Ayah saya meninggal dunia hampir 3 dekad yang lalu. Ketika itu umur saya masih muda baru sahaja menamatkan pengajian di universiti dan mula bekerja dengan sebuah universiti tempatan. Saya tidak menyedari betapa pentingnya seorang ayah sehingga ayah saya meninggal dunia. Ketika kematiannya, saya menangis dan menjerit-jerit sepanjang masa. Saya juga tidak pergi ke pejabat agak lama. Nasib baik majikan saya pada masa itu (Profesor Norani Othman) memahaminya. Dia dan suaminya begitu memahami dengan memberikan masa, ruang dan kata-kata yang menenangkan diri.
Namun, semakin hari semakin saya memahaminya bahawa itulah erti kehidupan. Peristiwa kehilangan orang tersayang bukanlah satu peristiwa yang saya harap pembaca akan mengalaminya tetapi dalam realitinya, kita semua akan menemukan ajal masing-masing. Kematian merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan ini. Apabila kematian berlaku terhadap seseorang yang kita kasihi sudah pasti kehidupan orang yang masih hidup itu agak berubah. Berubah sama sekali.
Saya menyedari saya sudah memahami dan menerima kematian ayah saya tetapi saya juga mengakui betapa pedihnya kematian itu. Saya beranggapan tiga dekad akan mampu menghilangkan kesedihan itu tetapi sangkaan saya silap dan saya beranggapan pembaca juga bersetuju. Bagaimana kita mahu melupakan seseorang yang begitu penting dalam hidup kita sebelum kita sendiri memahami tentang diri sendiri?
Arwah ayah saya seorang pesara tentera. Dia meninggal dunia kerana mengalami kanser. Ayah saya, Mahat akan terus berada dalam hati saya sehinggalah saya juga meninggalkan dunia ini mengikut takdir Tuhan. Saya bersyukur atas didikan ayah saya jugalah saya menjadi anak dan abang yang lebih bertanggungjawab serta lelaki yang mengenal erti kasih sayang, memahami dan cuba melakukan sesuatu untuk keluarga.
Jadi, bagaimana kita menilai diri seseorang itu? Berdasarkan wang yang dimiliki? Jumlah rumah yang dibelinya? Atau kejayaan kerjayanya selama hidupnya? Ayah saya tidak memiliki semua yang dihuraikan tadi. Dia pesara tentera sahaja.
Pada saya, kelebihan ayah saya ialah sikap tanggungjawabnya kepada keluarga. Dia sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk memastikan keluarganya boleh hidup dengan selesa terutama makan minum, pakaian dan tempat tinggal.
Pernah suatu ketika itu saya bersekolah di sebuah sekolah berasrama di Negeri Sembilan. Saya dilantik sebagai pengawas lalu memerlukan kasut berwarna hitam. Ayah membelinya dan saya berasa gembira. Namun, apabila saya berjalan-jalan di Seremban dengan rakan-rakan pada suatu hujung minggu, saya ternampak harga kasut itu yang begitu mahal. Sememangnya harga kasut saya itu tidak setanding dengan kasut Nike tahun 2020 tetapi untuk pelajar sekolah tahun 1980-an harganya memang mahal. Saya berdiri lama di cermin kedai kasut itu sambil melihat bayangan ayah saya yang seolah-olah berada di depan dengan satu senyuman dan tanda isyarat ok.
Saya kehilangan ayah saya dalam bentuk fizikal tetapi tidak dalam aspek emosi lalu situasi ini menyebabkan saya betul-betul sedih apabila dirinya sudah tiada di dunia ini. Jantung saya rasa dirobek secara tiba-tiba. Namun, saya cuba untuk menenangkan diri dengan mengucapkan syukur kerana mempunyai ayah sepertinya. Saya juga selalu mengingatkan diri ini bahawa semua ciri-ciri positif ayah saya sudah saya miliki secara tidak saya sedari sepanjang usia saya yang sudah melebihi 5 dekad ini.
Ayah saya meninggal ketika usianya belum lagi mencecah 50 tetapi hidupnya banyak membantu orang lain. Dia suka menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Sebut sahaja kenduri kendara pasti ayah akan berada di situ. Panggil sahaja mesyuarat surau pasti ayah akan muncul. Buat sahaja gotong-royong ayah akan berdiri sejak pagi. Dia suka berbual dengan sesiapa sahaja yang mahu berbual dengannya baik Melayu, Cina, dan India. Mungkin inilah sepatutnya cara kita menilai kehidupan seseorang itu dalam hidupnya setelah insan itu meninggalkan alam kehidupan ini.
Ayah, terima kasih atas segala-galanya dan saya menyayangi anda dulu, sekarang, serta selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment