suka tanpa perlu berasa malu atas pilihan itu. 


Kadangkala, saya berasa hairan kerana ada manusia sanggup berusaha mencari rekaan bentuk rumah dan peralatan di dalamnya dengan begitu rapi supaya kelihatan cantik tetapi kita jarang benar berusaha untuk merenung lalu mencari bentuk cara hidup yang membawa kebahagiaan kepada diri. Kita seharusnya mereka bentuk cara hidup kita bersesuaian dengan matlamat yang ingin kita capai dalam hidup. Kunci cara hidup ialah kita berasa gembira dengan kehidupan yang dipilih. Hati sendiri perlu gembira.


Saya sedar kadangkala pemilihan cara hidup ini boleh mencetuskan perbahasan antara insan. Namun, saya berpendapat kita perlu berundur daripada berbahas atas dasar mengkritik dengan tujuan memalukan orang lain. Sebaliknya, kita cuba mencari cara hidup yang kita sendiri suka kerana tujuan kita hidup ini adalah untuk menbentuk cara hidup yang kita mahu supaya hidup kita terus bahagia lalu kita memperoleh makna atau tujuan kita hidup di dunia ini. Kita kaji dan teliti kehidupan orang lain dari jauh dan membuat perubahan jika sesuai dengan cara hidup sendiri pula.


Kita cuba.

The Alchemist .....konsep positif hakiki


Buku yang ditulis oleh Paulo Coelho ini merupakan salah satu buku yang menjadi kegemaran saya. Karya ini juga menjadikan saya meminati karya-karya beliau yang seterusnya. Novel ini mengisahkan kembara seorang gembala muda yang bernama Santiago. Dia dalam perjalanan menuju ke Piramid.


Perjalanan beliau pada awalnya berjalan lancar tetapi pelbagai cabaran dan kemelut muncul kemudiannya sehingga menduga keyakinan dirinya. Namun, watak utama novel ini berjaya mengharunginya bersama-sama dengan watak-watak sampingan yang membantunya. Namun, paling penting ialah pengalaman yang diterimanya sepanjang dia meneruskan kembara itu atau pengajaran setiap cabaran yang berlaku.


Jadi, kenapa saya mencadangkan pembaca membaca buku ini? Dalam situasi pandemik dan impak kehidupan yang berlaku saya berpendapat novel ini bagus untuk dibaca kerana mampu memberikan satu tujahan semangat kepada sesiapa sahaja untuk meneruskan kehidupannya. Kemelut yang melanda seperti banyak pihak dibuang kerja, banyak pekerja dikurangkan gaji, banyak kilang ditutup, banyak keluarga kehilangan orang tersayang, banyak pihak tidak boleh merayakan perayaan tertentu dan sebagainya. Malah, saya difahamkan buku ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Melayu lalu saya yakin lebih banyak pihak mampu membacanya untuk memahami intipati novel ini.


Saya yakin pembaca sering dilemparkan pelbagai kata-kata seperti fikir positif apabila dibuang kerja atau anda pasti berjaya apabila syarikat memotong gaji dan sebagainya. Saya sedar konsep positif penting dalam kehidupan tetapi kadangkala konsep positif yang saya kategorikan sebagai mudah ini boleh menjadikan kehidupan lebih sukar sebenarnya. Golongan muda akan mudah terperangkap dalam kabus positif sebegini kerana mereka kurangan pengalaman erti kehidupan realiti.


Positif mudah ialah satu konsep pada pandangan saya yang membenarkan kita untuk berfikir positif atau yakin lalu menjadikan diri gembira dalam proses memperoleh sesuatu. Perkara yang dipentingkan dalam konsep ini ialah keyakinan bahawa perkara yang sepatutnya menjadi milik kita akan berjaya kita capai. Pegangan sebegini nampak menarik kerana mudah tetapi apabila berlakunya kegagalan akan membawa diri seseorang itu dipenuhi dengan penyesalan, dendam, dan kemungkinan rasa rendah diri yang mendalam. Kita harus sedar perkara yang HARUS/PATUT menjadi milik kita sebenarnya BELUM/MUNGKIN TIDAK AKAN lagi menjadi milik kita.


