Lima teknik untuk terus menulis
Lima teknik yang saya gunakan untuk selalu menulis
Banyak pelajar saya mengalami masalah untuk menulis terutama penulisan untuk sekolah, kolej dan kemungkinan juga untuk buku mereka. Secara jujur, saya juga mengalami masalah untuk menulis. Sebagai penulis memang sukar untuk tidak mengalami perasaan tidak mahu menulis, tidak mempunyai idea untuk menulis dan pelbagai halangan lain. Kesediaan untuk menulis bukanlah sesuatu yang boleh muncul secara sendiri tetapi perkara ini perlu dipaksa oleh seseorang. Maksudnya kita perlu mengambil beberapa tindakan yang membolehkan sesuatu karangan atau kandungan web itu dihasilkan dengan segera.
Buat saya untuk menulis sebarang penulisan terutama karangan bukanlah sesuatu yang sukar. Tugasa untuk menulis kandungan web untuk pelanggan juga tidak sesukar yang disangka oleh pembaca. Namun, pembaca perlu sedar bahawa saya sudah melakukan penulisan ini beberapa dekad yang lalu. Biasanya, inilah yang akan saya lakukan setiap kali saya mempunyai tugasan untuk menulis (sama ada karangan, kandungan web, e-buku dan sebagainya).
Untuk menjadi penulis yang produktif, pembaca perlulah mempunyai satu jadual yang tersendiri. Pastinya, banyak pembaca akan mengatakan bahawa mereka sudah banyak kali mendengar nasihat ini. Saya juga berpendapat sedemikian juga sehinggalah saya sendiri mengamalkannya. Hasilnya memang betul. Kita boleh menulis. Selalunya saya membiarkan awal pagi selepas bangun dari tidur untuk menulis sesuatu dalam ipad saya. (Saya pengguna tegar Ipad). Biasanya, setiap hari selepas bangun dari tidur saya akan menghasilkan 20-30 minit untuk menulis. Setiap hari. Jika ada pembaca yang mahu menjadi penulis, pastikan anda mempunyai satu jadual yang bersesuaian dengan diri untuk menulis setiap hari itu.
Kedua, saya selalunya mencari idea ketika menaiki LRT atau MRT. Saya sering menggunakan masa ketika berada dalam LRT atau MRT untuk mencari idea menulis. Usaha mencari idea untuk menulis merupakan satu aktiviti yang perlu dilakukan sepanjang masa oleh penulis. Sememangnya, idea untuk menulis ini juga kadang kala ditentukan oleh pelanggan tetapi sebagai penulis, kita boleh menjadikan idea pelanggan itu satu realiti maya dengan memikirkannya secara mendalam ketika berpeluang melakukannya. Banyak idea yang diperoleh ketika berada dalam LRT dan MRT itu akan saya catatkan dalam ipad sebagai rujukan apabila diperlukan. Banyak idea menulis dalam blog saya dicetuskan ketika berada dalam LRT dan MRT itu. Jadi, sebagai penulis kita perlu ada idea kasar atau bahan kasar untuk digunakan dalam sebarang penulisan. Kewujudan idea kadar ini akan memudahkan penulis untuk memulakan sesuatu penulisan itu tanpa menjejaskan produktiviti mereka. Gunakan masa ketika bersendiria, ketika memandu dan ketika berjogging di taman sebagai kaedah untuk mencari idea ini.
Ubah persekitaran menulis itu. Saya sering gunakan ipad kerana ipad mudah untuk dibaca lalu kafe kopi menjadi tempat lepak utama saya untuk menulis. Malah ketika menulis bahan ini juga saya sedang berada di dalam kafe kopi yang terkenal di Kuala Lumpur. Sebagai penulis, anda berpeluang untuk bekerja di mana-mana sahaja terutama di luar rumah. Gunakan persekitaran yang berbeza itu untuk memberikan satu lonjatan semangat untuk menulis. Suasana yang berbeza dari rumah boleh memberikan satu motivasi kepada sesiapa sahaja untuk menulis dalam hidup mereka.
Akhir sekali, saya selalu mengamalkan penulisan bebas. Maksudnya, setiap kali saya membuka ipad itu saya akan mula menaip tanpa memikirkan kesalahan ejaan dan sebagainya. Saya menulis berdasarkan pengaliran idea yang ada pada ketika itu. Amalan menulis sebegini menjadikan saya lebih mudah untuk menghasilkan pelbagai idea menulis selain menjadikan minda saya lebih jelas mengenai sesuatu topik itu.
Sebenarnya, kita apabila menulis harus sedar bahawa pasti masalah ketandusan idea dan semangat untuk menaip itu akan berlaku. Jadi, amalan menulis secara bebas ini boleh memberikan satu suntikan semangat untuk pembaca cuba menghasilkan sesuatu dahulu. Kita perlu bertindak untuk melakukan sesuatu daripada duduk memikirkannya sahaja sehingga membuang masa begitu sahaja. Terus sahaja menulis.
