Kes buli terus berlaku


Kes buli terus berlaku


Kejadian kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh telah menjadi tumpuan. Ketika penulisan inin dihasilkan masih belum jelas situasi sebenar walaupun sudah ada kenyataan bahawa pihak berkuasa terutama pihak polis sudah memulakan siasatan mereka. Kejadian buli ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang sistem pendidikan negara. 


Pelbagai persoalan timbul terutama sebab berlakunya kejadian ini di sebuah sekolah yang ditubuhkan untuk melahirkan golongan profesional negara pada masa depan. Sekolah yang mengandungi pelajar yang memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Sekolah yang diberi pelbagai kemudahan yang baik, tenaga pengajar yang berkelayakan dan sebagainya. Banyak pihak menyoalkan aspek pemantauan pihak sekolah dan asrama malah ada yang mempersoalkan tindakan pemantauan ibu bapa pelajar yang terbabit itu pula.


Buat saya pertanyaan yang paling ingin saya ketahui ialah mengapakah budaya buli ini masih dibenarkan untuk berlaku pada masa ini?  Bagaimana pula dengan tanggungjawab pihak sekolah dalam isu ini? Adakah kes buli turut berlaku di sekolah biasa? Jika berlaku mengapakah kejadian ini tidak dilaporkan? Atau apakah tindakan-tindakan yang pihak sekolah biasa lakukan lalu berjaya mengawal isu ini? Atau kes buli berlaku tetapi tidak dihebohkan.


Pihak kementerian pendidikan dan pihak sekolah perlulah menggariskan tindakan-tindakan yang akan mereka ambil sepanjang kes ini menjadi perbualan masyarakat kerana tanpa tindakan yang konkrit (bukan setakat untuk meredakan kecaman masyarakat sahaja) isu buli ini akan terus menjadi masalah pada masa depan. Urutan peristiwa kejadian ini juga perlu diketengahkan supaya semua pihak memahami bagaimana kejadian buli ini boleh berlaku untuk tindakan susulan nanti.


Kita sudah banyak kali melihat pelbagai kes disiplin yang melanda sekolah tidak diambil tindakan yang memuaskan semua pihak. Kita juga jarang mendengar tindakan yang akan dilakukan kepada pihak yang terbabit kerana sama ada kita semua setuju atau tidak sedikit sebanyak pihak sekolah turut memikul tugas dalam kejadian ini. Pada masa yang sama, sudah banyak kali pihak media massa mengetengahkan isu ini terutama dengan idea dan komen pakar-pakar tentang kejadian ini tetapi kes buli terus berlaku.


Satu mekanisme fizikal yang teratur perlu diwujudkan. Bukan lagi setakat program didikan agama dan moral tetapi SOP yang perlu dipatuhi apabila sesuatu laporan tentang kejadian disiplin mula diketahui atau dibuat oleh seseorang pelajar. Satu kaedah melaporkan aduan yang mudah perlu diwujukan. Satu sistem tindakan susulan perlu diwujudkan. Satu laporan aduan kejadian perlu dilaporkan. Kewujudan satu SOP ini akan memudahkan sebarang usaha untuk mengesan kesilapan yang berlaku apabila kejadian seumpama ini berulang lagi daripada kita hanya menyalahkan situasi sahaja. Individu yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya kerana kejadian menumbuk pelajar bukanlah satu perkara yang boleh diambil rendah. SOP ini juga akan memudahkan tindakan pembetulan dilakukan pada masa depan jika buli berlaku. Atau sudah wujud SOP untuk kes buli? Lalu jika SOP sebegini sudah wujud mengapakah kejadian ini masih berlaku?


Pada masa yang sama, tindakan susulan hendaklah diberikan kepada ibu bapa mangsa dan mangsa buli itu. Bantuan daripada aspek sokongan dan pelbagai bantuan lain perlu diberikan kerana mangsa buli pastinya mengalami trauma yang mendalam dalam hidup mereka. Pihak berkuasa hendaklah bertanggungjawab kerana perkara ini berlaku di kawasan mereka dan ketika mereka belajar di bawah pemantauan mereka juga. Begitu juga dengan pembuli-pembuli itu. Satu bentuk bantuan psikologi perlu diberikan selain bentuk hukuman yang sewajarnya atas tindakan negatif yang telah dilakukan oleh mereka kepada pelajar lain itu.


Kita seharusnya dalam era moden ini telah menghapuskan buli di sekolah kerana amalan ini bertentangan dengan nilai-nilai murni kemanusiaan dan keagamaan di dunia ini. Namun, buli terus berlaku kerana sikap masyarakat yang enggan melihat masalah ini sebagai serius tetapi membiarkannya menjadi satu kejadian tahunan yang bakal berlaku pada masa depan. Masyarakat kita enggan berbahas dalam isu serius sebegini tetapi teruja apabila membicarakan aktivit-aktiviti yang dilakukan oleh artis-artis pula.


Buli perlu dihapuskan.

No comments:

Post a Comment

Apa tindakan selepas banjir hari itu?

Banjir sudah berlaku lalu apa tindakan lanjut? Kejadian banjir yang berlaku di negara ini terutama di Selangor dan KL seolah-olah semakin di...