Malaysia mahu berubah dalam sukan…

 Malaysia mahu berubah dalam pengurusan sukan…fantasi atau realiti

Kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah wang yang banyak kepada FAM merupakan satu langkah yang baik. Beliau juga mahu FAM mencontohi kejayaan pasukan Chelsea dan Vietnam dalam merangka pelan pembangunan bola sepak mereka. Malaysia memerlukan sokongan sebegini dalam dunia sukan negara terutama bola sepak kerana kemampuan pasukan kebangsaan kita memang masih belum baik lagi. Namun…


Pada masa yang sama, kita juga perlu merenung sejenak semua program pembangunan sukan yang sudah dijalankan selama ini. Adakah semuanya menemukan kejayaan atau kegagalan? Bagaimana dengan proses pengambilan atau pemilihan ahli sukan negara itu? Adakah semua tindakan yang dirancang telah berjaya mencapai kejayaan yang diharapkan oleh kerajaan dalam mencapai status Malaysia sebagai sebuah negara sukan yang berjaya? Adakah semua program baik yang berjaya atau gagal dikaji lalu diberikan cadangan-cadangan perubahannya? Adakah cadangan-cadangan perubahan ini dipatuhi atau dibiarkan sahaja sehingga cadangan-cadangan yang sama muncuk semula pada masa depan? Jika jumlah pingat emas dalam kejohanan Olimpik atau Dunia atau Piala Dunia (bola sepak) diambil kira, saya yakin kebanyakan program sukan negara gagal mencapai matlmat yang hendak mereka capai itu. Sedangkan negara-negara jiran kita terus berjaya melahirkan ahli sukan bertaraf dunia.


Mungkin kita perlu merenung sejenak sama ada wang peruntukan sukan itu digunakan dengan sebaik mungkin atau banyak wang itu dihabiskan untuk tujuan-tujuan pentadbiran atau hanya digunakan untuk membayar gaji pegawai-pegawai yang hanya mahu memanaskan bangku tadbiran sukan negara sahaja. Pegawai-pegawai sukan yang tidak menjalankan tugas mereka akan hanya menghabiskan jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan itu. Lebih baik sebahagian besar wang sumbangan kerajaan digunakan untuk membina padang latihan yang lebih baik atau merangka program penghasilan ahli sukan muda yang efektif. Pembiayaan program ahli sukan muda lebih bermanfaat kerana skim sebegini berupaya menyediakan barisan pelapis ahli sukan yang berkualiti untuk negara pada masa depan. Jika sesebuah persatuan sukan diberik peruntukan jutaan ringgit maka satu garis panduan kejayaan ahli sukan mereka juga hendaklah dicapai kerana jika tidak wang kerajaan itu bolehlah dikatakan membazir atau tidak digunakan dengan sebaik mungkin.


Jika seseorang pegawai dilantik untuk mengetuai sesuatu projek atau badan sukan itu sudah pasti mereka perlu diberi tanggungjawab dan tugas yang jelas. Sebagai contoh dalam tempoh tiga tahun mereka perlu hasilkan dua ahli sukan bertaraf Olimpik atau pasukan kebangsaan berjaya memenangi kejohanan bertaraf dunia. Jika dalam tempoh yang diberi itu mereka gagal maka mereka perlulah diganti dengan indvidu lain yang lebih berkemampuan. Manakala, sepanjang tempoh itu sokongan padu hendaklah diberikan kepada pegawai itu supaya mereka boleh melaksanakan tugas dengan sempurna. Adakah amalan sebegini diamalkan di negara ini. Saya rasa tidak kerana pegawai-pegawai yang lama masih ada manakala ahli sukan pula yang terpaksa dibuang atau tidak dibenarkan untuk meneruskan latihan mereka.


Penggunaan contoh perdana menteri tentang Vietnam memang menarik. Saya difahamkan negara itu juga merupakan antara negara yang mengalami perubahan dan pembangunan ekonomi yang mapan sejak beberapa tahun yang lalu. Kemampuan Vietnam untuk menghasilkan ahli sukan yang berkemampuan membuktikan perancangan yang dilakukan oleh mereka betul. Malaysia perlu meniru pelan perancangan ini lalu membuat perubahan yang sewajarnya mengikut acuan negara kita. Ini bukankah sesuatu yang baharu malah sesiapa sahaja yang benar-benar mahu melihat kemajuan sukan di negara ini akan sanggup melakukannya. Namun, sekali lagi banyak sangat pihak yang mengambil kesempatan terutama golongan ahli politik sehingga perancangan yang dijalankan semuanya berlandaskan kepentingan politik atau mencari publisiti sahaja.


Jadi, adakah kita semua sanggup untuk berubah atau kita hanya sanggup berubah atas kertas sahaja tanpa sanggup melakukan apa-apa perubahan yang sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...