LIMA REALITI KEHIDUPAN YANG PERLU KITA FAHAMI


Kita perlu sedar lalu terima erti kehidupan sebenar


Ketika mengajar saya sering berusaha untuk menerangkan perkara sebenar kepada pelajar saya. Maksud saya kehidupan sebenar. Realiti kehidupan ini. Kenapa perkara ini saya tekankan kerana ramai antara pelajar saya enggan menerima realiti kehidupan yang menimpa diri mereka ketika bersekolah dan juga selepas memasuki alam pekerjaan itu. Keengganan ini banyak berlandaskan konsep kebenaran yang sukar untuk diterima oleh manusia. Ringkasnya, kehidupan ini memang banyak perkara yang tidak adil atau sering kita persoalkan tetapi semua ini bergantung pada kemampuan pelajar untuk menerimanya dan menghadapinya sebagai seorang manusia sebenar. Jadi, apakah kebenaran-kebenaran kehidupan yang sering dipersoalkan oleh kita sebagai manusia?


(Realiti 1) Hidup manusia akan terus mengalami cabaran demi cabaran. Banyak antara kita yang berpendapat kehidupan mereka akan menjadi lebih baik jika mereka berusaha mengatasinya. Sering kali kita mendengar komen yang mengatakan bahawa jika kita berusaha pastinya masalah itu akan berjaya. Konsep ini tidak tepat sebenarnya. Pasti akan ada cabaran atau masalah lain yang timbul setelah kita berusaha gigih mengatasi masalah sebelum itu.


Saya yakin anda semua pernah berfikir cabaran yang berlaku itu seolah-olah menduga keimanan diri? Betul. Ketika anda sudah berjaya meningkatkan kemampuan kewangan anda, tiba-tiba kereta pula mengalami kerosakan. Setiap kali anda berjaya mengharungi sesuatu masalah pastinya ada masalah yang lain pula muncul. Kita sering berfikir bahawa kejayaan dalam kehidupan akan berupaya mengelakkan diri daripada masalah yang berlaku. Kita menggunakan pendapatan yang tinggi, kebebasan dalam hidup dan sebagainya tetapi semua ini tidak membawa kesan sebenarnya kerana masalah demi masalah akan berlaku juga.


Masalah dalam kehidupan akan datang dan terus datang tanpa berhenti. Itu realiti.


Namun, dalam kegigihan kita mengatasi satu demi satu masalah yang mendatang itu kita sebenarnya melihat satu keajaiban yang sering kita lupa bahawa masalah mengajar kita eri keliatan hidup atau kegigihan.  Kita perlu melihat masalah yang mendatang daripada sudut yang berbeza. Kita juga perlu sedar bahawa masalah dunia akan sering berlaku lalu kita tidak lagi terkejut apabila mengalaminya.


(Realiti 2) Perkara tidak akan sama seperti dahulu. Manusia sering menggunakan perkataan PATUT buat. Kehidupan dunia ini sememangnya tidak adil kerana ketidakadilan, ketamakan, rasa iri hati, dan sebagainya pasti wujud. Namun, kita tida seharusnya menolak kehidupan dunia itu. Mungkin kita berasa diri patit diberi gaji yang lebih. Namun, anda tidak menerimanya dan mempercayai bahawa gaji yang tinggi itu satu perkara yang patut anda terima bukanlah sesuatu yang baik. Konsep kita harus dapat atau sepatutnya dapat bukanlah satu amalan yang positif.


Tindakan berusaha mencari kerja lain yang lebih baik atau meninggkatkan kualiti kerja atau berusaha berunding dengan majikan untuk kenaikan gaji berkemungkinan besar boleh mengubah semua ini. Amalan merungut dan komplen sahaja tidak membawa apa-apa kesan. Manusia memang suka merungut tetapi rungutan tidak akan membawa apa-apa. Rungutan bukanlah satu strategi yang baik kerana rungutan tidak memberi kesan yang sewajarnya kepada masalah yang dihadapi.


Tenaga yang kita gunakan untuk merungut tentang masalah itu seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah tersebut.