LIMA REALITI KEHIDUPAN YANG PERLU KITA FAHAMI
Kita perlu sedar lalu terima erti kehidupan sebenar
Ketika mengajar saya sering berusaha untuk menerangkan perkara sebenar kepada pelajar saya. Maksud saya kehidupan sebenar. Realiti kehidupan ini. Kenapa perkara ini saya tekankan kerana ramai antara pelajar saya enggan menerima realiti kehidupan yang menimpa diri mereka ketika bersekolah dan juga selepas memasuki alam pekerjaan itu. Keengganan ini banyak berlandaskan konsep kebenaran yang sukar untuk diterima oleh manusia. Ringkasnya, kehidupan ini memang banyak perkara yang tidak adil atau sering kita persoalkan tetapi semua ini bergantung pada kemampuan pelajar untuk menerimanya dan menghadapinya sebagai seorang manusia sebenar. Jadi, apakah kebenaran-kebenaran kehidupan yang sering dipersoalkan oleh kita sebagai manusia?
(Realiti 1) Hidup manusia akan terus mengalami cabaran demi cabaran. Banyak antara kita yang berpendapat kehidupan mereka akan menjadi lebih baik jika mereka berusaha mengatasinya. Sering kali kita mendengar komen yang mengatakan bahawa jika kita berusaha pastinya masalah itu akan berjaya. Konsep ini tidak tepat sebenarnya. Pasti akan ada cabaran atau masalah lain yang timbul setelah kita berusaha gigih mengatasi masalah sebelum itu.
Saya yakin anda semua pernah berfikir cabaran yang berlaku itu seolah-olah menduga keimanan diri? Betul. Ketika anda sudah berjaya meningkatkan kemampuan kewangan anda, tiba-tiba kereta pula mengalami kerosakan. Setiap kali anda berjaya mengharungi sesuatu masalah pastinya ada masalah yang lain pula muncul. Kita sering berfikir bahawa kejayaan dalam kehidupan akan berupaya mengelakkan diri daripada masalah yang berlaku. Kita menggunakan pendapatan yang tinggi, kebebasan dalam hidup dan sebagainya tetapi semua ini tidak membawa kesan sebenarnya kerana masalah demi masalah akan berlaku juga.
Masalah dalam kehidupan akan datang dan terus datang tanpa berhenti. Itu realiti.
Namun, dalam kegigihan kita mengatasi satu demi satu masalah yang mendatang itu kita sebenarnya melihat satu keajaiban yang sering kita lupa bahawa masalah mengajar kita eri keliatan hidup atau kegigihan. Kita perlu melihat masalah yang mendatang daripada sudut yang berbeza. Kita juga perlu sedar bahawa masalah dunia akan sering berlaku lalu kita tidak lagi terkejut apabila mengalaminya.
(Realiti 2) Perkara tidak akan sama seperti dahulu. Manusia sering menggunakan perkataan PATUT buat. Kehidupan dunia ini sememangnya tidak adil kerana ketidakadilan, ketamakan, rasa iri hati, dan sebagainya pasti wujud. Namun, kita tida seharusnya menolak kehidupan dunia itu. Mungkin kita berasa diri patit diberi gaji yang lebih. Namun, anda tidak menerimanya dan mempercayai bahawa gaji yang tinggi itu satu perkara yang patut anda terima bukanlah sesuatu yang baik. Konsep kita harus dapat atau sepatutnya dapat bukanlah satu amalan yang positif.
Tindakan berusaha mencari kerja lain yang lebih baik atau meninggkatkan kualiti kerja atau berusaha berunding dengan majikan untuk kenaikan gaji berkemungkinan besar boleh mengubah semua ini. Amalan merungut dan komplen sahaja tidak membawa apa-apa kesan. Manusia memang suka merungut tetapi rungutan tidak akan membawa apa-apa. Rungutan bukanlah satu strategi yang baik kerana rungutan tidak memberi kesan yang sewajarnya kepada masalah yang dihadapi.
Tenaga yang kita gunakan untuk merungut tentang masalah itu seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
(Realiti 3) Semuanya salah diri sendiri. Betul. Saya tahu apa perkara yang anda fikirkan. Pelbagai alasan kita gunakan apabila berlaku sesuatu perkara dalam kehidupan ini daripada kita dilahirkan dalam keluarga yang miskin, boss tak suka kita, cara cakap yang tidak fasih dan kemungkinan diri kita yang selalu sakit. Sebagai manusia, setiap daripada kita ialah insan yang unik lalu keunikan inilah yang menyebabkan pelbagai cabaran atau masalah berlaku. Kita sebenarnya tahu bahawa semua masalah yang berlaku itu disebabkan oleh diri sendiri tetapi sukar untuk kita terima? Kenapa? Kesukaran ini berlaku kerana kita tidak mahu berubah untuk mengatasi maslaah yang berlaku. Akibat kegagalan untuk berubah itulah kita sahaja yang patut dipersalahkan. Cuma kita tidak mahu menyalahkan diri sendiri sebaliknya kita salahkan pihak lain atau keadaan atau sebagainya. Kaedah menyalah pihak lain lebih mudah kerana tindakan ini tidak memerlukan kita sebagai manusia untuk berubah. Amalan sebegini merupakan satu perkara biasa yang saya lihat berlaku kepada pelajar saya.
Kita sebenarnya yang menentukan kehidupan sendiri. Adakah kita boleh mengawal perkara yang berlaku kepada diri? Sudah pasti tidak boleh tetapi kita boleh mengawal tindakan kita terhadap perkara atau masalah yang melanda diri itu. Kita yang perlu berubah.
