Jom kita menulis

Menulis mengajar saya sesuatu…


Suatu masa dahulu saya melihat amalan menulis ini hanya untuk golangan tertentu yang dianugerahkan kreativiti untuk menulis atau kebolehan untuk bercakap dalam bahasa tertentu seperti bahasa Inggeris. Hanya apabila saya memasuki alam universiti saya mula memahami dan menyelami kepentingan menulis itu. Menulis penting buat manusia.


Sekarang hidup saya sudah beberapa tahun melepasi angka 50, saya berasa syukur kerana saya boleh menganggap diri saya sebagai penulis. Tanggapan ini bukan sahaja berdasarkan rasa cinta saya yang mendalam untuk menulis setiap hari tetapi kerana menulis juga telah menjadi guru khayalan untuk diri ini. Ketika menulis, saya mempelajari banyak perkara. Menulis seolah-olah seperti kehidupan yang turut memberikan beberapa pengajaran untuk terus menulis.


Ini merupakan beberapa aspek kehidupan yang saya pelajari menerusi amalan menulis itu.


Ketenangan jiwa. Kita tidak boleh menulis jika tidak mempunyai ketenangan jiwa. Penulis sukar untuk menulis jika jiwa dan minda mereka tidak tenang. Saya biasanya menulis di satu sudut bilik bacaan saya tanpa diganggu oleh apa-apa pun. Mungkin sedikit muzik. Itu sahaja. Ketenangan jiwa menjadikan minda dan jiwa penulis satu lalu jejari Mereka boleh menulis dengan mudah.


Mencapai matlamat hari demi hari. Menulis bukanlah satu kerja yang mudah. Untuk menghasilkan satu artikel sepanjang lebh 500 patah perkataan memerlukan kemahiran dan masa yang panjang juga.  Ini belum lagi usaha untuk berfikir dan memulakan sesuatu topik penulisan itu. Lantaran itu, menulis satu hari demi satu hari seolah-olah mendidik kita untuk mencapai matlamat yang realiti secara perlahan-lahan pula.


Konsep penulis sebagai bersendirian tidak benar. Kadangkala, saya mengakui ketika menulis, idea itu datang secara tiba-tiba. Saya berasa idea itu mungkin bukan daripada minda sendiri kerana kadangkala ketika melihat batu di tepi longkang idea tertentu muncul lalu tangan terus mengetuk papan kekunci komputer itu. Ketenangan jiwa yang dicapai itu seolah-olah menjadikan diri penulis bukan bersendirian. Malah, dalam bahagian ini, saya beranggapan aspek keagamaan itu begitu dekat kepada diri seseorang.


Gagal itu satu teladan. Sebagai penulis konsep gagal itu biasa. Berapa kali saya gagal menyiapkan satu ayat?. Berapa kali saya gagal menyiapkan satu perenggan?. Namun semua kegagalan itu memberikan satu keyakinan atau kepuasan yang baharu kepada diri ini. Saya bekerja menulis dengan lebih baik. Saya berusaha menghasilkan hasil kerja yang lebih sempurna. Kegagalan kepada diri saya sebagai penulis ialah gagal memberikan satu semangat untuk saya terus menulis kerana gagal itu membuka satu peluang baharu.


Rasa simpati dan bertimbang rasa pupuk perpaduan. Ya, mungkin ada pembaca yang terkejut bahawa menulis boleh memberikan perasaan sebegini. Sebagai penulis, kita perlu memahami dan meneliti serta menilai sesuatu peristiwa, watak dan sebagainya. Semua bahan penulisan yang dihasilkan sama ada dalam bentuk berita, motivasi, novel, sajak, dan sebagainya pasti berdasarkan pengalaman penulis dalam kehidupan. Perasaan simpati dan timbang rasa yang berlaku akan menjadikan diri penulis lebih memahami diri sendiri.



Kata-kata akhir


Setiap diri manusia di dunia ini cuba mencari tempat tersendiri mereka. Kita banyak belajar daripada persekitaran dan juga kisah yang kita sendiri pilih itu. Jadi, jika anda seorang penulis atau pemuzik, atau pereka fesyen atau apa-apa pun, selalu ingatkan diri bahawa ketabahan dan kesabaran itu satu anugerah yang perlu dimiliki. Ambil masa tersendiri untuk mencapai sesuatu. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk menyiapkan sesuatu sehingga menjadikan diri sendiri tertekan.


Walaupun saya menulis tetapi saya tidak melihat menulis itu perlu bersendirian sepanjang masa. Mengasingkan diri daripada kehidupan dan masyarakat akan hanya menghauskan idea seseorang untuk menulis dalam diri itu. Menulis memerlukan juga penglibatan diri dalam kehidupan nyata yang terbentang luas itu.


Pada masa yang sama, kita hendaklah bersedia menerima kesilapan. Perkara ini akan menjadikan diri kita lebih bersedia untuk berubah dan menjadi lebih baik pada masa depan. Kegagalan itu bermaksud kita mempelajari sesuatu.


Dalam kehidupan dunia yang semakin tercengkam dek pandemik ini, kita perlu memahami kehidupan masyarakat melebihi diri sendiri. Kita perlu lebih bersimpati dengan insan lain. Kita perlu mempunyai sikap timbang rasa kerana sikap ini akan memberikan satu kesimbangan kepada diri dalam mengeluarkan pemikiran, ungkapan dan tindakan mereka.

Ego perlu dikikis segera

Ego sikap yang perlu dikikis sedalam mungkin


Ego memerupakan salah satu masalah yang dialami oleh setiap insan di dunia ini. Sikap ego inilah yang perlu diberi perhatian oleh kita sebagai manusia kerana banyak tindakan kita terutama yang salah disebabkan oleh keegoaan seseorang itu dalam melihat kehidupan ini. Buku Ego is the Enemy yang ditulis oleh Ryan Holiday merupakan satu penulisan yang boleh membuka mata pembaca yang mahu menyelesaikan konsep ego dalam diri mereka.


Kelemahan atau keburukan ego yang paling ketara ialah ego menjadikan diri kita berada dalam dunia khalayan atau delusi. Apabila perasaan delusi ini wujud sudah pasti kita akan berada diri ini begitu bagus, ohsem dan sebagainya terutama apabila diri sudah menjadi terkenal atau dikenali ramai. Delusi ini akan menjadikan rasa ego yang seolah-olah mengesahkan diri kita lebih baik daripada orang lain lalu menyebabkan kita gagal memahami tugasan yang sebenarnya dalam kehidupan itu. Kita melihat dunia daripada sudut diri kita sendiri sahaja tanpa memberikan ruang untuk sudut persepsi lain diberi perhatian.


Begitu juga ego ini akan menyebabkan kita sering berfikiran negatif. Apabila sekumpulan orang kelihatan sedang berbual kita akan seolah-olah beranggapan bahawa mereka sedang berbicara tentang diri kita pula. Setiap masalah yang berlaku akan dipersepsikan sebagai disebabkan oleh pihak lain, peristiwa lain, keluarga dan sebagainya. Ego menyebabkan kita hanya melihat masalah diri sendiri tanpa berusaha untuk menanyakan masalah orang lain kerana sikap ego itu memberikan keyakinan bahawa seseorang orang sedang memerhatikan diri kita pula.


Dalam kehidupan realiti, kita semua hidup sebagai insan biasa yang mempunyai masalah tersendiri. Tidak ada yang unik atau menarik tentang kehidupan kita itu. Maknanya kehidupan kita sama seperti kehidupan insan yang lain di dunia ini. Hidup kita sebagai guru sama dengan kehidupan orang lain yang bekerja sebagai polis. Kita ada masalah tersendiri dan saat-saat ceria yang tersendiri.


Itulah sebabnya kita perlu membuang keegoan dan mengambil sikap merendah diri dan berpijak di bumi nyata. Kita sebagai pelajar, pekerja, atau sebagainya perlu memberikan fokus kepada tugasan yang perlu kita lakukan pada masa itu. Kita tidak boleh membiarkan ego menguasai diri lalu berfikir yang bukan-bukan atau mengalami delusi pula.


Buku ini mengajar kita sebagai manusia untuk membuang rasa ego dan menerima diri sendiri. Kita perlu bijak membezakan tugasan daripada diri sendiri. Maksudnya sebagai guru, kita perlu bertindak menjelaskan pertanyaan pelajar walapun mungkin kita berasa pelajar itu seolah-olah mencabar penerangan kita tadi. Pelajar itu hanya bertanyakan perkara yang tidak difahaminya. Pelajar itu tidak mempunyai niat buruk.


Kita tidak perlu melakukan sesuatu kerana ego kita mengatakan perkara itu perlu dilakukan. Kita tidak perlu sensitif lalu memikirkan semua orang akan berfikir lalu bercerita tentang diri kita. Kita tidak perlu makan hati dengan setiap kritikan yang dilemparkan ketika bekerja atau menjalani kehidupan itu. Kita perlu membuang konsep ego dalam diri sendiri dahulu. 


Barulah kita boleh menikmati kehidupan ini.

Membaca novel boleh bentuk keperibadian manusia juga

Saya mula membaca novel sejak remaja namun ada satu novel yang memberikan impak yang ketara dalam hidup saya. The Killing Floor hasil karya Lee Child. Buku ini saya temui secara tidak sengaja ketika saya tinggal beberapa bulan di Taipei, Taiwan pada suatu masa dahulu. Ketika melepak di sebuah kedai buku di ibu kota itu, saya tertarik dengan judul buku ini lalu membelinya. 


Saya membacanya sebentar di kedai kopi di situ. Kemudiannya menyambungnya ketika menaiki tren untuk kembali ke rumah sahabat yang saya tumpangi itu. Malah, setelah selesai mandi dan makan, saya menyambungnya di bilik tidur untuk sejam lagi sebelum mata besar ini menutup tirainya. Esok saya menyambung dan menyelesaikannya.


Buku itu menarik kerana wataknya. Watak Jack Reacher yang kadangkala memberikan saya peluang untuk berimaginasi. Konsep hidupnya yang berkelana itu sesuai dengan jiwa ini. Begitu juga dengan sikapnya yang mengamalkan konsep minimalisme begitu mudah difahami oleh jiwa ini. Sikapnya yang mengutamakan jalan keluar setiap kali memasuki kedai makan dan pejabat begitu menarik dan unik. Begitu juga konsep memandunya yang kadangkala menghiburkan diri saya yang secara peribadi tidak meminati amalan memandu itu sebaliknya lebih suka menggunakan pengangkutan awam dałam aktiviti harian .


Namun, apabila kita membaca novel tanpa mengira tajuk atau genre, kita sebenarnya berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik. Itu tujuan saya menulis kali ini. Novel boleh membuka minda dan emosi pembaca menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Atas alasan apa?


Perkara ini berlaku kerana novel yang ditulis oleh mana-mana pengarang itu mempunyai jalan cerita yang pelbagai terutama aspek emosi akan memberi impak yang ketara terhadap minda manusia. Apabila kita membaca novel sudah pasti penggunaan bahasa dan struktur bahasa novle itu akan menajamkan lagi kebijaksanaan emosi seseorang. Membaca novel akan membuatkan minda kita boleh membuat simulasi realiti sama seperti komputer yang melakukan pelbagai simulasi untuk mencapai sesuatu objektif itu.


Bayangkan ketika saya membaca buku Jack Reacher ini saya boleh merasakan tindakan yang dilakukan oleh watak seolah-olah saya yang melakukannya.  Secara tidak langsung saya yakin (walaupun saya tidak membuat kajian) bahawa isyarat-isyarat tertentu sudah terpancar dalam minda saya mengenai tindakan-tindakan yang dilakukan oleh watak seperti yang digambarkan oleh penulis itu. Semua ini akan menjadikan minda kita berfungsi dengan sewajarnya.


Jika pembaca belum lagi mengenali Jack Reacher, saya cadangkan anda membacanya terutama karya awal beliau kerana konsep hidupnya yang sederhana itu pastinya memberikan satu perspektif yang berbeza dengan kehidupan manusia yang terlalu mengutamakan kebendaan semata-mata. Atau pilih sahaja mana-mana novel yang anda temui di kedai buku sebagai langkah awal meneroka aspek ini kerana amalan membaca perlu diteruskan.

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...