Menulis memerlukan kemahiran yang perlu diasah sepanjang masa

Sebagai penulis saya sudah mengalami dan melihat kesannya di mana-mana. Baik sebagai penulis dan penulis kandungan web, ramai yang cuba untuk menarik perhatian pembaca untuk datang ke halaman penulisan mereka itu. Mereka begitu bersungguh-sungguh meneliti pelbagai kaedah di Internet untuk mencari satu kaedah yang boleh membantu mereka untuk menarik ribuan atau jutaan pembaca dalam sekelip mata.

Saya sudah berada dan pernah mengalami situasi ini. Saya pernah menulis dan memuat naik artikel saya dalam halaman web saya lalu menanti pembaca untuk membaca. Kalau tidak silap saya artikel itu tentang pendidikan. Satu hari saya menunggu tetapi tidak ada satu sentuhan pengguna Internet yang mahu membaca artikel saya itu. Saya sudah membuat pemasaran menerusi media sosial? Saya sudah memberitahu rakan-rakan menerusi kumpulan whatsapp? Namun, tiada pembaca yang membacanya.

Jadi, kenapa tidak ada orang yang membacanya?  Jawapannya mudah sahaja. Masalahnya bukan disebabkan saya tidak melakukan pemasaran atau sudah banyak artikel mengenai topik itu ditulis atau saya perlu lebih mendedahkan promosi diri dalam rangkaian sosial. Masalahnya ialah saya sama seperti penulis lain pada masa itu, saya belum cukup bagus untuk menulis. Kemahiran menulis saya belum lagi mencapai tahap yang sewajarnya untuk pembaca datang membaca artikel saya itu.

Saya yakin tidak ada sesiapa di dunia ini terutama penulis yang mahu dirinya dikritik bahawa diri mereka tidak cukup bagus untuk menulis. Saya juga salah seorang daripadanya tetapi mungkin kita kena duduk diam-diam lalu merenung semula konsep penulisan secara objektif. Kita perlu menilai diri sendiri secara adil dan saksama. Adakah kita mahu mengikut jejak orang lain jika penulis zaman ini paling suka mencari peluang untuk mempromosikan diri mereka tanpa mahu mengambil kira aspek untuk meningkatkan kemahiran menulis mereka itu sendiri?. 

Sama seperti pelajar saya yang begitu suka atau pantas untuk mencari tajuk-tajuk soalan yang akan keluar dalam peperiksaan - kita mencari kaedah untuk menghasilkan dan memperoleh pembaca dalam sekelip mata. Kita sebagai penulis hanya mahu mengetahui cara mudah untuk menulis yang boleh menarik lebih banyak pembaca ke halaman web sendiri. Kita sebagai penulis berusaha mencari apa-apa jalan pintas yang membolehka jumlah trafik ke halaman web kita meningkat secara mendadak dengan satu artikel atau dua artikel atau mungkin tiga artikel. Sebagai penulis kita seharusnya mempersoalkan kualiti artikel dan kemahiran kita menulis dahulu.

Itu belum lagi cerita mengenai kita sebagai penulis yang begitu mudah melihat ke arah penulis-penulis tersohor negara dan luar negara seperti A.Samad Said atau Hemingway lalu meniru bulat-bulat karya mereka atau mungkin memplagiat hasil mereka dengan harapan lebih banyak pembaca akan melayari halaman web sendiri nanti. Bayangkan anda sebagai penulis terkenal melihat karya-karya anda ditiru oleh penulis lain. Pastinya anda juga tidak berapa gembira.

Adakah pembaca fikir A.Samad Said akan duduk di mejanya menulis karya-karya agungnya dengan cuba meniru hasil karya orang lain atau mencari jalan pintas untuk terkenal? Adakah anda rasa A.Samad Said akan menggunakan kaedah media sosial (masa beliau mengarang teknologi tidak secanggih sekarang) Sudah pasti jawapannya tidak. 

Saya yakin penulis-penulis yang agung seperti A.Samad Said dan sebagainya serta penulis lain mengasah bakat mereka menulis dengan terus menulis setiap hari sehinggalah mereka menguasai kemahiran menulis itu.  Kejayaan hasil penulisan mereka bukanlah disebabkan oleh mereka berjaya menemukan kaedah atau sistematik berasaskan komputer yang mampu mempopularkan karya mereka tetapi mereka berjaya disebabkan karya mereka sememangnya bagus dan pembaca mahu membaca karya mereka itu. Mereka berjaya disebabkan mereka mempunyai kemahiran yang tinggi dalam penulisan lalu hasil penulisan mereka sering dibandingkan oleh pembaca dengan penulis yang lain pula.

Banyak penulis dan pelajar saya selalu bercerita kepada saya tentang betapa seriusnya mereka mencari kaedah komputer dan media sosial untuk mempopularkan penulisan mereka itu. Bukanlah penulis perlu menghabiskan masanya dengan mengasah bakat mereka menulis. Bukankah pemain bola perlu selalu berlatih memahirkan diri mengawal pergerakan bola untuk menjadi pemain ternama?

Sebagai penulis, kita seharusnya memberi fokus kepada perkara atau kaedah untuk menajamkan kemahiran menulis sendiri. Kita sememangnya boleh menarik pembaca untuk datang ke halaman web kita menggunakan kaedah tertentu tetapi jika kandungan penulisan kita tidak begitu memuaskan sudah pasti mereka tidak akan kembali lagi untuk membaca artikel pada masa depan pula. Menulis memahirkan kreativiti yang penting dalam penghasilan sesuatu karya penulisan itu.

Jawapan kepada persoalan utama artikel ini ialah pemasaran bukanlah kaedah yang boleh mempopularkan penulisan seseorang penulis itu. Kita sebagai penulis perlu belajar untuk menulis dengan lebih baik. Ya, kita perlu membuat pemasaran media massa sedikit sebanyak tetapi fokus utama penulis ialah untuk menguasai kemahiran menulis itu sendiri. Fokus kepada aspek penulisan terutama kemahiran menulis.

Pembaca zaman sekarang merupakan pembaca yang bijak. Apabila mereka meminati kandungan penulisan web anda, mereka akan membacanya dan terus membacanya. Mereka akan menunggu artikel anda setiap minggu. Mereka akan menghargainya terutama artikel yang memberikan pelbagai maklumat dan pandangan yang bukan sahaja positif tetapi membuatkan pembaca berfikir sejenak. Mereka membaca artikel anda bukan disebabkan mereka ternampak web penulis di Istagram atau disebabkan anda meniru bulat-bulat karya penulis lain tetapi mereka membaca artikel penulis itu kerana mereka mempercayai penulis itu menulis dengan jujur dan mahir.

Ringkasnya, pembaca membaca artikel seseorang penulis kerana mereka menyukai penulisan itu. Sebagai penulis, kita harus terus menulis supaya kemahiran menulis itu akan menjadi lebih baik pada masa depan untuk menghasilkan karya-karya yang berkualiti pula. Kita harus terus menulis dan menulis.

Kita perlu menukar kulit seperti ular

Mencipta diri baharu bermakna meninggalkan diri yang lama.

Salah satu binatang yang paling saya takut ialah ular. Saya berani dengan ulat, tikus dan cicak tetapi masuk bab ular saya memang mengaku kalah. Rasa geli dan takut itu silih ganti munculnya dalam minda ini. Namun, tanpa kita semua sedari bahawa ular merupakan simbol atau lambang perubahan peradaban dunia. Berbeza dengan kulit manusia, kulit ular tidak berkembang atau membesar mengikut usia secara automatik. Ular terpaksa menukar kulit untuk bertukar saiznya dan perkara ini berlaku dengan kerap sepanjang hayat ular tersebut.

Proses pertukaran kulit ular ini pula bukanlah sesuatu yang menyenangkan atau menyeronokkan. Haiwan itu terpaksa menarik dan mengosok untuk memastikan kulit lamanya terkeluar daripada lapisan kulit baharu itu pula. Malah, jika proses pertukaran kulit ini tidak berjalan dengan baik ular itu boleh menjadi buta dan mati akhirnya kerana gagal membuang lapisan kulis lamanya.

Sepanjang hidup saya, pelbagai jenis pekerjaan saya lakukan. Saya pernah menjadi wartawan. Saya pernah berkhidmat dalam dunia akademik dengan sebuah universiti tempatan. Saya juga menjadi pendidik. Malah, saya pernah menerbitkan beberapa buah novel kanak-kanak dan buku bercorak pendidikan sekolah. Setiap kali saya menukar kerja itu, satu perasaan tidak selesa wujud dalam diri saya. Memang sedikit sebanyak perubahan terpaksa dibuat kerana menjadi penulis dan menjadi wartawan serta pendidik bukanlah sesuatu yang boleh disamakan tugasannya. Namun, saya terpaksa menukar kulit kerjaya saya kerana saya mudah berasa bosan lalu mahu mencuba perkara baharu lain dalam hidup.