Kita sendiri yang memilih sesuatu tindakan itu tanpa kita sedar atau tidak.
(Realiti 4) Kita bersendirian jadi tidak ada orang akan membantu kita. Ketika pandemik ini pelbagai bantuan dihulurkan oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan (walaupun bantuan itu masih boleh dikaji mendalam kesesuaiannya). Sikap menunggu kerajaan atau majikan atau kawan membantu diri sendiri bukanlah satu sikap yang betul. Jika kita menanti bantuan mereka ini sudah pasti bantuan itu akan menyusul dalam tempoh yang lama lagi. Atau kemungkinan tidak berlaku. Kita tidak boleh menunggu bantuan orang lain kerana mereka juga mempunyai masalah mereka sendiri. Kita perlu melatih diri untuk menyelesaikan semau cabaran secara bersendirian tanpa perlu menagih simpati pihak lain membantunya.
(Realiti 5) Masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu tidak pernah wujud. Saya sudah tahu saya mahu menjadi penulis ketika saya belajar di universiti dahulu tetapi ketika itu saya belum matang lagi lalu saya mahu mengajar kehidupan dunia yang mengutamakan pangkat dan kedudukan serta jawatan. Kematian ayah saya mendesak saya menilai hidup semula lalu perjalanan saya sebagai penulis bermula. Adakah saya mengumumkan minat menulis itu kepada semua? Tidak. Adakah saya membeli mesin taip (ketika itu tiada komputer) atau duduk di bilik berjam-jam untuk menulis? Tidak juga. Saya mula dengan menulis blog walaupun ramai rakan-rakan yang menempelak tindakan saya menulis blog kerana mereka melihat blog tidak memberikan sumber kewangan. Minat itu beralih kepada menulis untuk akhbar dan majalah. Kemudian menulis buku-buku latihan untuk sekolah sebelum menceburi penulisan novel kanak-kanak. Sekarang saya masih menulis tetapi kebanyakannya untuk kandungan web pihak ketiga dan e-buku ekoran meletusnya minat membaca secara online itu.
Sebenarnya mereka lupa, kuasa yang paling penting ialah kemampuan untuk memulakan sesuatu. Kita perlu mulakan sesuatu. Sebagai contoh jika anda mahu menjalankan perniagaan adakah anda akan menunggu sehingga mempunyai modal? Tahukah anda ada banyak kaedah yang boleh digunakan selain mempunyai model untuk membuka perniagaan?
Perkara penting yang saya ingin sampaikan dalam artikel ini ialah dalam dunia ini terlalu banyak gangguan atau cabaran. Gangguan dan cabaran ini boleh menjejaskan perjalanan kehidupan harian seseorang. Kita boleh mengatasinya dengan melihat kehidupan dunia ini secara realiti. Kita boleh menunggu untuk dunia berubah menjadi keadaan yang kita mahukan atau kita sebagai manusia boleh berusaha atau mempelajari cara untuk mengharungi cabaran itu. Jadi, saya berharap anda semua boleh melihat kehidupan ini daripada lensa realiti yang sebenarnya dan bukannya realiti kepalsuan yang sengaja diwujudkan oleh masyarakat itu.
Sistem pengangkutan awam perlu dirombak atau…
Sampai bilakah sistem pengangkutan awam negara dibelenggu masalah yang menjejaskan pengguna?
Isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur yang dikatakan luar biasa setelah ramai kembali bekerja di pejabat telah menyebabkan kritikan terhadap sistem pengangkutan awam menjadi-jadi. Kemelut ini diburukkan lagi dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan sistem pengangkutan awam itu yang dilihat tidak menjurus pada masalah sebenar sistem pengangkutan awam bersama-sama dengan kelemahan dalam menyelenggarakan sistem pengangkutan awam tersebut.
Saya menggunakan pengangkutan awam terutama LRT, MRT dan Komuter. Sepanjang masa saya menggunakan pengangkutan awam ini saya tidak nafikan masalah-masalah kelewatan tren dan kekerapan tren yang tidak bersesuaian dengan keperluan pengguna dan jadual perjalanan yang tidak menarik dan kerosakan kemudahan awam di kawasan setesen bukanlah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan tetapi itulah hakikatnya. Persoalannya ialah sampai bilakah masalah ini akan dapat diselesaikan? Kenapa masalah ini mengambil masa untuk diselesaikan?
Satu perkara yang banyak pihak terutama ahli politik dan kini pihak pengurusan atasan syarikat lupa ialah teknologi komunikasi terutama media sosial zaman ini begitu canggih. Semua kata-kata yang dikeluarkan oleh mereka pada masa lampau akan menjerat diri sendiri jika kenyataan-kenyataan yang tidak logik atau tidak disertakan bukti dan hujah yang bernas. Lihat sahaja komen-komen pengguna apabila salah seorang pihak pengurusan sistem pengangkutan awam negara memberikan komennya. Banyak pengguna Internet telah memberikan komen dalam masa yang singkat selepas kenyataan itu disiarkan oleh media massa. Memang ada komen yang pedas untuk didengar tetapi banyak komen yang diberikan itu bernas dan boleh diteliti oleh semua pihak yang bertanggungjawab dengan hati yang terbuka. Perlu diingat bahawa golongan yang memberi komen ini kemungkinan besar rakyat biasa yang tidak menerima gaji yang tinggi atau pendidikan yang tinggi atau pengalaman luas dalam menguruskan syarikat tetapi mereka yang mengalami semua kesulitan akibat kelemahan sistem pengangkutan negara itu. Lantaran itu, komen-komen mereka perlu diberi perhatian atau sekurang-kurangnya dijawab dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab kerana mereka bercakap berdasarkan pengalaman sebenar.
Usaha kerajaan memberikan tambang percuma kepada penggunaan LRT dan MRT selama sebulan merupakan satu baik (malah perlu diberi tepukan)tetapi adakah masalah kelewatan tren, kesesakan tren, kerosakan tangga bergerak dan sebagainya itu akan dapat diselesaikan selepas sebulan ini? Bukankah lebih baik wang subsidi yang digunakan untuk menampung kos percuma sebulan ini digunakan untuk membaiki beberapa kemudahan yang ada di beberapa buah stesen? Mungkin sistem audio beberapa stesen boleh dibaiki, sistem tangga bergerak dibaiki, tandas diselenggara dengan lebih bersih dan sebagainya. Ini antara sebab utama Malaysia sukar untuk membawa rakyatnya menjadi negara maju iaitu kita menyelesaikan masalah yang rakyat rungutkan dengan tindakan yang tidak tepat. Isu yang rakyat rungutkan bukan isu tambang pengangkutan awam tetapi kekerapan tren, kemudahan di stesen, sistem jadual yang baik, rangkaian pengangkutan bas dan teksi yang mudah di stesen LRT atau MRT atau komuter dan sebagainya.
Jadi, berbalik kepada pertanyaan awal dalam artikel ini tadi, adakah kita perlu menunggu lima tahun lagi sebelum semua masalah pengangkutan awam ini selesai? Atau kita akan terus mengalami perkara ini selama-lamanya kerana sudah lama isu-isu ini berlaku tanpa ada sebarang perubahan yang konkrit.
Cari pelukis untuk ilustrasi konten web anda?
Kesihatan mental perlu diberi perhatian semua
Kejadian kematian seorang doktor di sebuah hospital akibat tekanan kerja atau tindakan buli rakan atau tekanan kerja keterlaluan daripada pihak tertentu telah memberikan satu sudut perbincangan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Begitu juga dengan kejadian suami memukul isteri sehingga membawa maut atau memandu secara bahaya di jalan raya dan sebagainya itu memberikan satu persoalan dalam minda kita semua. Dalam artikel ini, saya ingin menekankan kepentingan kesihatan mental itu sendiri. Secara peribadi, saya melihat aspek kesihatan mental ini perlu diberikan perhatian atau status kaedah rawatan yang sama pentingnya seperti kesihatan fizikal seseorang. Mungkin pemeriksaan kesihatan mental perlu dilakukan secara tahunan sama seperti pemeriksaan kesihatan fizikal itu. Kenapakah kesihatan mental penting dalam hidup kita?
Pertama kesihatan mental yang baik akan menjadikan diri seseorang itu lebih mudah untuk mengendalikan stres dalam kehidupannya. Selain itu, kesihatan mental yang baik turut menjadikan kesihatan fizikal seseorang menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mereka yang mempunyai kesihatan mental yang stabil turut mampu untuk memberikan fokus dan bekerja secara lebih produktif lagi. Ringkasnya, kesihatan mental perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana perkara ini telah lama diabaikan oleh kita.
Jadi, bagaimanakah kesihatan mental boleh dicapai? Buat saya, amalan berjalan sangat penting. Saya menggunakan pengangkutan awam terutama LRT dan MRT kerana mahu memastikan saya berjalan (jimatkan kos juga). Berjalan juga memberikan saya satu ruang untuk berfikir tentang kehidupan sendiri tanpa perlu memberikan fokus seperti ketika memandu. Berjalan juga memastikan saya menerima sinaran matahari walaupun berjalan di KL ketika pagi atau petang yang panas terik memang penuh cabaran.
Tindakan membuat sesuatu matlamat juga penting seperti tahun 2022 saya tetapkan matlamat untuk memastikan saya mengambil lebih banyak kursus yang meningkatkan kemahiran diri saya terutama dalam penggunaan teknologi maklumat. Matlamat menjadikan hidup seseorang mempunyai tujuan tertentu. Matlamat perlu ada walaupun mungkin kita gagal mencapai kesemua matlamat itu tetapi kewujudan matlamat memberikan seseorang insan satu objektif yang boleh memberikan suntikan semangat untuk meneruskan cabaran hidupnya.
Pada masa yang sama, amalan bersyukur juga penting. Ucapan terima kasih yang kita ucapkan apabila menerima sesuatu daripada orang lain merupakan satu bentuk kesyukuran yang paling mudah untuk dilaksanakan oleh sesiapa juga. Konsep syukur memberikan manusia satu penerimaan dalam perkara yang berlaku dalam hidupnya baik perkara positif atau negatif. Syukur satu konsep yang nampak mudah tetapi membawa makna yang sangat mendalam kepada manusia yang mengamalkannya.