Saya mendidik pelajar dan golongan remaja dalam pendidikan serta penulisan. Saya sering beranggapan bahawa konsep positif yang terlalu mudah seperti di atas boleh menjejaskan keseimbangan dalam usaha membuat keputusan golongan muda itu. Kita semua didendangkan dengan ungkapan bahawa jika kita mahukan sesuatu pasti perkara itu akan berlaku. Namun, realitinya tidak semudah itu atau ABC. Kehidupan ini bukannya sesuatu yang selari tetapi penuh dengan rangkaian-rangkaian peristiwa yang kita sendiri sukar ramalkan.


Pada pandangan saya sebagai pendidik dan penulis, konsep positif hakiki ialah kita bukan sahaja perlu percaya akan diri tetapi harus mempunyai perancangan yang jelas lalu bersedia untuk menghadapi kesukaran dalam proses mencapai sesuatu itu. Dalam proses usaha itu pastinya diri akan mengalami ketidakyakinan lalu diri perlu selalu berfikir dan menerima kekurangan diri itu serta berubah segera untuk mengatasi kelemahan tersebut. Ini konsep positif yang saya tekankan dalam diri saya dan pelajar saya sama ada mereka sedar atau tidak. Kita sedar masalah yang dihadapi lalu merancang kaedah penyelesaiannya mengikut kelebihan dan kekurangan diri lalu berusaha untuk satu tempoh tertentu supaya masalah atau perkara itu mampu diatasi dan diperoleh pula.


Dalam novel ini, Coelho cuba mengetengahkan konsep positif yang berasaskan realiti dengan memaksa Santiago untuk mengharungi cabaran yang berlaku secara nyata sebelum mencapai kejayaan yang diidamkannya. Kalau pembaca baca novel ini, semua cabaran yang dihadapi oleh Santiago dihadapinya dengan perlahan tetapi penuh dengan tindakan yang benar-benar dimaksudkannya. Dia cuba seimbangkan perkara yang diingini dengan perkara realiti yang berlaku di depan mata. Apabila berlaku perkara yang tidak diundang, Santiago cuba menggunakan persoalan dan ketidakyakinan dirinya untuk mengatasi perkara itu. Amalan sebegini membolehkan beliau mengatasi kemelut yang melanda. Ringkasnya, Santiago menghadapi setiap cabaran mengikut keperluan semasa yang berlaku.


Sememangnya, semua yang berlaku kepada Santiago merupakan fantasi Coelho tetapi kaedah yang digunakan oleh Santiago untuk mengharunginya pada pandangan saya boleh memberikan satu pengajaran realiti kehidupan kepada pembaca semua. Peribahasa tiada rotan, akar pun berguna mungkin boleh memberi satu perspektif kepada pembaca apabila dilanda sesuatu cabaran itu. Kita semua mahu meneruskan kehidupan ini dengan cara kita sendiri.


Jadi, baca novel ini jika anda mempunyai masa.


Mengukur kebijaksaan seseorang?

Kaedah mengukur kebijaksaan seseorang ialah kemampuan mereka untuk berubah


Dalam kehidupan zaman manusia yang penuh dengan ketidakpastian ini, kemampuan untuk mengubah pemikiran atau sesuaikan diri merupakan satu kemahiran yang amat diperlukan. Jika kita sebagai manusia tidak memberikan kebenaran untuk menukar pemikiran sendiri, sudah pasti kita tidak akan mampu melakukan apa-apa perubahan dalam hidup.


Kebijaksanan merupakan satu keinginan manusia untuk mempelajari dan melakukan lebih baik daripada kebiasaannya. Kebijaksanaan merupakan satu proses yang selalu berlaku. Lantaran itu, kebolehubahan atau kemampuan untuk menyesuaikan diri merupakan satu ukuran utama kebijaksanaan yang dimiliki oleh seseorang itu.


Kehidupan ini merupakan beberapa siri kejadian perubahan yang akan berlaku sama ada dipersetujui atau tidak oleh diri sendiri - kita sebagai manusia selalu berubah dan tidak ada apa-apa yang boleh menghalang perubahan.


Jika kita mahu perkara itu berlaku mengikut acuan kita sendiri, maka kita perlulah berusaha untuk melakukan perubahan. Kebijaksanaan yang dimiliki itu membolehkan kita untuk memberikan perhatian terhadap persekitaran lalu memeproleh kemahiran yang diperlukan untuk meneruskan kesinambungan hidup.


Ada seorang sarjana, saya sudah lupa namanya, yang mengatakan bahawa manusia hanya boleh meneruskan kehidupan ini jika dirinya menjadi matang.  Cara untuk menjadi matang ialah kita perlu berubah. Satu-satunya cara untuk berubah ialah kita mesti belajar. Satu-satunya cara untuk belajar ialah kita mesti mendedahkan diri seluas mungkin. Dan satu-satunya cara yang membolehkan kita mendedahkan diri ialah kita membiarkan sahaja diri dalam semua perkara yang berlaku dalam hidup. Ringkasnya, kita hanya perlu lakukannya. 


Jika kita tidak secara akif meneroka cara untuk berubah sudah pasti kita akan menjadi kayu yang reput yang akan mati bila masanya tiba. Jika kita terperangkap sebegini sudah pasti kita tidak mampu untuk menggunakan seluruh kelebihan diri sendiri lalu kita menjadi orang biasa sahaja. Tiada perubahan akan berlaku. Kita teruskan hidup sahaja - sama selama-lamanya.


Sebagai manusia kita perlu selalu mempersoalkan tindakan kita terutama tindakan yang kita lihat sebagai asas tetapi tidak membawa sebarang perubahan yang besar dalam kehidupan diri. Perubahan dalam kemampuan diri berlaku apabila insan itu melihat keperluan untuk melakukan sesuatu berbeza daripada sebelum ini. Apabila kita cuba berubah sudah pasti kita akan mahu sesuatu yang lebih baik buat diri sendiri seperti mempelajari pengalaman-pengalaman baharu, melakukan sesuatu yang baharu dan mencabar pemikiran kita tentang erti kehidupan serta sebagainya. Dalam proses berubah ini pastinya tahap kebijaksaanan turut berubah kerana kita terdedah kepada pelbagai jenis idea baharu yang akan membawa perubahan yang lebih baik kepada kehidupan sendiri.


Banyak insan di dunia ini yang sudah terbiasa dengan melakukan rutin harian atau sikap sendiri. Akibatnya mereka tidak mahu berubah untuk menjadikan sesuatu proses atau kerja itu lebih baik, pantas dan sempurna. Mereka sudah tertutup mindanya. Itu maksud saya bahawa dalam kehidupan moden ini tahap kebijaksaanan diukur menerusi kemampuan seseorang itu untuk berubah. Berapa pantas dia boleh dan sanggup untuk berubah?


Jika kita masih bergantung harap pada amalan pemikiran terdahulu, prinsip kehidupan terdahulu atau rutin terdahulu serta sikap yang kita gunakan lima atau tujuh tahun yang lalu, jelaslah kita tidak berubah.


Kemampuan kita untuk berubah mengikut masa boleh membantu kita untuk meneruskan kehidupan ini malah mencapai kejayaan. Kita perlu ingat bahawa untuk menjadi lebih baik kita perlu berubah dan untuk menjadi sempurna kita perlu selalu berubah. Jika saya tidak silap kata-kata ini diungkapkan oleh mantan Perdana Menteri Britain yang terkenal ketika perang dunia iaitu Winston S.Churchill.


Perkara yang baik tentang membuat perubahan atau meningkatkan kebijaksanaan diri dalam kehidupan ialah kita tidak perlu melakukan perubahan yang drastik atau radikal setiap hari. Sebaiknya perubahan yang secara kecil tetapi konsisten itu lebih bermakna. Kita boleh mulakan perubahan ini dengan cuba mempelajari sesuatu yang baharu, mencuba sikap baharu, atau mencuba tindakan yang baharu tetapi boleh memberikan perubahan yang ketara dalam kehidupan harian sendiri.