Ketika bekerja sebagai wartawan, saya agak bosan terpaksa menulis bahan berita yang kadangkala terpaksa ditulis semula oleh editor untuk keperluan pihak tertentu terutama dalam suasana politik negara yang agak unik ini. Apabila saya menjalankan kajian dengan universiti tempatan tempat saya bekerja, kajian itu menjadi sia-sia kerana laporan demi laporan kajian dilakukan tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap sesuatu isu itu kerana pihak berkuasa melihat sesuatu polemik daripada aspek bajet manakala pihak akademik melihat fenomena yang berlaku sebagai satu keperluan yang perlu ditangani segera demi kelangsungan hidup generasi akan datang.

Apabila saya menjadi penulis menulis untuk pelanggan ada masanya saya berasa sedikit tertekan dengan kerenah pelanggan yang terlalu cerewat tetapi tidak memahami tujuan penulisan yang mereka mahukan itu pula tambahan pula konsep bayaran menjadikan ada pelanggan yang agak keterlaluan tuntutannya sampai boleh jadi gila seseorang penulis itu. Apabila saya menukar menjadi pendidik dengan berpakaian kemas pula terasa banyak pelajar yang suka menghabiskan masa dan wang ibu bapa tanpa berminat untuk belajar sehingga menimbulkan rasa bersalah dalam jiwa ini kerana menerima wang bulanan daripada mereka itu.

Ada rakan-rakan yang mengenali diri saya beranggapan saya mudah untuk menukar kerjaya. Jawapannya salah. Saya sering kehilangan pertimbangan kerana untuk menukar kerja bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Bersalin kulit atau bertukar kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Golongan yang melihat pertukaran ini sebagai mudah merupakan golongan yang tidak bercakap benar. Rasa marah, menjerit dan sebagainya menjadi kelaziman diri saya apabila menukar kerjaya.

Namun, itulah yang saya lakukan. Saya memang suka menulis, membaca, mengajar, dan mempelajari sesuatu yang ada dalam setiap kerjaya yang saya lakukan itu. Tanpa saya sedari ada dua pekerjaan itu saya lakukan pada masa yang sama. Pagi bersalin kulit menjadi penulis upahan manakala malam menjadi pendidik yang berusaha memahirkan remaja menjadi pelajar yang mampu memperoleh kejayaan dalam peperiksaan.


Menukar kulit atau kerjaya bukanlah satu perkara yang mudah. Saya berharap pembaca blog ini memahaminya. Kulit lama yang sudah kita pakai itu pastinya menjadikan diri lebih selesa atau selamat. Kulit itu menjadi persalinan diri seseorang. Hari demi hari kulit itu menjadikan pembaca insan yang dikenali oleh masyarakat secara lahiriah lalu usaha menukar kulit atau kerjaya baharu bermakna menukar diri pembaca menjadi insan yang jauh berbeza daripada sebelum ini. Pertukaran ini bukanlah sesenang menukar pakaian setiap hari itu.

Jadi, dalam dunia selepas pandemik ini, kita semua kena belajar menukar kulit masing-masing. Jika pembaca masih terus mengekalkan kulit lama atau kerjaya lama atas sebab kerja itu sudah biasa pastinya anda akan berhadapan dengan satu situasi yang serupa seperti era pandemik sekarang ini. Banyak pihak kehilangan kerja, kehilangan rumah, kehilangan keluarga, kehilangan segala-galanya. Masyarakat mengeluh, ahli politik bersuara, ahli keluarga bersedih tetapi setiap insan itu juga yang akan menanggungnya. Lantaran itu, pembaca kena berani menukar kulit juga. Pembaca kena berani melakukan apa-apa sahaja pekerjaan yang boleh membawa rezeki secara halal dan betul.

Jika pembaca berasa tidak selesa atau mendapati jauh dalam hati pembaca ada satu perasaan yang tidak selesa dalam hidup dan kerjaya, mungkin sudah sampai masanya pembaca menukar kulit sendiri. Apabila pembaca menukar kulit itu saya yakin pembaca tidak akan kehilangan keperibadian pembaca yang sebenar. Malah, pembaca akan menemukan satu penemuan diri yang jauh lebih baik daripada sebelum ini.

Kita perlu menukar kulit untuk menemui diri kita yang sebenarnya.



Buat ayah saya...

Ayah saya meninggal dunia hampir 3 dekad yang lalu. Ketika itu umur saya masih muda baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan mula bekerja dengan sebuah universiti tempatan. Saya tidak menyedari betapa pentingnya seorang ayah sehingga ayah saya meninggal dunia. Ketika kematiannya, saya menangis dan menjerit-jerit sepanjang masa. Saya juga tidak pergi ke pejabat agak lama. Nasib baik majikan saya pada masa itu (Profesor Norani Othman) memahaminya. Dia dan suaminya begitu memahami dengan memberikan masa, ruang dan kata-kata yang menenangkan diri.

