Kita perlu menukar kulit seperti ular

Mencipta diri baharu bermakna meninggalkan diri yang lama.

Salah satu binatang yang paling saya takut ialah ular. Saya berani dengan ulat, tikus dan cicak tetapi masuk bab ular saya memang mengaku kalah. Rasa geli dan takut itu silih ganti munculnya dalam minda ini. Namun, tanpa kita semua sedari bahawa ular merupakan simbol atau lambang perubahan peradaban dunia. Berbeza dengan kulit manusia, kulit ular tidak berkembang atau membesar mengikut usia secara automatik. Ular terpaksa menukar kulit untuk bertukar saiznya dan perkara ini berlaku dengan kerap sepanjang hayat ular tersebut.

Proses pertukaran kulit ular ini pula bukanlah sesuatu yang menyenangkan atau menyeronokkan. Haiwan itu terpaksa menarik dan mengosok untuk memastikan kulit lamanya terkeluar daripada lapisan kulit baharu itu pula. Malah, jika proses pertukaran kulit ini tidak berjalan dengan baik ular itu boleh menjadi buta dan mati akhirnya kerana gagal membuang lapisan kulis lamanya.

Sepanjang hidup saya, pelbagai jenis pekerjaan saya lakukan. Saya pernah menjadi wartawan. Saya pernah berkhidmat dalam dunia akademik dengan sebuah universiti tempatan. Saya juga menjadi pendidik. Malah, saya pernah menerbitkan beberapa buah novel kanak-kanak dan buku bercorak pendidikan sekolah. Setiap kali saya menukar kerja itu, satu perasaan tidak selesa wujud dalam diri saya. Memang sedikit sebanyak perubahan terpaksa dibuat kerana menjadi penulis dan menjadi wartawan serta pendidik bukanlah sesuatu yang boleh disamakan tugasannya. Namun, saya terpaksa menukar kulit kerjaya saya kerana saya mudah berasa bosan lalu mahu mencuba perkara baharu lain dalam hidup.

Ketika bekerja sebagai wartawan, saya agak bosan terpaksa menulis bahan berita yang kadangkala terpaksa ditulis semula oleh editor untuk keperluan pihak tertentu terutama dalam suasana politik negara yang agak unik ini. Apabila saya menjalankan kajian dengan universiti tempatan tempat saya bekerja, kajian itu menjadi sia-sia kerana laporan demi laporan kajian dilakukan tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap sesuatu isu itu kerana pihak berkuasa melihat sesuatu polemik daripada aspek bajet manakala pihak akademik melihat fenomena yang berlaku sebagai satu keperluan yang perlu ditangani segera demi kelangsungan hidup generasi akan datang.

Apabila saya menjadi penulis menulis untuk pelanggan ada masanya saya berasa sedikit tertekan dengan kerenah pelanggan yang terlalu cerewat tetapi tidak memahami tujuan penulisan yang mereka mahukan itu pula tambahan pula konsep bayaran menjadikan ada pelanggan yang agak keterlaluan tuntutannya sampai boleh jadi gila seseorang penulis itu. Apabila saya menukar menjadi pendidik dengan berpakaian kemas pula terasa banyak pelajar yang suka menghabiskan masa dan wang ibu bapa tanpa berminat untuk belajar sehingga menimbulkan rasa bersalah dalam jiwa ini kerana menerima wang bulanan daripada mereka itu.

Ada rakan-rakan yang mengenali diri saya beranggapan saya mudah untuk menukar kerjaya. Jawapannya salah. Saya sering kehilangan pertimbangan kerana untuk menukar kerja bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Bersalin kulit atau bertukar kerjaya bukanlah sesuatu yang mudah. Golongan yang melihat pertukaran ini sebagai mudah merupakan golongan yang tidak bercakap benar. Rasa marah, menjerit dan sebagainya menjadi kelaziman diri saya apabila menukar kerjaya.

Namun, itulah yang saya lakukan. Saya memang suka menulis, membaca, mengajar, dan mempelajari sesuatu yang ada dalam setiap kerjaya yang saya lakukan itu. Tanpa saya sedari ada dua pekerjaan itu saya lakukan pada masa yang sama. Pagi bersalin kulit menjadi penulis upahan manakala malam menjadi pendidik yang berusaha memahirkan remaja menjadi pelajar yang mampu memperoleh kejayaan dalam peperiksaan.


Menukar kulit atau kerjaya bukanlah satu perkara yang mudah. Saya berharap pembaca blog ini memahaminya. Kulit lama yang sudah kita pakai itu pastinya menjadikan diri lebih selesa atau selamat. Kulit itu menjadi persalinan diri seseorang. Hari demi hari kulit itu menjadikan pembaca insan yang dikenali oleh masyarakat secara lahiriah lalu usaha menukar kulit atau kerjaya baharu bermakna menukar diri pembaca menjadi insan yang jauh berbeza daripada sebelum ini. Pertukaran ini bukanlah sesenang menukar pakaian setiap hari itu.

Jadi, dalam dunia selepas pandemik ini, kita semua kena belajar menukar kulit masing-masing. Jika pembaca masih terus mengekalkan kulit lama atau kerjaya lama atas sebab kerja itu sudah biasa pastinya anda akan berhadapan dengan satu situasi yang serupa seperti era pandemik sekarang ini. Banyak pihak kehilangan kerja, kehilangan rumah, kehilangan keluarga, kehilangan segala-galanya. Masyarakat mengeluh, ahli politik bersuara, ahli keluarga bersedih tetapi setiap insan itu juga yang akan menanggungnya. Lantaran itu, pembaca kena berani menukar kulit juga. Pembaca kena berani melakukan apa-apa sahaja pekerjaan yang boleh membawa rezeki secara halal dan betul.

Jika pembaca berasa tidak selesa atau mendapati jauh dalam hati pembaca ada satu perasaan yang tidak selesa dalam hidup dan kerjaya, mungkin sudah sampai masanya pembaca menukar kulit sendiri. Apabila pembaca menukar kulit itu saya yakin pembaca tidak akan kehilangan keperibadian pembaca yang sebenar. Malah, pembaca akan menemukan satu penemuan diri yang jauh lebih baik daripada sebelum ini.

Kita perlu menukar kulit untuk menemui diri kita yang sebenarnya.



No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...