Saya sedang duduk di kedai kopi kegemaran saya, Starbuck. Ketika menghirup kopi panas itu mata saya tertumpu pada sekumpulan golongan muda yang sedang bekerja
sambil berbincang. Nampak serius perbincangan itu. Mungkin tentang projek yang hendak dijalankan oleh mereka. Berdasarkan gaya bercakap dan pakaian, saya menganggarkan mereka ini dalam sektor pengiklanan. Mungkin saya silap.
Tiba-tiba, saya didatangi oleh seorang insan yang saya kenali. Bekas pelajar saya suatu masa dahulu. Kini sudah mula bekerja. Dia duduk di depan saya sambil memegang bekas minumannya. Dia meluahkan masalah di pejabatnya yang penuh dengan drama dan diva . Saya tersenyum kerana inilah peluang untuk saya menzahirkan beberapa ungkapan hikmah kepadanya.
Sebagai seorang lelaki tua yang banyak menghabiskan masanya dengan drama politik pejabat, kerenah pelanggan dan berpengalaman mencoret sedikit penulisan di sana sini, inilah nasihat saya kepadanya. Kali ini saya mengambil peranan sebagai seorang ayah. Abah yang mahu membantu anaknya menjadi insan yang memahami erti kehidupan ini secara praktikalnya.
Pertama, dalam hidup kita tidak seharusnya mengetepikan konsep nasib baik atau peluang keemasan dalam hidup. Takdir amat penting dalam kehidupan manusia. Banyak orang melihat kekayaan dan kemiskinan disebabkan oleh pilihan seseorang manusia itu tetapi ramai yang tidak memahami betapa pentingnya peluang keemasan atau nasib baik. Faktor status keluarga, nilai-nilai diri yang ditanam ketika kecil, zaman kehidupan yang dialami oleh seseorang turut memainkan faktor utama kejayaan dalam kehidupan seseorang. Semua perkara ini memainkan peranan penting dalam menentukan perkara yang berlaku dalam kehidupan insan itu tanpa disedari oleh masyarakat.
Dalam kita semua bersetuju bahawa nilai-nilai diri dan kerja keras itu amat penting dalam mencapai kejayaan, kita juga tiak seharusnya menolak kemungkinan bahawa kejayaan itu juga bukan selalunya berasal daripada kerja keras dan bukan semua kemiskinan disebabkan oleh kemalasan seseorang itu untuk berusaha. Apabila kita melihat orang yang berjaya usahlah kita fikirkan mereka bekerja keras dan begitu juga jika kita melihat orang yang miskin bukan bermaksud mereka itu malas bekerja.
Budak muda itu diam mendengarnya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Mungkin drama-drama yang berlaku di pejabatnya tadi masih lagi terbayang-bayang di depannya.
Kedua, nasihat saya ialah kepentingan utama dalam hidup ialah kemampuan seseorang itu mengawal masanya sendiri. Insan yang boleh melakukan apa-apa yang diingininya pada masa yang diingininya, pada tempat yang disukainya dengan orang yang disukainya pasti memberikan impak kegembiraan yang jauh lebih baik berbanding kemampuan memiliki barang-barang berjenama seperti jam Rolex atau kereta Mercedes itu.
Memiliki kereta besar, rumah besar, jam mahal dan sebagainya memang menggembirakan tetapi perasaan ceria itu tidak akan bertahan lama. Paling kuat mungkin dua tiga bulan sahaja. Namun, memiliki kerja yang tempoh masanya fleksible dan pergi ke pejabat dengan begitu mudah tanpa mengalami kesesakan jalan raya Kuala Lumpur waktu pagi itu merupakan satu anugerah Tuhan sebenarnya. Begitu juga dengan kemampuan mempunyai wang simpanan untuk memberikan peluang masa dan pilihan kepada seseorang ketika saat-saat kecemasan merupakan satu lagi anugerah Tuhan. Paling penting kemampuan untuk bersara pada masa yang diingini oleh seseorang juga merupakan satu lagi jenis anugerah Tuhan.
Ringkasnya, kemampuan untuk mencapai konsep berdikari dalam semua aspek kehidupan seseorang seharusnya menjadi matlamat hidup setiap insan.
Kali ini, saya pula yang meneguk kopi pahit kedai legenda itu lalu menyatakan bahawa kejayaan seseorang tidak semestinya bermaksud insan itu perlu melakukan sesuatu yang besar dalam hidupnya. Dalam hidup moden ini, konsisten sangat penting. Semua perkara yang kita lakukan perlulah konsisten terutama dalam aspek wang. Bayar pinjaman rumah pada masanya, bayar bil letrik pada masanya, bayar wang insurans pada masanya. Malah, bayar hutang kepada rakan juga perlu tepat tempohnya. Semua perkara yang dilakukan secara konsisten akan memberikan impak yang lebih baik kepada seseorang terutama buat insan yang baru hendak melakar sejarah dalam alam kerjayanya. Paling penting dalam konsep konsisten ini ialah kita usah sesekali melibatkan diri dalam perangkap hutang yang begitu dalam jurangnya itu. Amalan hutang perlu dikikis dalam minda seseorang.
