Kesihatan mental perlu diberi perhatian semua


Kejadian kematian seorang doktor di sebuah hospital akibat tekanan kerja atau tindakan buli rakan atau tekanan kerja keterlaluan daripada pihak tertentu telah memberikan satu sudut perbincangan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Begitu juga dengan kejadian suami memukul isteri sehingga membawa maut atau memandu secara bahaya di jalan raya dan sebagainya itu memberikan satu persoalan dalam minda kita semua. Dalam artikel ini, saya ingin menekankan kepentingan kesihatan mental itu sendiri. Secara peribadi, saya melihat aspek kesihatan mental ini perlu diberikan perhatian atau status kaedah rawatan yang sama pentingnya seperti kesihatan fizikal seseorang. Mungkin pemeriksaan kesihatan mental perlu dilakukan secara tahunan sama seperti pemeriksaan kesihatan fizikal itu. Kenapakah kesihatan mental penting dalam hidup kita?


Pertama kesihatan mental yang baik akan menjadikan diri seseorang itu lebih mudah untuk mengendalikan stres dalam kehidupannya. Selain itu, kesihatan mental yang baik turut menjadikan kesihatan fizikal seseorang menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mereka yang mempunyai kesihatan mental yang stabil turut mampu untuk memberikan fokus dan bekerja secara lebih produktif lagi. Ringkasnya, kesihatan mental perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana perkara ini telah lama diabaikan oleh kita.


Jadi, bagaimanakah kesihatan mental boleh dicapai? Buat saya, amalan berjalan sangat penting. Saya menggunakan pengangkutan awam terutama LRT dan MRT kerana mahu memastikan saya berjalan (jimatkan kos juga). Berjalan juga memberikan saya satu ruang untuk berfikir tentang kehidupan sendiri tanpa perlu memberikan fokus seperti ketika memandu. Berjalan juga memastikan saya menerima sinaran matahari walaupun berjalan di KL ketika pagi atau petang yang panas terik memang penuh cabaran.


Tindakan membuat sesuatu matlamat juga penting seperti tahun 2022 saya tetapkan matlamat untuk memastikan saya mengambil lebih banyak kursus yang meningkatkan kemahiran diri saya terutama dalam penggunaan teknologi maklumat. Matlamat menjadikan hidup seseorang mempunyai tujuan tertentu. Matlamat perlu ada walaupun mungkin kita gagal mencapai kesemua matlamat itu tetapi kewujudan matlamat memberikan seseorang insan satu objektif yang boleh memberikan suntikan semangat untuk meneruskan cabaran hidupnya.


Pada masa yang sama, amalan bersyukur juga penting. Ucapan terima kasih yang kita ucapkan apabila menerima sesuatu daripada orang lain  merupakan satu bentuk kesyukuran yang paling mudah untuk dilaksanakan oleh sesiapa juga. Konsep syukur memberikan manusia satu penerimaan dalam perkara yang berlaku dalam hidupnya baik perkara positif atau negatif. Syukur satu konsep yang nampak mudah tetapi membawa makna yang sangat mendalam kepada manusia yang mengamalkannya.


Tambahan pula, saya akan pastikan diri saya positif walaupun kehidupan selepas Covid-19 ini masih belum terjamin sepenuhnya. Positif ini wujud dengan berusaha untuk melihat kehidupan saya sebagai sudah mempunyai segala-galanya. Kehidupan mewah tidak semestinya tetapi kehidupan yang menceriakan dan diperoleh dengan ikhlas lebih bermakna. Positif itu bermakna kita akan berusaha mencari jalan menyelesaikan masalah walaupun tempoh masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah itu.


Hujung minggu saya pastikan diri dikelilingi oleh individu-individu yang membawa impak positif sahaja di kedai-kedai kopi atau di taman atau di denai atau pinggiran tasik yang tenang. Saya sanggup menolak jemputan pihak ketiga yang tidak dikenali semata-mata mahu menghabiskan masa dengan individu-individu yang penting dalam hidup saya. Golongan yang memberikan impak negatif terus saya tamatkan kerana saya sedar impak negatif yang berlaku akan membawa kesan untuk jangka masa panjang terhadap kesihatan mental saya.


Perkara yang saya sebutkan di atas merupakan antara perkara yang boleh dilakukan apabila seseorang itu berasa tertekan. Jika ada antara anda berasa stres, tidak gembira dengan perjalanan kehidupan sekarang atau berasa negatif tentang diri, mungkin anda perlu berhenti sejenak lalu melihat dan merancang tindakan susulan yang betul kerana mental yang sihat penting untuk memberikan kesihatan fizikal yang mantap juga. Kita juga boleh berkongsi masalah atau tekanan itu dengan ahli keluarga, kawan dan sesiapa sahaja yang kita percayakan.


Kita hidup sekali sahaja lalu kita perlu gunakan kehidupan ini dengan sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...