Perang Ukraine pamerkan kehebatan DRON
Kemungkinan dron peperangan yang terkenal di dunia sebelum ini ialah dron Reaper yang dimiliki oleh Amertika Syarikat. Kemampuannya untuk terbang jauh dan berfungsi dalam satui tempoh yang lama serta membawa muatan persenjataan yang canggih telah menakutkan banyak pihak terutama negara-negara yang pernah mengalami serangan dron ini. Namun, sejak perang di Ukraine meletus, satu nama dron lain pula yang muncul - Bayraktars. Dron keluaran negara Turki ini dikatakan dron yang jauh lebih murah berbanding dengan dron Reaper itu. Malah, saiz dron Turki ini juga begitu jauh lebih kecil.
Gambar-gambar dan video-video yang disiarkan dalam berita dan media sosial telah membuktikan betapa dron kerdil ini berupaya memusnahkan kereta-kereta kebal Rusia dengan begitu efektif sekali. Namun, ramai tidak sedar bahawa penggunaan dron Bayraktars ini sudah terbukti berkesan sebelum ini terutama di Azerbaijan dan juga di Libya dan Syria. Dron ini telah dimajukan oleh sebuah syarikat Turki yang pemiliknya merupakan menantu kepada Presiden Turki ketika ini.
Pada masa yang sama juga, kejayaan penggunaan dron ini mengelirukan kerana semua pihak menyangka Rusia yang mempunyai kelebihan daripada aspek pesawat pejuang dan helikopter pemusnah yang serba canggih tidak mampu untuk memusnahkan dron ini dengan berkesan pula. Kemungkinan juga tentera Ukraine telah berjaya menemukan satu strategi yang membolehkan mereka menggunakan dron ini dengan jayanya atau situasi ini membuktikan ketidakcekapan tentera Rusia dalam peperangan ini. Dron ini dikatakan sebagai sasaran mudah untuk mana-mana pesawat menembak jatuhnya. Begitu juga dengan penggunaan peperangan elektronik yang masih lagi belum dipamerkan secara terperinci oleh Rusia sehingga menimbulkan pertanyaan pelbagai pihak.
No comments:
Post a Comment