Sistem pengangkutan awam perlu dirombak atau…

 Sampai bilakah sistem pengangkutan awam negara dibelenggu masalah yang menjejaskan pengguna?


Isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur yang dikatakan luar biasa setelah ramai kembali bekerja di pejabat telah menyebabkan kritikan terhadap sistem pengangkutan awam menjadi-jadi. Kemelut ini diburukkan lagi dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan sistem pengangkutan awam itu yang dilihat tidak menjurus pada masalah sebenar sistem pengangkutan awam bersama-sama dengan kelemahan dalam menyelenggarakan sistem pengangkutan awam tersebut.


Saya menggunakan pengangkutan awam terutama LRT, MRT dan Komuter. Sepanjang masa saya menggunakan pengangkutan awam ini saya tidak nafikan masalah-masalah kelewatan tren dan kekerapan tren yang tidak bersesuaian dengan keperluan pengguna dan jadual perjalanan yang tidak menarik dan kerosakan kemudahan awam di kawasan setesen bukanlah sesuatu yang menarik untuk dibincangkan tetapi itulah hakikatnya. Persoalannya ialah sampai bilakah masalah ini akan dapat diselesaikan? Kenapa masalah ini mengambil masa untuk diselesaikan? 


Satu perkara yang banyak pihak terutama ahli politik dan kini pihak pengurusan atasan syarikat lupa ialah teknologi komunikasi terutama media sosial zaman ini begitu canggih. Semua kata-kata yang dikeluarkan oleh mereka pada masa lampau akan menjerat diri sendiri jika kenyataan-kenyataan yang tidak logik atau tidak disertakan bukti dan hujah yang bernas. Lihat sahaja komen-komen pengguna apabila salah seorang pihak pengurusan sistem pengangkutan awam negara memberikan komennya. Banyak pengguna Internet telah memberikan komen dalam masa yang singkat selepas kenyataan itu disiarkan oleh media massa. Memang ada komen yang pedas untuk didengar tetapi banyak komen yang diberikan itu bernas dan boleh diteliti oleh semua pihak yang bertanggungjawab dengan hati yang terbuka. Perlu diingat bahawa golongan yang memberi komen ini kemungkinan besar rakyat biasa yang tidak menerima gaji yang tinggi atau pendidikan yang tinggi atau pengalaman luas dalam menguruskan syarikat tetapi mereka yang mengalami semua kesulitan akibat kelemahan sistem pengangkutan negara itu. Lantaran itu, komen-komen mereka perlu diberi perhatian atau sekurang-kurangnya dijawab dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab kerana mereka bercakap berdasarkan pengalaman sebenar. 


Usaha kerajaan memberikan tambang percuma kepada penggunaan LRT dan MRT selama sebulan merupakan satu baik (malah perlu diberi tepukan)tetapi adakah masalah kelewatan tren, kesesakan tren, kerosakan tangga bergerak dan sebagainya itu akan dapat diselesaikan selepas sebulan ini? Bukankah lebih baik wang subsidi yang digunakan untuk menampung kos percuma sebulan ini digunakan untuk membaiki beberapa kemudahan yang ada di beberapa buah stesen? Mungkin sistem audio beberapa stesen boleh dibaiki, sistem tangga bergerak dibaiki, tandas diselenggara dengan lebih bersih dan sebagainya. Ini antara sebab utama Malaysia sukar untuk membawa rakyatnya menjadi negara maju iaitu kita menyelesaikan masalah yang rakyat rungutkan dengan tindakan yang tidak tepat. Isu yang rakyat rungutkan bukan isu tambang pengangkutan awam tetapi kekerapan tren, kemudahan di stesen, sistem jadual yang baik, rangkaian pengangkutan bas dan teksi yang mudah di stesen LRT atau MRT atau komuter dan sebagainya.


Jadi, berbalik kepada pertanyaan awal dalam artikel ini tadi, adakah kita perlu menunggu lima tahun lagi sebelum semua masalah pengangkutan awam ini selesai? Atau kita akan terus mengalami perkara ini selama-lamanya kerana sudah lama isu-isu ini berlaku tanpa ada sebarang perubahan yang konkrit.

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...