Tambahan pula, saya akan pastikan diri saya positif walaupun kehidupan selepas Covid-19 ini masih belum terjamin sepenuhnya. Positif ini wujud dengan berusaha untuk melihat kehidupan saya sebagai sudah mempunyai segala-galanya. Kehidupan mewah tidak semestinya tetapi kehidupan yang menceriakan dan diperoleh dengan ikhlas lebih bermakna. Positif itu bermakna kita akan berusaha mencari jalan menyelesaikan masalah walaupun tempoh masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah itu.
Hujung minggu saya pastikan diri dikelilingi oleh individu-individu yang membawa impak positif sahaja di kedai-kedai kopi atau di taman atau di denai atau pinggiran tasik yang tenang. Saya sanggup menolak jemputan pihak ketiga yang tidak dikenali semata-mata mahu menghabiskan masa dengan individu-individu yang penting dalam hidup saya. Golongan yang memberikan impak negatif terus saya tamatkan kerana saya sedar impak negatif yang berlaku akan membawa kesan untuk jangka masa panjang terhadap kesihatan mental saya.
Perkara yang saya sebutkan di atas merupakan antara perkara yang boleh dilakukan apabila seseorang itu berasa tertekan. Jika ada antara anda berasa stres, tidak gembira dengan perjalanan kehidupan sekarang atau berasa negatif tentang diri, mungkin anda perlu berhenti sejenak lalu melihat dan merancang tindakan susulan yang betul kerana mental yang sihat penting untuk memberikan kesihatan fizikal yang mantap juga. Kita juga boleh berkongsi masalah atau tekanan itu dengan ahli keluarga, kawan dan sesiapa sahaja yang kita percayakan.
Kita hidup sekali sahaja lalu kita perlu gunakan kehidupan ini dengan sebaik mungkin.
Penggunaan DRON
Perang Ukraine pamerkan kehebatan DRON
Kemungkinan dron peperangan yang terkenal di dunia sebelum ini ialah dron Reaper yang dimiliki oleh Amertika Syarikat. Kemampuannya untuk terbang jauh dan berfungsi dalam satui tempoh yang lama serta membawa muatan persenjataan yang canggih telah menakutkan banyak pihak terutama negara-negara yang pernah mengalami serangan dron ini. Namun, sejak perang di Ukraine meletus, satu nama dron lain pula yang muncul - Bayraktars. Dron keluaran negara Turki ini dikatakan dron yang jauh lebih murah berbanding dengan dron Reaper itu. Malah, saiz dron Turki ini juga begitu jauh lebih kecil.
Gambar-gambar dan video-video yang disiarkan dalam berita dan media sosial telah membuktikan betapa dron kerdil ini berupaya memusnahkan kereta-kereta kebal Rusia dengan begitu efektif sekali. Namun, ramai tidak sedar bahawa penggunaan dron Bayraktars ini sudah terbukti berkesan sebelum ini terutama di Azerbaijan dan juga di Libya dan Syria. Dron ini telah dimajukan oleh sebuah syarikat Turki yang pemiliknya merupakan menantu kepada Presiden Turki ketika ini.
Pada masa yang sama juga, kejayaan penggunaan dron ini mengelirukan kerana semua pihak menyangka Rusia yang mempunyai kelebihan daripada aspek pesawat pejuang dan helikopter pemusnah yang serba canggih tidak mampu untuk memusnahkan dron ini dengan berkesan pula. Kemungkinan juga tentera Ukraine telah berjaya menemukan satu strategi yang membolehkan mereka menggunakan dron ini dengan jayanya atau situasi ini membuktikan ketidakcekapan tentera Rusia dalam peperangan ini. Dron ini dikatakan sebagai sasaran mudah untuk mana-mana pesawat menembak jatuhnya. Begitu juga dengan penggunaan peperangan elektronik yang masih lagi belum dipamerkan secara terperinci oleh Rusia sehingga menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak.
Kenyataan pemimpin politik mula diteliti
Kenyataan pemimpin mula diteliti
Kenyataan yang mengaitkan pembalakan sebagai satu aktiviti yang sihat untuk spesies harimau di negara ini telah mendapat perhatian semua pihak. Perkara yang ingin saya kupas di sini bukan kenyataan itu tetapi reaksi masyarakat terutama golongan muda di negara ini. Reaksi sebegini perlu difahami oleh pemimpin di negara ini terutama menjelang pilihan raya di Johor nanti. Kenapa reaksi ini amat penting?
Kalau kita lihat sejak kejadian banjir di Selangor dan beberapa kawasan lain di Malaysia, reaksi masyarakat di negara ini semakin pantas dan efektif. Perkara ini dipercepatkan pula dengan isu tindakan pegawai di badan pencegah rasuah yang membeli saham syarikat. Reaksi masyarakat terutama golongan muda begitu pantas jerana mereka menggunakan media sosial untuk berinteraksi. Kalau kita lihat dalam media sosial begitu banyak komen yang menarik tetapi mendalam terhadap semua isu-isu ini. Maknanya, masyarakat mula memahami keperluan untuk membahaskan kenyataan pemimpin-pemimpin di negara ini. Sudah berlalu era 80-an atau 90-an yang menyaksikan semua kenyataan pemimpin-pemimpin itu sebagai sesuatu yang bernas.