Kemampuan untuk mengakui kelemahan diri, mempelajari sesuatu yang baharu, mengamalkannya dan menubahsuaikan mengikut keperluan serta menghadapi cabaran ,erupakan elemen asas dalams etiap cerita mengenai kejayaan yang kita dengar setiap Hari itu. Kejayaan akan dicapai buat sesiapa Sahaja yang berani untuk keluar daripada kebiasaan sebelum ini untuk memperoleh kejayaan yang lebih baik demi masa depan yang cerah


Kita sebagai manusia akan terus berubah. Baik untuk kebaikan atau pun membawa keburukan. Jadi, gunakan kemampuan untuk berfikir supaya kita mampu mencapai potensi diri dengan sebaik-baiknya.


Mahu berubah dengan saya?

Kita tentukan nasib sendiri

Tidak ada sesiapa yang akan membantu kita. Itulah kata-kata yang saya ucapkan kepada seorang bekas pelajar saya yang terserempak dengan saya ketika saya sedang menaiki LRT. Dia mencurahkan rasa sedihnya kerana pandemik virus ini telah menyebabkan dirinya dibuang kerja dan ibu bapanya pula sudah tua lalu mengharapkan belas kasihan bekas pelajar saya itu. Perlahan-lahan saya memberitahunya.


Ibu bapa tidak akan datang membantu. Mereka sudah cukup membantu kita selama ini. Mungkin juga mereka tidak pernah membantu tetapi apa-apa pun situasinya, mereka tidak akan datang untuk membantu. Kita sudah dewasa. Ibu bapa kita juga mempunyai hala tuju mereka sendiri.


Begitu juga dengan rakan baik kita. Dia juga tidak akan datang membantu. Walaupun dia mungkin sahabat setia tetapi dia juga turut menghadapi masalah yang serupa. Kemelut kerja, cinta, kesihatan dan sebagainya. Mungkin kita patut sering berinteraksi tetapi jangan sesekali menyangka kawan anda akan datang membantu kita. Usah sesekali berharap.


Boss kita? Dia juga tidak akan datang membantu kita. Dia juga bergelumang sengsara untuk menyelamatkan dirinya. Mungkin juga dia sedang berusaha untuk menjaga semua pekerjanya. Ringkasnya, boss kita tidak mempunyai masa untuk membantu kita menyelesaikan masalah kerana dia juga tidak pernah lelap tidur sepanjang krisis ini.


Tidak ada sesiapa yang akan datang menyelamat kita yang sedang mengalami kesusahan itu - kerana itulah fakta kehidupan tahun 2020 sehingga kini.


Saya teringat kata-kata seorang penssyarah saya ketika di UKM dahulu. Katanya “ Doktor tidak menjadikan diri kita sihat. Guru tidak menjadikan kita bijak. Tuan Haji tidak akan menjadikan diri kita tenang. Sebenarnya, kita yang perlu memikul tanggungjawab itu. Kita perlu menyelamatkan diri sendiri.” Cuma konteks ucapan pensyarah saya ini dia tujukan kepada kami sebagai pelajar kerana peperiksaan semester hampir tiba. Namun, kata-kata itu masih relevan buat saya terutama dalam situasi kehidupan yang penuh ketidakpastian ini.


Setiap saat yang kita habiskan dengan menanti bantuan orang lain merupakan setiap saat dibazirkan begitu sahaja. Kita sendiri sahaja yang boleh membantu diri sendiri. Kita sahaja yang perlu melakukannya. Kita perlu bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang berlaku dalam hidup sendiri. Peristiwa yang berlaku, masalah yang ditimbulkan oleh pihak lain dan sebagainya itu mestilah kita memikul tanggungjawabnya.


Kata saya kepada bekas pelajar saya itu, kita perlu membuang sikap buruk kita, membuang sikap malas kita, membuang sikap terlalu menilai kita, membuang sikap berbelanja boros itu dan sebagainya. Ringkasnya, kita perlu membuang semua yang kita rasakan keterlaluan itu supaya kita mampu meneruskan kehidupan ini.


