Malaysia dilanda banjir? Salah siapa?

Kejadian banjir yang melanda negara pada dua hari lepas telah mengemparkan semua pihak. Pada masa yang sama, kemungkinan banjir itu boleh diatasi atau dikawal dengan lebih baik turut wujud. Kenapa saya berkata demikian?

Pertama, bukanlah kita seharusnya dengan keupayaan teknologi ramalan cuaca yang moden sudah mempunyai tanda-tanda akan berlakunya hujan dalam tempoh atau jangka masa tertentu itu. Tidakkah kita boleh menggunakan data ramalan itu untuk membuat ramalan sama ada banjir akan berlaku, sama ada bantuan perlu disediakan lebih awal, sama ada sistem amaran banjir atau mekanisme untuk memberikan bantuan dihidupkan terus pada masa yang sama? Ringkasnya, kita boleh bersedia jika berlaku perkara sebegini dengan lebih baik dengan membandingkan data-data yang dikumpul sebelum ini untuk menjadikan ramalan itu lebih baik pada masa depan.


Kedua, kejadian banjir ini juga mengesahkan bahawa banyak aspek pembangunan di negara ini yang dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang aspek perancangan atau ketelitian dalam memastikan kelestarian alam sekitar. Kita terus sahaja membina bangunan di sesuatu kawasan itu tanpa mengambil kira kepadatan penduduk, kepadatan bangunan, dan paling penting kewujudan pokok-pokok yang mampu menghalang berlakunya kejadian banjir ini. Bangunan dibina kerana mengutamakan keuntungan walaupun kawasan itu sudah mempunyai kepadatan penduduk yang terlalu tinggi. Pembangunan sebegini pastinya akan menyukarkan pengaliran air yang lancar.


Ketiga, penyelenggaraan sistem saliran kita pastinya kurang memuaskan kerana kejadian banjir yang berlaku banyak disebabkan oleh sistem parit atau longkang yang tidak dijaga selia dengan sempurna lalu aliran air akan mudah tersekat apabila jumlah air yang melaluinya meningkat secara mendadak itu. Pemeriksaan parit yang tersumbat atau longkang yang tersekat seharusnya dilakukan oleh pihak berkuasa tanpa perlu mendapat aduan daripada masyarakat. Pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam hal ini seharusnya meronda lalu membuat tindakan susulan segera. 


Aspek keempat, bagaimanakah dengan nasib mereka yang mengalami banjir ini? Pastinya rumah mereka akan rosak? Peralatan rumah mereka akan musnah? Kerja mereka akan terjejas? Adakah pihak tertentu seperti bank akan membantu meringankan beban terutama aspek pembayaran ansuran rumah atau kereta? Bagaimana pula dengan majikan dalam membantu pekerja yang terpaksa menanggung kerugian itu? 


Namun, dalam mengkritik pihak tertentu dalam isu banjir ini, sekalung tahniah kepada pihak berkuasa terutama bomba, RELA dan polis  serta lain-lain yang sudah menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin terutama untuk memindahkan mereka yang terperangkap dalam kejadian banjir itu. Kesungguhan mereka bekerja seharusnya diberi pujian dan penghargaan oleh pihak berkuasa. Begitu juga dengan kepantasan pihak NGO yang menggunakan kawasan atau bangunan mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir itu harus diberi sanjungan tinggi juga.


Cuma, masalah banjir sebegini tidak akan selesai kerana kita selalu menyalahkan cuaca sebagai punca yang tidak boleh dikawal atau menyalahkan takdir perkara ini berlaku. Takdir Tuhan dan cuaca merupakan perkara yang kita tidak boleh tentukan atau kawal (lalu menerima dengan baik) tetapi pengenalan sistem amaran banjir, sistem ramalan cuaca yang baik, mekanisme penghantaran bantuan yang segera, menghulurkan bantuan dan kesanggupan atau kesudian membantu merupakan perkara yang kita sebagai manusia boleh lakukan. 


Jadi, apa yang kita akan buat selepas ini? Masih menggunakan kaedah lama iaitu menunggu sahaja hujan turun dua hari dan seluruh negara mengalami banjir.


No comments:

Post a Comment

Sistem pengangkutan awam perlu dirombak atau…

  Sampai bilakah sistem pengangkutan awam negara dibelenggu masalah yang menjejaskan pengguna? Isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur y...