Maklumat peribadi rakyat hilang?

Maklumat peribadi rakyat hilang?


Laporan yang disiarkan oleh akhbar tempatan semalam tentang berlakunya kejadian penjualan data  sebanyak 4 juta penduduk negara ini dalam Internet telah membuka mata semua pihak betapa seriusnya masalah privasi terutama maklumat peribadi seseorang itu. Laporan itu mengatakan bahawa data yang melibatkan nama, emel, nombor telefon dan juga alamat tetap bersama-sama dengan nombor kad pengenalan dan sebagainya memberikan satu amaran kepada kita semua mengenai keperluan mengawal maklumat peribadi ini dengan lebih baik. Data kad pengenalan yang dikatakan terjejas ini membabitkan rakyat Malaysia yang dilahirkan antara tahun 1979 dan 1998.


Menurut laporan akhbar itu pihak polis sedang berusaha untuk menghalang penjualan informasi ini menerusi Internet. Laporan mengenai penjualan data peribadi kad pengenalan ini turut dilaporkan oleh halaman sesawang lowyat.net yang mengatakan bahawa terdapat data rakyat Malaysia yang dijual dengan nilai yang agak tinggi juga di pasaran gelap Internet yang mengkhusus dalam penjualan data masyarakat dunia itu.


Persoalannya bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Apakah tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa (bukan setakat memberikan informasi dalam sidang media sahaja tanpa ada sebarang usaha mengetatkannya)? Apakah kehilangan data ini merupakan satu kecuaian  atau satu perkara yang tidak boleh dielakkan? Bagaimana dengan sistem perisian yang digunakan untuk mengawal data-data sensitif sebegini? Namun, perkara yang paling mengejutkan ialah jika kejadian kehilangan ini didalangi oleh orang dalaman. Jika perkara ini dilakukan oleh orang dalam, sudah pasti rakyat berhak tahu mengenai tindakan susulan yang hendak dilakukan oleh pihak berkuasa. Semua pertanyaan ini perlu dijawab dengan data-data yang boleh disokong kebenarannya.


Kebocoran maklumat peribadi ini amat bahaya kerana banyak pihak yang mempunyai kepentingan tidak baik boleh menggunakan maklumat ini untuk menipu atau memperdayakan pihak lain. Maklumat ini akan menjadi kelebihan penjenayah untuk menggunakannya dalam usaha memberikan keyakinan kepada pihak lain bahawa mereka manusia yang jujur. Akibatnya, jenayah terutama jenayah penipuan akan bertambah pula.


Amalan penjualan data peribadi penduduk di dunia dan kemungkinan rantau Asia Tenggara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Persoalannya sampai bila lagi kita semua perlu mengalami perkara sebegini? Tidak adakah ahli parlimen yang berusaha untuk membawa sebarang cadangan konkrit untuk memastikan data peribadi penduduk negara ini terjamin? Atau masalah ini akan terus didiamkan tanpa sebarang tindakan dan Hanya akan berbangkit semula apabila isu ini timbul pada masa depan. Atau mungkin juga selepas ini amalan menuding jari akan dilakukan tanpa ada sebarang pihak yang berani untuk bertanggungjawab atas insiden ini.


No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...