Ketiadaan bantuan ini bukan bermakna anda bersendirian atau tidak ada sesiapa di dunia ini yang mahu menolong apatah lagi dunia ini bukannya sekejam itu tetapi kerana semua orang turut mengalami kesan yang serupa lalu semua orang perlu membantu diri mereka sendiri. Masing-masing sedang sibuk berusaha untuk memastikan diri dan keluarga serta orang tersayang mereka selamat dalam suasana pandemik ini.


Ingatlah, tidak ada sesiapa yang akan membantu kita kecuali diri kita sendiri yang mahu berusaha membantu diri. Saya melihat cermin pintu LRT kerana saya sedar saya sudah terlepas destinasi stesen yang ingin saya kunjungi.

Kes rasuah terus bertambah di Malaysia?


Pada 30 Januari 2021, akhbar Utusan (menerusi satu rencananya) melaporkan bahawa kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah bertambah teruk. Daripada 180 buah negara yang dinilai, Malaysia menduduki tangga ke-57 pada tahun 2020 berbanding tangga ke-51 pada tahun 2019. Saya secara peribadi melihat situasi rasuah di negara ini semakin teruk kerana laporan ini berdasarkan persepsi dan bukannya realiti. Jadi, kemungkinan realiti masalah rasuah itu lebih tinggi berbanding dengan persepsi yang berlaku. Ini sesuatu yang membimbangkan.


Lihat sahaja kes penjualan daging yang tidak halal baru-baru ini. Ada laporan yang mengatakan bahawa perkara ini sudah berdekad-dekad berlaku tetapi tiada tindakan diambil yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa wujudnya amalan rasuah dalam kalangan pihak yang bertanggungjawab itu. Begitu juga dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan beberapa ahli politik yang seolah-olah mencerminkan betapa meruncingnya isu ini. Jika perkara sebegini boleh wujud bertahun-tahun sudah pasti amalan rasuahnya juga sudah bertanam agak lama dalam kalangan pihak berkuasa yang terbabit.


Jadi, apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini? Saya sering menggunakan Singapura sebagai contoh bandingan bukan disebabkan saya suka Singapura tetapi setiap kali sesuatu laporan antarabangsa diumumkan pastinya jiran kita itu akan mempunyai keududukan yang lebih baik berbanding Malaysia. Saya juga sudah mula muak mendengar hujah bahawa Singapura lebih baik daripada kita kerana negara itu kecil. Rakyatnya sedikit lalu mudah untuk mengawalnya. Singapura lebih baik kerana kawasannya kecil dan sebagainya lagi. Kenapakah kita tidak mahu melihat kedudukan Singapura yang lebih baik daripada kita itu sebagai satu seruan untuk melakukan yang lebih terbaik terutama dalam aspek pembasmian rasuah ini? 



Itu baru isu penjualan daging yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Bagaimana pula dengan isu rasuah dalam aspek perhutan negara atau penglibatan rasuah dalam anggota polis atau pemberian rasuah dalam proses mendapatkan lesen memandu? Jika kita masih berdiam diri dengan masalah rasuah ini sudah pasti kedudukan negara akan terus jatuh pada tahun-tahun berikutnya.


Namun, untuk menolak usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak adil. Jika dilihat menerusi laporan sidang medianya, agak banyak juga tangkapan yang telah dilakukan oleh SPRM ini. Mereka berusaha untuk memastikan jenayah rasuah ini tidak menular tetapi usaha mereka ini memerlukan lebih banyak sokongan dan kemungkinan peruntukan daripada kerajaan. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, kadar tangkapan SPRM jauh lebih banyak dan berkualiti pula terutama kes-kes berprofil tinggi.


Mungkin, kita sebagai rakyat Malaysia harus menukar mentaliti untuk bekerja dengan jujur baik di sektor swasta dan awam. Atau kita sebagai orang biasa sedang menunggu ahli-ahli politik untuk mengambil langkah pertama untuk berubah itu.

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...