Mungkin dosa atau pembaziran yang paling ketara saya lakukan ialah saya selalu menghabiskan masa di Starbuck. Seminggu mungkin 3 atau 4 kali. Saya minum guna wang sendiri tanpa menggunakan wang orang lain. Hidup ini kita perlu jalani di bawah kemampuan kewangan kita sendiri. Maksudnya, kita berbelanja mestilah lebih rendah daripada pendapatan bulanan kita. Ada rakan saya berpendapatan sebulan RM40 ribu tetapi diumumkan muflis kerana belanjanya yang mengarut seperti dia membeli alat pembakar roti yang bernilai ribuan ringgit. Alat pembakar roti! Ada rakan saya gajinya tidak sampai RM5 ribu tetapi masih gembira, boleh menyekolahkan anak dan masih mampu membantu rakan dan keluarga. Jelaslah, pendapatan yang tinggi tidak membawa apa-apa makna jika diri sendiri tidak memahami keperluan wang dalam hidup mereka itu.
Bekas pelajar saya ini mahu meletakkan jawatan lalu saya memberitahu bahawa dalam hidup perkara biasa jika seseorang itu berubah pemikirannya terutama tentang minat kerja dan kursus universiti yang ingin diambil. Dalam hidup ini tidak ada sesiapa pun yang berumur 20-an akan mampu meneka perjalanan hidup mereka pada masa depan. Pada usia sebegini kita tidak boleh mengagak ijazah mana yang penting, sektor kerja mana yang bagus. Semuanya susah untuk diramalkan oleh seseorang. Lantaran itu, sesuatu yang biasa jika kita mengakui bahawa nilai dan matlamat sudah berubah kerana jika insan itu masih muda sememangnya mereka patut selalu bertukar pemikiran terutama dalam aspek pekerjaan.
Semua dalam kehidupan ini ada nilainya. Apabila kita terlalu sibuk bekerja sudah pasti nilai yang perlu dibayar ialah kita akan jauh daripada kawan-kawan dan keluarga. Semua perkara ada nilai atau impak yang tersirat. Ya, sememangnya kadangkala risiko nilai atau impak ini memang perlu diambil tetapi pada masa yang sama kita kena akui kewujudan nilai atau impak itu. Sebaik sahaja seseorang itu menerima nilai atau impak ini maka insan itu akan mampu untuk melihat konsep masa, perhubungan, kuasa, kreativiti, masa depan, kewangan, kesihatan dan sebagainya dalam bentuk yang lebih komprehensif.
Wang bukanlah ukuran kejayaan seseorang itu. Jiran saya mempunyai tujuh buah kereta dan saya hanya satu. Adakah jiran saya lebih berjaya daripada saya? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Saya teringat kata-kata Warren Buffet (sangat kaya giler) yang mengatakan bahawa kejayaan sebenar dalam hidup manusia ialah apabila seseorang itu mampu menyayangi insan lain dan insan lain itu turut menyayangi insan tadi. Saya terjemahkan secara terus. Wang tidak boleh memberikan apa-apa kepada manusia sebenarnya terutama aspek kasih sayang, keluarga, rakan dan kesihatan. Wang tidak boleh menebus harga diri, kejujuran, dan keikhlasan apabila membantu orang lain.
Dan nasihat terakhir saya kepada bekas pelajar saya itu tadi ialah kita tidak boleh sesekali menerima sahaja apa-apa nasihat daripada orang. Orang muda itu tersenyum ke arah saya. Mungkin senyuman itu ditujukan kepada saya. Persepsi ini mudah sahaja kerana dunia saya dan dunia orang lain berbeza terutama aspek zaman dan keperluannya serta masalah yang melanda. Semua orang berbeza lalu nasihat yang diberikan pasti tidak akan mempunyai nasihat yang betul tentang sesuatu perkara itu. Apabila menerima nasihat orang lain kita seharusnya mengubah nasihat itu dalam bentuk keperluan diri sendiri, nilai diri dan kemungkinan juga situasi yang menyebabkan berlakunya masalah itu sebelum menerimanya.
Nasihat terakhir saya ialah kita dalam menjalani kehidupan ini usah menyusahkan hidup orang lain. Walaupun, kita dikata atau dituduh bukan-bukan pastinya tindakan membalas dendam bukanlah satu pilihan. Kita juga tidak boleh menyusahkan ibu bapa dan adik-adik. Hidup ini kita yang tentukan. Kita mempunyai pilihan untuk menjalani kehidupan ini mengikut acuan kita sendiri atau mengikut acuan orang lain. Kita menentukan hala tuju kita. Kita harus bertanggungjawab trhadap diri kita sendiri.
Saya dan orang muda itu terus menikmati air kopi masing-masing sambil mendengar ketawa daripada kumpulan pekerja pengiklanan tadi. Semoga hidup orang muda dan kumpulan itu serta semua insan yang membaca artikel ini akan berjalan lancar jua.