Rasa syukur membantu seseorang menjadi lebih baik tetapi rasa bersalah menghalang perubahan sikap berlaku.
Dalam suasana negara dan dunia mengalami serangan virus covid-19 yang entah bila akan selesai ini, banyak rakan-rakan saya menyuarakan rasa bersalah mereka kerana mereka mempunyai pekerjaan dan gaji yang mampu menampung kehidupan harian mereka sekeluarga. Mereka merungut bahawa banyak pihak yang terpaksa bersusah payah mengikat perut lalu mereka berasa bersalah pula.
Saya sendiri memahami situasi ini. Betul. Jika hendak dibandingkan dengan orang lain kehidupan saya agak baik. Saya masih mempunyai rumah untuk berteduh. Saya masih boleh bergerak dengan agak mudah dan selesa di dalam rumah saya yang agak luas berbanding dengan mereka yang terpaksa bertahan di rumah yang sempit dan kemungkinan tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki keluar pula. Saya juga dididik oleh ayah dan ibu tentang kepercayaan bahawa rasa bersalah itu sesuatu yang baik untuk diselami. Saya juga mempercayai konsep rasa bersalah itu baik untuk diri manusia.
Namun, bagaimanakah perasaan bersalah itu boleh membantu dalam situsi sebegini? Ketika ada insan yang kehilangan pekerjaan, ada manusia yang terpaksa duduk di rumah yang sempit dengan anak-anak yang ramai, ada orang yang terpaksa berlapar kerana tidak mempunyai wang itu, konsep rasa bersalah itu agak sukar untuk saya menelannya.
Jawapannya mudah sahaja iaitu, perasaan bersalah rakan-rakan itu tidak membantu sesiapa pun. Malah, jika tidak dikawal rasa bersalah itu boleh menyebabkan seseorang itu terus merana lagi sengsara dalam menjalani kehidupan yang serba tak kena pada zaman ini. Saya sering mengingatkan rakan-rakan bahawa rasa bersalah mereka itu juga tidak membawa sebarang makna kepada pihak lain atau mengurangkan bebanan masalah mereka itu.
Jadi, kita semua mesti sedar dan berubah kerana konsep rasa bersalah ini boleh memberi pengajaran yang besar kepada rakan dan diri saya sendiri serta pembaca itu.
Kita seharusnya berasa bersyukur daripada berasa bersalah itu. Kita harus berterima kasih kepada Tuhan, kerajaan, syarikat dan ahli keluarga serta apa-apa yang menjadikan kehidupan kita lebih baik berbanding orang lain. Rasa syukur itu pula kemudiannya hendaklah dijelmakan dalam bentuk memberi penghargaan dan perhatian kepada orang lain pula.
Apabila kita melahirkan rasa kesyukuran itu dengan sepenuh jiwa yang seikhlas mungkin, diri kita akan menjadi pemangkin untuk membawa kebaikan kepada pihak yang lain. Orang yang bersyukur akan menjadi lebih baik, menghabiskan masa membantu orang yang memerlukan dan tidak akan mementingkan diri sendiri terutama dalam suasana kehidupan yang begitu sukar ini. Orang yang bersyukur sedar kelebihan kehidupan yang diterimanya bukanlah satu anugerah tetapi satu tanggungjawab untuk membantu manusia lain yang dalam kesusahan hidup itu.
Jadi, jika kita berasa bersalah atas kebaikan yang kita terima itu, kita seharusnya sedar dan mengakuinya. Kemudian, kita menukar kesedaran itu menjadi kesyukuran setiap hari. Tindakan ini lebih baik dan efektif dalam menjalani kehidupan zaman ini.
Kita harus mulakan setiap hari kita dengan rasa kesyukuran dan membantu mereka yang memerlukannya dengan kewangan, makanan, pakaian, dan perhatian yang sewajarnya.