Kerja bertangguh disalah tafsirkan?


Masalah menanguh kerja merupakan satu masalah yang sering melanda seseorang. Diri saya sendiri mengalami masalah ini terutama dalam usaha menyiapkan Kerja menulis itu. Kadangkala saya berfikir sejenak kerana tidak mempunyai idea untuk menulis lalu membiarkan sahaja kerja di atas meja itu untuk sekian lamanya. Kadangkala berminggu sebelum disentuh semula.


Namun, setelah lama bergelumang dengan masalah ini saya berpendapat konsep kerja bertangguh itu telah disalah tafsirkan. Banyak pihak melihat kerja bertangguh itu sebagai sesuatu yang membuktikan diri seseorang itu malas. Saya tidak fikir diri saya malas kerana saya bekerja hampir setiap minggu. Saya bekerja sebagai penulis. Saya juga bekerja sebagai pendidik dan saya juga bekerja sebagai mengedit bahan-bahan iklan untuk pelanggan. Bertangguh juga merujuk sikap suka membazirkan masa atau tidak mampu menyelesaikan sesuatu tugasan itu. Saya tidak fikir saya membazirkan masa malah saya rasa saya kadangkala tidak cukup masa pula.


Pada pandangan saya, amalan bertangguh kerja ini disebabkan oleh dua perkara utama, iaitu seseorang itu kekurangan idea yang jelas tentang kerja yang perlu dilakukan dan keduanya ialah diri seseorang itu tidak mempunyai sebab yang kuat untuk mendorong dirinya melakukannya. Jika kedua-dua perkara ini tidak ada dalam diri seseorang maka kerja bertangguh akan menjadi satu kemestian.


Apabila kita tidak faham sesuatu tugas itu sudah pasti kita tidak mampu melakukannya. Sebagai contoh, seorang pekerja yang dminta oleh majikannya supaya melakukan sesuatu tugas yang tidak pernah dilakukannya, sudah pasti tugasan itu akan menjadi satu kerja yang bertangguh-tangguh.  Kerja ini hanya akan dapat diselesaikan setelah pekerja itu diberi latihan dan penerangan yang secukupnya tentang sesuatu tugasan tersebut.


Begitu juga dengan sebab yang mendorong seseorang itu melakukan perkara itu haruslah kuat dan jelas dalam mindanya. Sebagai contoh lain pula, seorang pelajar tidak akan ingin belajar jika mereka tidak mempunyai sebab untuk melakukannya. Pelajar yang rajin belajar melakukan perkara itu kerana mereka melihat kehidupan keluarga yang agak miskin lalu terdorong niat untuk belajr dengan baik supaya dapat memasuki universiti seterusnya menjawat jawatan yang tinggi untuk membantu menyara keluarga pada masa depan.


Jadi, jika pembaca sering mengalami fenomena kerja bertangguh itu, apa kata diri masing-masing menyoal lalu membahaskan dua persoalan utama ini. Kemudiannya, berusaha mencari jawapannya supaya kerja bertangguh itu tidak akan berlaku atau kerja itu mampu diselesaikan dalam masa yang diberikan pula. Pada masa yang sama, kita janganlah berasa sedih jika sesuatu kerja itu bertangguh lalu memberikan tekanan kepada diri sendiri pula. (Melainkan tugasan itu melibatkan aspek penting seperti nyawa manusia)

Menulis meningkatkan kualiti kehidupan manusia


Salah satu sikap saya yang sering saya lakukan setiap hari ialah menulis. Amalan ini telah memberikan banyak kelebihan kepada saya seperti boleh menulis untuk mencari wang, menulis untuk kegembiraan dan juga menjadikan menulis itu sebahagian aktiviti harian saya. Menulis sudah menjadi satu kemestian dalam hidup ini.


Sememangnya, saya suka menulis. Teringat lagi ketika sekolah, saya sering membantu rakan yang tidak suka menulis Karangan. Ketika bekerja pula saya sering membantu rakan sekerja yang tidak tahu menulis surat dan laporan. Setelah menyertai bidang kewartawanan, menulis sudah menjadi satu kebiasaan pula. Menulis memberikan peluang kepada saya untuk memahami banyak perkara dan mengenali banyak insan lain pula.


Secara am, saya cadangkan orang ramai terutamanya remaja untuk menulis kerana menulis ini boleh memberikan pelbagai faedah yang ketara kepada diri seseorang itu.


Pertama ialah menulis ini membentuk diri seseorang terutama remaja menjadi lebih berdisiplin. Suasana kehidupan moden memang menyeronokkan terutamanya apabila berpeluang melepak begitu sahaja. Namun, amalan-amalan menonton tv berjam-jam atau duduk lepak tanpa melakukan apa-apa tidak memberikan satu kepuasan dalam jiwa seseorang. Salah satu sebab utama manusia tidak melakukan perkara yang bermanfaat dalam hidupnya kerana kita tidak mempunyai disiplin diri yang kuat. Jika seseorang itu menulis setiap hari, dirinya akan memahami kepentingan disiplin. Pemahaman mengenai disiplin ini boleh dikaitkan lalu dipanjangkan dalam aktiviti kehidupan yang lain pula.



Selain itu, menulis boleh menajamkan kemahiran seseorang untuk memujuk atau mempengaruhi orang lain. Penulisan merupakana sebahagian amalan memujuk pembaca dengan menggunakan kata-kata. Penulisan berusaha untuk mempengaruhi pembaca supaya yakin dengan sesuatu cerita itu. Jadi, penulis menulis sesuatu untuk menyakinkan dirinya mengenai sesuatu perkara itu. Lama-kelamaan, mereka yang selalu menulis akan semakin mahir dalam proses memujuk atau mempengaruhi orang lain tentang sesuatu perkara.


Tambahan pula, menulis setiap hari akan memberikan sata kefahaman yang mendalam tentang diri sendiri. Setiap hari menulis akan menjadikan diri manusia itu memahami pemikirannya. Penulisan akan mendedahkan diri seseorang kelebihan dan kelemahan sendiri secara tersirat. Perkara ini penting kerana manusia yang memahami dirinya sendiri lebih mudah untuk mengharungi cabaran kehidupan yang semakin mendesak ini.


Secara jujur menulis membawa lebih banyak kebaikan daripada yang saya taipkan di sini. Menulis bukan sahaja memberikan ruang kepada seseorang untuk merenung dirinya sendiri tetapi turut menjadikan pemikiranya lebih kreatif dalam usaha mencari idea untuk menulis. Pada masa yang sama, menulis turut menjadi senjata rahsia untuk memerangi perasaan kesedihan yang pastinya datang menyusul dalam kehidupan manusia itu.


Jadi, ayuh kita semua mula menulis sekarang. Menulis merupakan satu proses yang panjang.

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...