Namun, semakin hari semakin saya memahaminya bahawa itulah erti kehidupan. Peristiwa kehilangan orang tersayang bukanlah satu peristiwa yang saya harap pembaca akan mengalaminya tetapi dalam realitinya, kita semua akan menemukan ajal masing-masing. Kematian merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan ini. Apabila kematian berlaku terhadap seseorang yang kita kasihi sudah pasti kehidupan orang yang masih hidup itu agak berubah. Berubah sama sekali.

Saya menyedari saya sudah memahami dan menerima kematian ayah saya tetapi saya juga mengakui betapa pedihnya kematian itu. Saya beranggapan tiga dekad akan mampu menghilangkan kesedihan itu tetapi sangkaan saya silap dan saya beranggapan pembaca juga bersetuju. Bagaimana kita mahu melupakan seseorang yang begitu penting dalam hidup kita sebelum kita sendiri memahami tentang diri sendiri?

Arwah ayah saya seorang pesara tentera. Dia meninggal dunia kerana mengalami kanser. Ayah saya, Mahat akan terus berada dalam hati saya sehinggalah saya juga meninggalkan dunia ini mengikut takdir Tuhan. Saya bersyukur atas didikan ayah saya jugalah saya menjadi anak dan abang yang lebih bertanggungjawab serta lelaki yang mengenal erti kasih sayang, memahami dan cuba melakukan sesuatu untuk keluarga.

Jadi, bagaimana kita menilai diri seseorang itu? Berdasarkan wang yang dimiliki? Jumlah rumah yang dibelinya? Atau kejayaan kerjayanya selama hidupnya? Ayah saya tidak memiliki semua yang dihuraikan tadi. Dia pesara tentera sahaja.

Pada saya, kelebihan ayah saya ialah sikap tanggungjawabnya kepada keluarga. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk memastikan keluarganya boleh hidup dengan selesa terutama makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

Pernah suatu ketika itu saya bersekolah di sebuah sekolah berasrama di Negeri Sembilan. Saya dilantik sebagai pengawas lalu memerlukan kasut berwarna hitam. Ayah membelinya dan saya berasa gembira. Namun, apabila saya berjalan-jalan di Seremban dengan rakan-rakan pada suatu hujung minggu, saya ternampak harga kasut itu yang begitu mahal. Sememangnya harga kasut saya itu tidak setanding dengan kasut Nike tahun 2020 tetapi untuk pelajar sekolah tahun 1980-an harganya memang mahal. Saya berdiri lama di cermin kedai kasut itu sambil melihat bayangan ayah saya yang seolah-olah berada di depan dengan satu senyuman dan tanda isyarat ok.

Saya kehilangan ayah saya dalam bentuk fizikal tetapi tidak dalam aspek emosi lalu situasi ini menyebabkan saya betul-betul sedih apabila dirinya sudah tiada di dunia ini. Jantung saya rasa dirobek secara tiba-tiba. Namun, saya cuba untuk menenangkan diri dengan mengucapkan syukur kerana mempunyai ayah sepertinya. Saya juga selalu mengingatkan diri ini bahawa semua ciri-ciri positif ayah saya sudah saya miliki secara tidak saya sedari sepanjang usia saya yang sudah melebihi 5 dekad ini.

Ayah saya meninggal ketika usianya belum lagi mencecah 50 tetapi hidupnya banyak membantu orang lain. Dia suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Sebut sahaja kenduri kendara pasti ayah akan berada di situ. Panggil sahaja mesyuarat surau pasti ayah akan muncul. Buat sahaja gotong-royong ayah akan berdiri sejak pagi. Dia suka berbual dengan sesiapa sahaja yang mahu berbual dengannya baik Melayu, Cina, dan India. Mungkin inilah sepatutnya cara kita menilai kehidupan seseorang itu dalam hidupnya setelah insan itu meninggalkan alam kehidupan ini.

Ayah, terima kasih atas segala-galanya dan saya menyayangi anda dulu, sekarang, serta selama-lamanya.

Pakej Penyediaan Bahan Artikel WEB dan BLOG serta IG/FB 2020

Saya mempunyai beberapa pakej menyelesaikan urusan penulisan web/blog/IG/FB yang menarik. Pakej ini boleh membantu golongan yang tidak mempunyai masa untuk menguruskan perniagaan online mereka. Pelanggan hanya perlu memuat naik bahan yang sudah diterima ke dalam web atau blog atau IG mereka sahaja.