Realitinya, banyak pihak di negara ini yang enggan menerima kenyataan bahawa masyarakat mahukan reaksi yang betul daripada pemimpin mereka. Reaksi yang konsisten dan memberikan impak kepada kehidupan masyarakat lalu bukan bercirikan retorik atau setakat cakap-cakap kosong sahaja. Pemimpin kena sedar bahawa semua kenyataan mereka akan diselidiki lalu dikaji oleh golongan muda ini kerana semua tindakan mereka boleh diambil daripada Internet. Sebarang kenyataan yang tidak sepadan atau selari dengan kenyataan sebelum ini pastinya akan menerima kritikan hebat terutama daripada golongan muda. Dunia moden yang serba berkaitan ini akan memberik pelbagai informasi yang berguna kepada masyarakat dalam menilai kenyataan pemimpin-pemimpin politik itu.
Lihat sahaja komen mengenai kaitan pembalakan dan populasi harimau di negara ini. Sebaik sahaja kenyataan itu disiarkan secara rasmi oleh media massa di negara, pelbagai pihak mula memberikan komen dan ada yang menyertakan bukti-bukti Kajian terkini yang cuba menyangkal dakwaan pembalakan memberikan impak positif kepada kehidupan harimau. Malah, tidak kurang juga sindiran tajam yang terjelma menerusi foto yang diedit, ilustrasi kartun yang unik dan sebagainya. Semua ini membuktikan bahawa satu generasi baharu sudah muncul di negara ini iaitu generasi yang enggan menerima bulat-bulat kenyataan pemimpin tanpa disertakan bukti yang sahih. Generasi yang sanggup meneliti setiap reaksi dan kenyataan rasmi pemimpin dengan hati yang penuh kritis.
Pada masa yang sama, kedahagaan generasi muda untuk memberikan kritikan membina ini pastinya akan menjadi semakin rancak terutama jika pilihan raya peringkat negeri Johor dilangsungkan. Menarik kerana kemungkinan besar golongan muda berpeluang untuk membuang undi dan golongan inilah yang dilihat menjadi pemangkin kepada perubahan terhadap kenyataan yang tidak disokong oleh bukti yang sahih. Saya yakin lebih banyak isu-isu semasa yang akan dibangkitkan menjelang pilihan raya negeri itu jika kenyatan-kenyataan yang tidak matang diberikan oleh sesiapa sahaja terutama pemimpin-pemimpin politik.
Ringkasnya, jika pemimpin-pemimpin zaman ini mahu terus relevan, mereka juga perlu bijak memberikan kenyataan dan melakukan perkara yang mereka ucapkan dengan memberikan bukti yang kukuh.
Jika mereka masih melihat masyarakat terutama golongan muda sebagai masyarakat era dahulu pastinya mereka akan tersilap langkah dengan ruang media sosial mereka akan dipenuhi dengan pelbagai usikan unik yang bersahaja tetapi penuh makna.
Sampai bila mutu sukan negara mahu terus merudum…
Sampai bila mutu sukan negara mahu terus merudum…
Satu perkara yang menarik tentang dunia sukan negara ialah kita gagal untuk mengekalkan kecemerlangan dalam sesuatu bidang sukan itu untuk satu tempoh yang lama. Era tahun 70-an dan 80-an mutu sukan negara terutamanya bola sepak dan hoki negara serta badminton begitu ditakuti oleh negara-negara jiran Asia Tenggara malah Asia pun tetapi sekarang negara-negara seperti Vietnam dan Thailand or Mymmar semakin menyerlah dalam sukan bola sepak.
Lihat sahaja kejayaan Taiwan melahirkan pemain badminton lelaki dan wanita dan bergu dunia. Begitu juga dengan Thailand yang menghasilkan pemain badminton wanita dunia dan pasangan bergu campuran serta wanita yang berkualiti atau pandang sahaja kemampuan Jepun melahirkan barisan pemain badminton lelaki dan wanita yang bukan calang-calang hebatnya. Kita perlu meninjau rahsia kejayaan mereka dalam program melahirkan jaguh dunia itu.
Kita juga mempunyai jaguh dalam sukan badminton dan squash serta lumba basikal tetapi setelah jaguh-jaguh ini bersara, persoalan pengganti akan timbul sehingga wujud satu tempoh yang menyaksikan sukan itu terus ketinggalan mutunya. Jadi, apakah masalah yang melanda dunia sukan negara? Mengapakah kita masih gagal untuk menjadi satu kuasa dunia dalam satu-satu acara sukan untuk satu tempoh yang lama?
Ambil sahaja contoh BAM dan FAM yang kini sedang mengalami kemelut dalam pengurusan badan sukan mereka. Kegagalan FAM untuk merangkul kejuaraan dalam kejohan bertaraf dunia akhir-akhir ini telah menyebabkan banyak pihak berpendapat pengurusan FAM perlu berubah. Begitu juga tindakan seorang pemain badminton handalan negara untuk keluar daripada BAM telah menjemput pelbagai kritikan terhadap kemampuan bandan induk itu dalam menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Mungkin tidak keterlaluan kalau saya simpulkan bahawa kegagalan badan-badan sukan di negara ini (tidak menjurus BAM dan FAM) disebabkan masalah pemilihan barisan pemimpin yang mentadbir persatuan-persatuan itu. Kalau kita kaji, Malaysia tidak mempunyai budaya untuk melantik bekas pemain atau golongan profesional untuk menguruskan persatuan sukan dengan pelbagai alasan terutama kesukaran untuk memperoleh peruntukan kewangan pula. Akibatnya, banyak barisan pemimpin ini merupakan golongan politik, atau golongan yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti sukan itu juga.