(Realiti 3) Semuanya salah diri sendiri. Betul. Saya tahu apa perkara yang anda fikirkan. Pelbagai alasan kita gunakan apabila berlaku sesuatu perkara dalam kehidupan ini daripada kita dilahirkan dalam keluarga yang miskin, boss tak suka kita, cara cakap yang tidak fasih dan kemungkinan diri kita yang selalu sakit. Sebagai manusia, setiap daripada kita ialah insan yang unik lalu keunikan inilah yang menyebabkan pelbagai cabaran atau masalah berlaku. Kita sebenarnya tahu bahawa semua masalah yang berlaku itu disebabkan oleh diri sendiri tetapi sukar untuk kita terima? Kenapa? Kesukaran ini berlaku kerana kita tidak mahu berubah untuk mengatasi maslaah yang berlaku. Akibat kegagalan untuk berubah itulah kita sahaja yang patut dipersalahkan. Cuma kita tidak mahu menyalahkan diri sendiri sebaliknya kita salahkan pihak lain atau keadaan atau sebagainya. Kaedah menyalah pihak lain lebih mudah kerana tindakan ini tidak memerlukan kita sebagai manusia untuk berubah. Amalan sebegini merupakan satu perkara biasa yang saya lihat berlaku kepada pelajar saya. 


Kita sebenarnya yang menentukan kehidupan sendiri. Adakah kita boleh mengawal perkara yang berlaku kepada diri? Sudah pasti tidak boleh tetapi kita boleh mengawal tindakan kita terhadap perkara atau masalah yang melanda diri itu. Kita yang perlu berubah.


Kita sendiri yang memilih sesuatu tindakan itu tanpa kita sedar atau tidak.


(Realiti 4) Kita bersendirian jadi tidak ada orang akan membantu kita. Ketika pandemik ini pelbagai bantuan dihulurkan oleh kerajaan kepada golongan yang memerlukan (walaupun bantuan itu masih boleh dikaji mendalam kesesuaiannya). Sikap menunggu kerajaan atau majikan atau kawan membantu diri sendiri bukanlah satu sikap yang betul. Jika kita menanti bantuan mereka ini sudah pasti bantuan itu akan menyusul dalam tempoh yang lama lagi. Atau kemungkinan tidak berlaku. Kita tidak boleh menunggu bantuan orang lain kerana mereka juga mempunyai masalah mereka sendiri. Kita perlu melatih diri untuk menyelesaikan semau cabaran secara bersendirian tanpa perlu menagih simpati pihak lain membantunya.


(Realiti 5) Masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu tidak pernah wujud. Saya sudah tahu saya mahu menjadi penulis ketika saya belajar di universiti dahulu tetapi ketika itu saya belum matang lagi lalu saya mahu mengajar kehidupan dunia yang mengutamakan pangkat dan kedudukan serta jawatan. Kematian ayah saya mendesak saya menilai hidup semula lalu perjalanan saya sebagai penulis bermula. Adakah saya mengumumkan minat menulis itu kepada semua? Tidak. Adakah saya membeli mesin taip (ketika itu tiada komputer) atau duduk di bilik berjam-jam untuk menulis? Tidak juga. Saya mula dengan menulis blog walaupun ramai rakan-rakan yang menempelak tindakan saya menulis blog kerana mereka melihat blog tidak memberikan sumber kewangan. Minat itu beralih kepada menulis untuk akhbar dan majalah. Kemudian  menulis buku-buku latihan untuk sekolah sebelum menceburi penulisan novel kanak-kanak. Sekarang saya masih menulis tetapi kebanyakannya untuk kandungan web pihak ketiga dan e-buku ekoran meletusnya minat membaca secara online itu.


Sebenarnya mereka lupa, kuasa yang paling penting ialah kemampuan untuk memulakan sesuatu. Kita perlu mulakan sesuatu. Sebagai contoh jika anda mahu menjalankan perniagaan adakah anda akan menunggu sehingga mempunyai modal? Tahukah anda ada banyak kaedah yang boleh digunakan selain mempunyai model untuk membuka perniagaan? 


Perkara penting yang saya ingin sampaikan dalam artikel ini ialah dalam dunia ini terlalu banyak gangguan atau cabaran. Gangguan dan cabaran ini boleh menjejaskan perjalanan kehidupan harian seseorang. Kita boleh mengatasinya dengan melihat kehidupan dunia ini secara realiti. Kita boleh menunggu untuk dunia berubah menjadi keadaan yang kita mahukan atau kita sebagai manusia boleh berusaha atau mempelajari cara untuk mengharungi cabaran itu. Jadi, saya berharap anda semua boleh melihat kehidupan ini daripada lensa realiti yang sebenarnya dan bukannya realiti kepalsuan yang sengaja diwujudkan oleh masyarakat itu. 




No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...