Untuk pelanggan yang memerlukan penulisan artikel, saya ada menyediakan pakej penulisan artikel. Dalam pakej ini saya akan menyediakan 4 artikel yang diperlukan oleh pelanggan mengikut keperluan perniagaan online mereka. Setiap minggu satu artikel akan disediakan. Panjang artikel ini antara 400-500 patah perkataan. 

Manakala untuk pakej IG/FB pula, saya ada menyediakan penyediaan bahan posting yang menarik untuk dimuatkan dalam IG/FB pelanggan. Seyiap post IG/FB ini akan memaparkan maklumat yang diperlukan oleh pelanggan untuk menarik pengunjung IG/FB melihat produk mereka. Setiap minggu, pelanggan akan menerima satu post IF/FB untuk dimuat naik ke akaun mereka sendiri. 

Akhir sekali, saya juga ada menyediakan pakej melukis kartun yang bersesuaian dengan perniagaan web/blog mereka. Satu karektor kartun akan dilukis lalu diberikan kepada pelanggan untuk digunakan mengikut keperlanggan itu sendiri setiap minggu. 

Perniagaan online memerlukan fokus yang tinggi lalu pemilik web/blog/IG/FB perlu membuat tindakan yang tepat dengan membenarkan saya menyiapkan bahan-bahan web anda itu.


Pra-menulis amat penting dalam proses penulisan anda

Pra-menulis

Pra-menulis atau menulis idea merupakan satu tindakan yang perlu dilakukan oleh penulis dalam usaha mereka untuk menulis sesuatu projek itu. Langkah ini amat penting kerana bahagian ini merupakan bahagian yang melibatkan pemikiran dan pembahagian penulisan yang akan dilakukan nanti. Ketika saya mengadakan kelas penulisan untuk pelajar sekolah dan peserta bengekal selalu saya tekankan betapa pentingnya bahagian ini. 

Berdasarkan pengalaman saya menulis terdapat beberapa isu yang perlu diketahui tentang pra-menulis ini. Pertama, bahagian ini merupakan langkah awal dalam setiap proses penulisan itu. Penulis perlu mengetahui topik atau arah penulisan yang hendak dituju oleh penulis apabila membuat pra-menulis ini. Kedua, bahagian pra-menulis ini akan menghasilkan proses-proses menulis yang sistematik seperti idea yang menjadi rangka lalu menjadi sebahagian perenggan yang menghuraikan idea itu tadi. Ketiga, proses pra-menulis ini tidak mempunyai masa iaitu proses ini boleh berlaku pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja mengikut seseorang penulis itu. Keempat, pra-menulis ini memerlukan setiap penulis membawa buku contengan dan pen untuk menulis sebarang idea yang muncul. kelima, proses pra-menulis ini boleh terhasil menerusi perbincangan dengan orang lain, melayari halaman sesawang dan kemungkinan setelah selesai menonton siaran berita.

Proses pra-menulis saya agak unik kerana saya selalunya mempunyai idea menulis apabila berada di dalam LRT. Saya menggunakan pengangkutan awam agak kerap. Saya juga sering membawa beg galas yang mengisi buku contengan dan ipad. Saya bebas menulis idea apabila memperolehnya tanpa mempedulikan kesilapan ejaan dan tatabahasanya. Apabila sudah selesai, saya akan mula memanjangkan setiap idea yang saya tulis tadi menggunakan ipad saya dengan menggunakan aplikasi pages atau AI Writer.Deraf pertama saya akan terhasil ketika saya berada dalam LRT ( sudah pasti saya terpaksa keluar dari stesen dan duduk di kedai mamak atau mana-mana kedai yang mempunyai meja untuk menulis)

Ringkasnya, setiap orang mempunyai cara menulis pra-menulis yang tersendiri. Mungkin cara saya agak unik tetapi setiap penulis pasti mempunyai kaedah tersendiri. 

Teruskan menulis.

Kenapa saya menulis (mungkin kenapa anda menulis juga)

Saya terpaksa akui bahawa negara ini kemungkinan besar mempunyai banyak penulis. Pengakuan ini saya lakukan berdasarkan reaksi pembaca blog saya tentang penulisan. Hampir setiap minggu apabila saya memuat naikkan bahan dalam blog ini akan ada seseorang insan bertanyakan tentang dunia penulisan. Ada yang bertanyakan tentang masa depan bidang ini dan ada juga yang sedang berjinak-jinak dengan dunia menulis itu. Malah, kewujudan banyak seminar dan bengkel penulisan terutama di Kuala Lumpur membuktikan masyarakat kita sudah ada minat untuk menulis.

Jadi, kenapa saya masih menulis kerana pastinya ada banyak persaingan dalam dunia penulisan itu. Jika pembaca bertanyakan sama ada saya boleh menjana pendapatan yang banyak daripada menulis sudah pasti jawapannya tidak. Sekadar untuk lepas makan dan mungkin membayar sedikit sebanyak bil bulanan. Namun, saya menulis bukan sahaja sebab mahu memperoleh wang tetapi saya menulis kerana beberapa sebab dan kemungkinan pembaca juga menulis atas sebab yang serupa.

Saya menulis kerana menulis itu memberikan saya semangat untuk meneruskan kehidupan ini. Apabila saya menulis di ruang dapur rumah saya banyak perkara boleh saya perhatikan. Saya boleh nampak jiran-jiran saya keluar masuk, saya boleh lihat posmen datang ke rumah jiran, saya boleh menghidu bau masakan jiran dan saya boleh mendengar bunyi kicauan burung yang hinggap di pokok depan rumah saya. Menulis merupakan satu kemahiran hidup yang memberikan satu pengalaman sebenar kepada seseorang manusia tentang kepentingan setiap detik kehidupan mereka itu. Menulis memberikan seseorang itu untuk menimati saat-saat kehidupan yang berlaku pada saat itu.

Saya menulis untuk memastikan nama saya diingati oleh pelajar dan pembaca saya. Ada seorang penulis agong tetapi saya sudah lupa namanya yang mengatakan penulis menulis kerana mempunyai keinginan untuk diingati selepas kematiannya, untuk dilihat sebagai sedikit bijak dan sebagainya lalu saya berpendapat menulis sememangnya sebegitu cuma saya ingin menambah sedikit lagi. Kita semua akan menemui ajal masing-masing lalu jika jasad ini tidak boleh kekal selama-lamanya bukankah baik jika memori tentang diri seseorang itu berkekalan. Lihat sahaja penulis-penulis agong yang lain yang terus diingati oleh pembaca setia mereka. Jadi, bukanlah salah untuk saya menulis supaya diingati kerana alasan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi alasan yang merupakan sifat semula jadi setiap insan yang bakal meninggalkan kehidupan ini agar hidup mereka terus diingati oleh orang tersayang.

Saya menulis untuk mengubah dunia. Saya hidup sederhana kerana saya berpendapat kita sebagai manusia telah menggunakan sumber bumi ini dengan agak keterlaluan. Berita kepenggunaan yang kita dengar di televisyen telah menyebarkan kita bahawa kehidupan sebegitu tidak membawa kebahagian kepada manusia. Kebergantungan kita terhadap dunia kepenggunaan melampau itu boleh dicerminkan menerusi tindakan salah seorang jiran saya yang  mempunyai tujuh buah kereta dan dua buah motosikal berkuasa besar sedangkan ahli keluarga mereka hanya ada 4 orang sahaja. Jadi, menulis memberikan peluang kepada saya dan kemungkinan penulis lain untuk melakukan sesuatu yang berbeda iaitu daripada menggunakan sesuatu itu penulis boleh menghasilkan sesuatu pula.  Hampir setiap minggu, saya akan mengetik keyboard untuk menulis dan setelah selesai menulis saya akan berkongsi penulisan itu dengan semua pembaca. Saya menulis bukan sahaja untuk mengubah dunia ini tetapi juga untuk membina sebuah dunia yang baharu pula.

Saya menulis kerana mahu mengetahui makna kehidupan. Salah satu buku yang menarik yang pernh saya baca ialah “Man’s Search For Meaning” karya Victor Frankl. Buku yang penuh dengan makna kehidupan itu terutaman pengalaman beliau ketika menghadapi cabaran hidup yang begitu getir telah membuktikan tanggapan saya bahawa manusia bukan mencari kegembiraan atau keseronokan dalam kehidupan mereka tetapi manusia melakukan sesuatu kerana mahu mencari makna kehidupan sendiri. Penulisan membolehkan saya mencari makna kehidupan itu sendiri dan membantu pembaca lain untuk mencari makna kehidupan mereka menerusi penceritaan, Setiap karya penulis sama ada dalam bentuk novel, artikel, komik dan sebagainya memberi makna penting kepada seseorang lalu menjadi tugas saya sebegi penulis untuk menghasilkan penulisan yang bukan sahaja sesuai untuk dibaca oleh semua tetapi juga menjadi cerita yang menceritakan kehidupan setiap insan di dunia ini. Penulis menulis kerana penulisan mereka membawa makna kepada dunia.

Mungkin sudah sampai masanya pembaca sendiri menulis untuk sesuatu yang penting buat mereka.


