Kenyataan pemimpin politik mula diteliti

 Kenyataan pemimpin mula diteliti


Kenyataan yang mengaitkan pembalakan sebagai satu aktiviti yang sihat untuk spesies harimau di negara ini telah mendapat perhatian semua pihak. Perkara yang ingin saya kupas di sini bukan kenyataan itu tetapi reaksi masyarakat terutama golongan muda di negara ini. Reaksi sebegini perlu difahami oleh pemimpin di negara ini terutama menjelang pilihan raya di Johor nanti. Kenapa reaksi ini amat penting?


Kalau kita lihat sejak kejadian banjir di Selangor dan beberapa kawasan lain di Malaysia, reaksi masyarakat di negara ini semakin pantas dan efektif. Perkara ini dipercepatkan pula dengan isu tindakan pegawai di badan pencegah rasuah yang membeli saham syarikat. Reaksi masyarakat terutama golongan muda begitu pantas jerana mereka menggunakan media sosial untuk berinteraksi. Kalau kita lihat dalam media sosial begitu banyak komen yang menarik tetapi mendalam terhadap semua isu-isu ini. Maknanya, masyarakat mula memahami keperluan untuk membahaskan kenyataan pemimpin-pemimpin di negara ini. Sudah berlalu era 80-an atau 90-an yang menyaksikan semua kenyataan pemimpin-pemimpin itu sebagai sesuatu yang bernas.


Realitinya, banyak pihak di negara ini yang enggan menerima kenyataan bahawa masyarakat mahukan reaksi yang betul daripada pemimpin mereka. Reaksi yang konsisten dan memberikan impak kepada kehidupan masyarakat lalu bukan bercirikan retorik atau setakat cakap-cakap kosong sahaja. Pemimpin kena sedar bahawa semua kenyataan mereka akan diselidiki lalu dikaji oleh golongan muda ini kerana semua tindakan mereka boleh diambil daripada Internet. Sebarang kenyataan yang tidak sepadan atau selari dengan kenyataan sebelum ini pastinya akan menerima kritikan hebat terutama daripada golongan muda. Dunia moden yang serba berkaitan ini akan memberik pelbagai informasi yang berguna kepada masyarakat dalam menilai kenyataan pemimpin-pemimpin politik itu.


Lihat sahaja komen mengenai kaitan pembalakan dan populasi harimau di negara ini. Sebaik sahaja kenyataan itu disiarkan secara rasmi oleh media massa di negara, pelbagai pihak mula memberikan komen dan ada yang menyertakan bukti-bukti Kajian terkini yang cuba menyangkal dakwaan pembalakan memberikan impak positif kepada kehidupan harimau. Malah, tidak kurang juga sindiran tajam yang terjelma menerusi foto yang diedit, ilustrasi kartun yang unik dan sebagainya. Semua ini membuktikan bahawa satu generasi baharu sudah muncul di negara ini iaitu generasi yang enggan menerima bulat-bulat kenyataan pemimpin tanpa disertakan bukti yang sahih. Generasi yang sanggup meneliti setiap reaksi dan kenyataan rasmi pemimpin dengan hati yang penuh kritis.


Pada masa yang sama, kedahagaan generasi muda untuk memberikan kritikan membina ini pastinya akan menjadi semakin rancak terutama jika pilihan raya peringkat negeri Johor dilangsungkan.  Menarik kerana kemungkinan besar golongan muda berpeluang untuk membuang undi dan golongan inilah yang dilihat menjadi pemangkin kepada perubahan terhadap kenyataan  yang tidak disokong oleh bukti yang sahih. Saya yakin lebih banyak isu-isu semasa yang akan dibangkitkan menjelang pilihan raya negeri itu jika kenyatan-kenyataan yang tidak matang diberikan oleh sesiapa sahaja terutama pemimpin-pemimpin politik.


Ringkasnya, jika pemimpin-pemimpin zaman ini mahu terus relevan, mereka juga perlu bijak memberikan kenyataan dan melakukan perkara yang mereka ucapkan dengan memberikan bukti yang kukuh.

Jika mereka masih melihat masyarakat terutama golongan muda sebagai masyarakat era dahulu pastinya mereka akan tersilap langkah dengan ruang media sosial mereka akan dipenuhi dengan pelbagai usikan unik yang bersahaja tetapi penuh makna.


No comments:

Post a Comment

Lima teknik untuk terus menulis

Lima teknik yang saya gunakan untuk selalu menulis Banyak pelajar saya mengalami masalah untuk menulis terutama penulisan untuk sekolah, kol...