Apabila golongan yang tidak tepat dilantik untuk mengetuai sesebuah persatuan sudah pasti banyak aktiviti yang efektif tidak mampu dijalankan kerana golongan ini tidak pernah atau mengalami sendiri kesukaran sebagai ahli sukan atau memahami keperluan sebagai ahli sukan. Mereka menguruskan persatuan sukan sebagai orang luar yang cuba bersikap objektif tetapi pada masa yang sama mereka sendiri tidak memahami keperluan sebagai ahli sukan itu. Lantikan yang dibuat atas dasar kenal satu sama lain juga menyebabkan kurangnya cetusan idea yang bernas dalam melahirkan ahli-ahli sukan generasi baharu apabila jaguh-jaguh lama bersara.
Mungkin sudah sampai masanya, semua persatuan sukan di negara ini diterajui oleh mereka yang pernah menyertai acara sukan itu supaya mereka boleh nampak keperluan yang diperlukan sebagai ahli sukan dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan itu. Ahli sukan yang mengetuai sesuatu persatuan sukan juga bermakna mereka boleh mengadakan pelbagai bentuk latihan yang bersesuain dengan usaha melahirkan lebih ramai ahli sukan yang berkualiti pada masa depan. Bak kata pepatah jauhari juga yang mengenal manikam.
Mungkin juga tempoh pengurusan sesuatu pemimpin persatuan sukan itu ditetapkan selama tiga tahun atau lima tahun. Apabila mereka mula dilantik mengetuai sudah pasti ada KPI yang perlu dicapai dan jika dalam tempoh tiga tahun gagal mencapai semuanya, pemimpin itu perlu mengundurkan diri kerana semua tindakan yang mereka rancang gagal untuk membuahkan hasilnya. Konsep sebegini juga membolehkan lebih banyak idea baharu diperkenalkan dalam usaha untuk melonjakkan peluang negara menjadi sebuah kuasa dalam dunia sukan.
Mungkin sudah sampai masanya kita melantik pemimpin persatuan sukan yang benar-benar mahu membuat satu perubahan dan bukan sekadar menerima gaji setiap bulan atau menggunakan sukan itu untuk meninggikan imej mereka sahaja. Sudah sampai masanya, kita menerima idea-idea baharu untuk memajukan sukan negara kerana kalau kita masih beroperasi dengan menggunakan konsep lama sudah pasti negara akan terus ketinggalan dalam dunia sukan ini. Apabila perkara itu berlaku, adakah kita masih mahu mendengar alasan-alasan yang sudah basi selama ini atas usaha untuk menutup kelemahan diri?
Moga sukan negara terus bersinar.
Malaysia mahu berubah dalam sukan…
Malaysia mahu berubah dalam pengurusan sukan…fantasi atau realiti
Kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah wang yang banyak kepada FAM merupakan satu langkah yang baik. Beliau juga mahu FAM mencontohi kejayaan pasukan Chelsea dan Vietnam dalam merangka pelan pembangunan bola sepak mereka. Malaysia memerlukan sokongan sebegini dalam dunia sukan negara terutama bola sepak kerana kemampuan pasukan kebangsaan kita memang masih belum baik lagi. Namun…
Pada masa yang sama, kita juga perlu merenung sejenak semua program pembangunan sukan yang sudah dijalankan selama ini. Adakah semuanya menemukan kejayaan atau kegagalan? Bagaimana dengan proses pengambilan atau pemilihan ahli sukan negara itu? Adakah semua tindakan yang dirancang telah berjaya mencapai kejayaan yang diharapkan oleh kerajaan dalam mencapai status Malaysia sebagai sebuah negara sukan yang berjaya? Adakah semua program baik yang berjaya atau gagal dikaji lalu diberikan cadangan-cadangan perubahannya? Adakah cadangan-cadangan perubahan ini dipatuhi atau dibiarkan sahaja sehingga cadangan-cadangan yang sama muncuk semula pada masa depan? Jika jumlah pingat emas dalam kejohanan Olimpik atau Dunia atau Piala Dunia (bola sepak) diambil kira, saya yakin kebanyakan program sukan negara gagal mencapai matlmat yang hendak mereka capai itu. Sedangkan negara-negara jiran kita terus berjaya melahirkan ahli sukan bertaraf dunia.
Mungkin kita perlu merenung sejenak sama ada wang peruntukan sukan itu digunakan dengan sebaik mungkin atau banyak wang itu dihabiskan untuk tujuan-tujuan pentadbiran atau hanya digunakan untuk membayar gaji pegawai-pegawai yang hanya mahu memanaskan bangku tadbiran sukan negara sahaja. Pegawai-pegawai sukan yang tidak menjalankan tugas mereka akan hanya menghabiskan jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu. Lebih baik sebahagian besar wang sumbangan kerajaan digunakan untuk membina padang latihan yang lebih baik atau merangka program penghasilan ahli sukan muda yang efektif. Pembiayaan program ahli sukan muda lebih bermanfaat kerana skim sebegini berupaya menyediakan barisan pelapis ahli sukan yang berkualiti untuk negara pada masa depan. Jika sesebuah persatuan sukan diberik peruntukan jutaan ringgit maka satu garis panduan kejayaan ahli sukan mereka juga hendaklah dicapai kerana jika tidak wang kerajaan itu bolehlah dikatakan membazir atau tidak digunakan dengan sebaik mungkin.
Jika seseorang pegawai dilantik untuk mengetuai sesuatu projek atau badan sukan itu sudah pasti mereka perlu diberi tanggungjawab dan tugas yang jelas. Sebagai contoh dalam tempoh tiga tahun mereka perlu hasilkan dua ahli sukan bertaraf Olimpik atau pasukan kebangsaan berjaya memenangi kejohanan bertaraf dunia. Jika dalam tempoh yang diberi itu mereka gagal maka mereka perlulah diganti dengan indvidu lain yang lebih berkemampuan. Manakala, sepanjang tempoh itu sokongan padu hendaklah diberikan kepada pegawai itu supaya mereka boleh melaksanakan tugas dengan sempurna. Adakah amalan sebegini diamalkan di negara ini. Saya rasa tidak kerana pegawai-pegawai yang lama masih ada manakala ahli sukan pula yang terpaksa dibuang atau tidak dibenarkan untuk meneruskan latihan mereka.
Penggunaan contoh perdana menteri tentang Vietnam memang menarik. Saya difahamkan negara itu juga merupakan antara negara yang mengalami perubahan dan pembangunan ekonomi yang mapan sejak beberapa tahun yang lalu. Kemampuan Vietnam untuk menghasilkan ahli sukan yang berkemampuan membuktikan perancangan yang dilakukan oleh mereka betul. Malaysia perlu meniru pelan perancangan ini lalu membuat perubahan yang sewajarnya mengikut acuan negara kita. Ini bukankah sesuatu yang baharu malah sesiapa sahaja yang benar-benar mahu melihat kemajuan sukan di negara ini akan sanggup melakukannya. Namun, sekali lagi banyak sangat pihak yang mengambil kesempatan terutama golongan ahli politik sehingga perancangan yang dijalankan semuanya berlandaskan kepentingan politik atau mencari publisiti sahaja.
Jadi, adakah kita semua sanggup untuk berubah atau kita hanya sanggup berubah atas kertas sahaja tanpa sanggup melakukan apa-apa perubahan yang sewajarnya.
Apa tindakan selepas banjir hari itu?
Banjir sudah berlaku lalu apa tindakan lanjut?
Kejadian banjir yang berlaku di negara ini terutama di Selangor dan KL seolah-olah semakin dilupakan oleh masyarakat umum walaupun impaknya masih dirasai oleh mereka yang mengalaminya. Persoalannya, apakah tindakan-tindakan susulan yang akan diambil untuk memastikan banjir ini tidak berulang? Apakah pelan pihak berkuasa untuk menjamin penduduk yang mengalami musibah ini tidak akan menerima kesan yang serupa?
Kita seharusnya belajar daripada kesilapan lalu. Semua kesilapan yang berlaku ketika banjir ini terutama kegagalan untuk memberikan bantuan segera harus dinilai dan diberi langkah-langkah untuk mengatasinya pada masa depan. Adakah pihak berkuasa sudah melakukannya? Adakah sudah wujud SOP baharu atau masih menggunakan SOP lama yang menyebabkan banyak pihak tidak tahu siapakah yang akan memberikan arahan sehingga pihak keselamatan terutama tentera terpaksa menunggu lama menanti arahan walaupun mereka sudah lama siap siaga.
Ya, kenyataan Perdana Menteri mengenai sistem amaran banjir yang akan beroperasi itu sememangnya baik tetapi seharusnya tindakan ini diambil sebelum kejadian ini berlaku. Begitu juga dengan kordinasi laporan cuaca oleh pihak berkuasa hendaklah dikongsi oleh semua pihak yang berwajib dan sebarang ramalan yang dibuat hendaklah berdasarkan bukti yang jelas supaya semua pihak sedar kemungkin yang bakal mereka hadapi.
Begitu juga dengan urusan sistem saliran. Adakah sudah ada SOP yang memberikan perhatian kepada usaha membersihkan sistem saliran dan membaiki tali air mengikut jadual yang betul? Sistem pam air adakah dalam keadaan baik? Sebarang kelewatan atau kerosakan yang berlaku perlulah dikawal selia dengan baik supaya bencana alam terutama banjir tidak akan mengorbankan nyawa pada masa depan.
Kalau kita biasa mendengar berita luar negara banyak pihak berkuasa terutama pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu itu dipecat apabila berlaku bencana yang mengorbankan nyawa. Malangnya di negara ini tidak ada sebarang berita kita dengar tentang tindakan yang dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati tidak melakukan tugas mereka dengan sebaiknya. Kita harus sedar bahawa ada nyawa yang terkorban dalam kejadian banjir tempoh hari namun setakat ini kita masih seolah-olah menganggap kejadian banjir ini sebagai satu bencana alam sahaja. Mentaliti kita perlu berubah dengan bersedia dengan segala kemungkinan sebelum kita menyerah nasib kepada ketentuan Tuhan.
Jika (harap jangan) berlaku banjir lagi di tempat yang sama, agak-agak apakah reaksi kita semua?
70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?
70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...