Kriteria yang perlu penulis ada untuk menjadi penulis

Mahu jadi penulis? Penuhi kriteria ini dahulu.

Dalam usaha saya melaksanakan tugas saya sebagai penulis sering kali saya berdepan dengan pelanggan dan penulis yang menanyakan pelbagai soalan dan yang paling selalu ditanya ialah bagaimana saya boleh menjadi penulis. Namun, soalan lain yang sering ditanya dan hendak saya ketengahkan dalam penulisan kali ini ialah bagaimana hendak menjadi penulis.

Penulisan merupakan satu aspek kehidupan yang akan dihadapi oleh seseorang dalam sebahagian kehidupan mereka baik ketika berada di sekolah, di universiti dan kemungkinan alam kerjaya mereka. Itu sebab saya berpendapat menulis satu kemahiran yang perlu diketahui oleh semua pihak terutama dalam kalangan remaja. Pada masa yang sama saya tidak nafikan kemahiran ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh. Jadi, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang jika dia berminat untuk menjadi penulis atau memahirkan penulisannya ke tahap yang lebih baik daripada sebelumnya.

Jika anda tidak membaca anda tidak akan boleh menulis. Ya betul, jika seseorang itu hendak menulis sudah pasti dia perlu membaca. Apabila membaca, seseorang bakal penulis itu boleh mengetahui topik yang ada di dunia ini, masalah yang ada, konflik yang wujud, buku yang sudah ditulis dan sebagainya. Ringkasnya, amalan membaca akan memberikan satu pedoman kepada bakal penulis perkara yang telah sudah dan akan serta sedang berlaku dalam dunia mereka ini. Membaca memberikan idea kepada penulis untuk menulis. Seseorang itu boleh membaca apa-apa bahan daripada novel sehinggalah ke jurnal akademik. Malah, saya sendiri menggalakkan pelajar saya supaya membaca blog dan komik untuk menghayati dunia penulisan dalam jiwa mereka.

Lakukan penyelidikan. Semua jenis penulisan memerlukan penyelidikan. Penulis perlu mengkaji fakta dan perkara yang hendak ditulis. Penulis boleh menyediakan satu buku nota atau fail dan komputer yang menjurus kepada semua maklumat ini. Sebagai contoh, jika penulis hendak menulis tentang sesuatu tempat mungkin penulis perlu melihat tempat atau bandar itu sendiri bersama-sama dengan membuat kajian kedudukan geografi dan masyarakatnya. Penulis menulis untuk memperoleh kepercayaan pembaca walaupun karya mereka itu hanyalah imaginasi sahaja.

Cari jenis penulisan penulis sendiri. Banyak penulis yang menghadiri bengkel saya mahu menjadi penulis ini dan itu tetapi pada saya setiap penulis berbeza. Setiap penulis mempunyai peraturan, nilai dan cita rasa serta pandangan peribadi mereka yang berbeza tetapi menjadi asas kepada proses penghasilan karya nanti. Penulis seharusnya menulis mengikut masa dan budaya serta keinginan naluri mereka sendiri tanpa dibayangi oleh orang lain. Penulis perlu mencari suara penulisan mereka sendiri yang boleh membayangkan nilai dalam diri mereka itu.

Buat satu rutin dan selalu amalkan rutin itu. Semua kemahiran memerlukan disiplin diri yang tinggi. Banyak pihak melihat dengan perasaan kagum apabila penulis mampu menulis satu karya yang menarik tetapi mereka harus sedar bahawa penulis itu terpaksa berusaha keras untuk menghasilkan karyanya. Penulis itu menulis dan menulis dengan satu rutin yang memerlukan ketekunan menulis lalu menilainya hari demi hari. Saya selalunya menulis di dapur rumah saya. Entah mengapa dapur itu lebih sesuai walaupun saya mempunyai bilik studi yang jauh lebih selesa. Setiap jam 9 pagi saya akan menghasilkan masa antara satu hingga dua jam menaip sebarang hasil penulisan. Baik untuk blog saya atau untuk keperluan pelanggan saya yang memerlukannya segera. Isnin hingga Jumaat saya melakukannya. Jika seseorang itu hendak menulis, dia tidak boleh bergantung harap pada mood untuk menulis sahaja. Dia perlu berusaha dan jadikan amalan menulis itu satu rutin. Sememangnya, amalan rutin ini agak sukar tetapi bakal penulis perlu mencarinya sendiri dan menjadikannya satu rutin harian. Mungkin dapur juga pilihan anda?

Kenali audiens pembaca anda sendiri. Saya memulakan kerjaya sebagai penulis dengan menulis untuk akhbar dan majalah. Kemudian saya beralih menulis novel kanak-kanak. Kemudiannya pula, saya menulis untuk buku pendidikan sekolah. Sekarang pula, saya memberikan perhatian terhadap penerbitan e-buku kerana itulah keperluan pembaca sekarang. Ya, saya berubah mengikut keperluan semasa. Penulis perlu mengetahui pembaca mereka. Tindakan ini penting untuk memudahkan mereka menghasilkan karya dan pada masa yang sama memastikan karya itu menjadi sambutan berdasarkan keperluan pasaran semasa pembaca itu. Adakah pembaca mereka kalangan dewasa? Adakah pembaca mereka jenis romantik? Adakah pembaca mereka jenis akademik? Semua informasi ini akan digunakan oleh penulis untuk merangka kosa kata dalam penulisan atau mencipta watak yang sesuai untuk dibaca oleh pembaca nanti. Cari audiens pembaca penulis itu sendiri.

Menulis dan menulis serta terus menulis. Sama ada penulis setuju atau tidak atau mahu menerimanya atau tidak, menulis ialah satu kemahiran lalu sebagai satu kemahiran menulis perlulah dilakukan sepanjang masa. Buat latihan menulis yang berfokus maksudnya penulis hendaklah anda tujuan menulis supaya latihan menulis itu menjadi satu latihan yang bermakna. Penulis akan berjaya menjadi penulis pada masa depan jika selalu berlatih tetapi berlatih dengan fokus yang betul. Saya sering menjelaskan kepada pelajar saya bahawa untuk menjadi pemain bola sepak anda kena selalu bermain bola sepak lalu jika mahu menjadi penulis seseorang itu seharusnya selalu menulis.

Berbicara dengan orang lain. Penulisan memerlukan bahasa dan bahasa ialah aspek sosial kemanusiaan. Penulis tidak seharusnya menjadi kera sumbang walaupun ketika proses menulis suasana keheningan amat diperlukan. Maksud saya sebagai penulis mereka hendaklah berbicara dengan insan lain tentang penulisan mereka atau tentang apa-apa sahaja yang boleh dibincangkan di kedia kopi atau kafe starbuck itu. Semua interaksi ini akan memberikan penulis satu kelebihan untuk menjadi seorang penulis yang lebih baik. Idea untuk menulis kadangkala bermula daripada pengalaman pihak lain pula. Mungkin juga interaksi dengan orang lain ini boleh meluaskan lagi rangkaian kenalan penulis dalam dunia penerbitan itu.

Hadiri bengkel dan seminar. Saya amat bersetuju jika bakal penulis menghadiri seminar dan bengkel penulisan kerana amalan ini akan melatih mereka untuk menulis bersama-sama individu lain yang turut mempunyai keinginan untuk menjadi seorang penulis. Amalan ini turut meninggikan kualiti penulisan seseorang kerana adanya kritikan dan perkongsian bersama-sama revisi hasil penulisan yang membina itu. Namun, saya menasihati bakal penulis supaya tidak terlalu mempercayai semua nasihat yang diberikan dalam seminar dan bengkel itu kerana saya percaya setiap penulis mempunyai kemahiran dan kelebihan yang berbeza antara satu sama lain. Pada saya bengkel dan seminar menjadi medan untuk melayan kreativiti sebagai satu proses perbincangan yang sihat. Bakal-bakal penulis juga boleh menghadiri bengkel penulisan yang saya lakukan.

Ubah dan ubah dan ubah. Agak sukar untuk menjadi penulis yang berjaya menghasilkan karya, artikel dan sebagainya dengan satu deraf sahaja. Biasanya, karya mereka akan diubah dan diubah setiap kali. Sememangnya penulisan agak memenatkan tetapi aspek ini yang memisahkan antara penulis yang benar-benar mahu berjaya dengan penulis yang hanya mahu menjadi sekadar penulis biasa sahaja. Biarkan karya penulisan anda seketika kemudian lihat dan mengkajinya daripada pandangan yang berbeza pula. Perspektif yang lain supaya penulis dapat melihat kelemahan deraf pertama itu lalu mengubahnya menjadi lebih baik pula.

Ringkasnya, semua insan yang mahu menjadi penulis harus meneruskan usaha mereka. Anda akan menjadi penulis. Mungkin bukan penulis terkenal tetapi anda akan mampu menulis dengan baik lalu semua pengalaman hidup anda akan menjadi sesuatu yang menarik kerana pengalaman sebagai manusialah yang akan membentuk seseorang insan itu menjadi penulis yang berjaya. Teruskan usaha menjadi penulis.

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...