Peraturan hidup seseorang

Ini peraturan hidup saya…anda pula?


Peraturan hidup penting dalam mengawal perjalanan kehidupan seseorang. Kawalan sebegini akan memberikan seseorang insan untuk memberi tumpuan yang betul dalam hidupnya. Kejelasan erti kehidupan memudahkan manusia untuk membuat keputusan yang betul.


Jadi, saya juga mempunyai beberapa peraturan yang penting dalam hidup saya sendiri. Tujuan saya menulis peraturan saya ini bukan untuk membanggakan diri tetapi untuk memberi semangat kepada pembaca untuk turut membuat peraturan yang serupa mengikut keperluan sendiri.


Peraturan 1. Kurangkan bercakap. 

Selain daripada ketika berada di dalam kelas atau dewan seminar, saya kurang bercakap. Malah, ada jiran-jiran saya memberitahu bahawa mereka tidak mendengar suara-suara kuat daripada rumah saya. Banyak pihak lebih suka bercakap dengan tujuan untuk mendapat perhatian. Sebenarnya perhatian sebegini hanya bersifat sementara. Kita perlu kurangkan bercakap sebaliknya lebih banyak atau kuat bekerja secara diam-diam di belakang tabir. Jika perlu bercakap pastikan perkataan yang dikeluarkan itu membawa manfaat kepada diri dan orang lain.


Peraturan 2. Kurangkan melihat berita, isu politik dan Netflix (menonton televisyen)

Saya sering umpamakan berita, isu politik dan Neftlix sebagai makanan ringan manusia. Makanan ini memang sedap tetapi jika dimakan setiap hari pasti akan membawa kemudaratan yang ketara. Kita perlu sedar bahawa berita biasanya bertujuan untuk menayangkan iklan kepada manusia bukannya untuk menukar kehidupan dengan gemar melaporkan berita-berita sensasi sahaja. Isu politik bertujuan untuk mengetengahkan populariti seseorang yang ingin menjadi pemimpin tetapi tidak mengetahui tujuan sebenar memimpin itu. Politik memang boleh membawa kita untuk melihat ke arah masa depan tetapi kadangkala terlalu banyak sangat isu politik boleh menyebabkan timbul perasaan dendam dan kekalutan serta pergaduhan yang tidak membawa apa-apa perubahan dalam hidup manusia. Manakala, Netflix pula merupakan satu perniagaan yang bermodalkan usaha untuk menjadikan kita tertarik untuk melihat skrin televisyen sepanjang hayat sehingga mengabaikan usaha berbual dengan isteri, anak, dan rakan. Nasihat saya, berita, politik dan neftlix ini mungkin penting tetapi kita harus sedar bahawa realiti kehidupan lebih menarik daripada ketiga-tiga perkara ini.



Peraturan 3. Beli masa sendiri.

Kita biasanya membeli sesuatu kebendaan itu berdasarkan masa kita sendiri. Bayangkan kita pergi bekerja disebabkan kita suka bukannya disebabkan kita terpaksa. Terpaksa membayar bil. Terpaksa membeli kereta mewah. Terpaksa membeli phone baharu. Terpaksa membeli beg berjenama. Perbelanjaan keterlaluan akan menyebabkan masa kita hilang begitu sahaja. Bayangkan, jika kita bekerja untuk membayar kos kehidupan. Cukup untuk makan minum, rumah, dan kemungkinan sedikit simpanan. Jadi, semua wang gaji yang digunakan itu akan mencukupi untuk keperluan. Sekarang, kita kurangkan kos kehidupan sudah pasti jumlah gaji yang diterima sebelum ini akan mempunyai lebihan yang lebih baik pula. Apabila situasi ini berlaku, kita akan melihat kerja itu sebagai sesuatu yang berbeza. Kerja yang dilakukan dilihat lebih memberikan kepuasan tersendiri. Pelbagai perkara menarik akan timbul setelah kita melihat kerja itu sebagai sesuatu yang menarik untuk dilakukan dan bukannya TERPAKSA.


Peraturan 4. Jauhi semua yang berunsur negatif.

Unsur negatif bukan Sahaja membawa masalah tetapi turut mengambil tenaga kita secara tidak disedari. Perkara dan individu yang berunsur negatif perlu dijauhi kerana amalan ini akan menyebbkan tenaga kita disedut beransur-ansur sehingga hilang begitu sahaja. Malah, paling menyedihkan jika kita pula akan terpanruh dengan gejala nagtif itu lalu mengamalkannya. Dalam hidup kita tidak boleh memberi alasan demi alasan atau menyalah orang lain sahaja dalam kehidupan ini. Larikan diri anda daripada golongan sebegini yang akan menyedut tenaga positif anda tersebut.


Peraturan 5. Selalu membaca.

Kita perlu mengukur kehidupan ini dengan amalan membaca buku. Bukan semua orang sanggup menghabiskan wang gaji mereka untuk membeli buku. Namun, banyak orang sanggup menghabiskan wang gaji untuk membeli kereta dan motosikal serta kasut berjenama. Semua buku yang dibaca akan membawa faedah. Novel, agama, tokoh dan sebagainya akan memberikan peluang kepada kita untuk berimaginasi kerana penulisan pengarang akan membawa kita ke alam berfikir sejenak itu. Membaca juga akan membolehkan kita mempelajari sesuatu daripada pengalaman orang lain yang jauh lebih mudah daripada belajar daripada kesilapan diri sendiri.


Peraturan 6. Jadikan diri sendiri kecil.

Dalam minda kita semua beranggapan bahawa kita sebagai pusat kehidupan atau VVIP. Namun dalam realitinya, kita hanyalah seorang daripada berbillion penduduk dunia yang ada kini. Apabila kita beranggapan bahawa diri kita kecil sudah pasti kita tidak akan berfikir bukan-bukan atau mudah tersinggung atau beranggapan bahawa idea yang diberikan oleh kita kepada boss itu sebagai penting lalu perlu dilaksanakan segera.


Peratutan 7. Cari masa untuk bersendirian.

Sehari mempunyai 24 jam dan pastinya kita boleh membiarkan 30 minit atau 45 minit untuk bersendirian tanpa sesiapa. Kita duduk di kedai kopi atau tepi pantai atau mana-mana tempat yang difikirkan sesuai untuk merenung semula kehidupan yang dilalui sebelum ini. Amalan bersendirian ini akan memudahkan kita untuk mengkaji kesilapan-kesilapan lalu supaya tidak melakukannya semula pada masa depan. Bersendirian tanpa sesiapa ini akan membuka minda dan hati kita untuk melihat sesuatu secara objektif.


Peraturan 8. Hargai orang yang berjasa kepada kita.

Ada beberapa orang yang berjasa kepada saya selain ibu bapa dan keluarga. Salah seorang daripada mereka ialah Profesor saya di universiti dahulu. Bantuan diberi seperti rumah sewa dan peluang kerja serta bergaul dengan tokoh-tokoh akademik suatu masa dahulu telah mewarnai kehidupan zaman muda saya. Orang yang membantu kita merupakan seorang insan yang terpuji lalu kita perlu menghormati mereka walaupun kita tidak lagi berada dalam kehidupan harian mereka itu.


Peraturan 9. Masa itu emas.

Dalam kalangan rakan-rakan, mereka mengenali saya sebagai individu yang tepat pada masanya atau berdisiplin. Saya jarang sekali datang lewat ke kelas atau seminar atau pertemuan dengan pelanggan. Jam tangan saya akan disetkan lima minit lebih awal daripada masa rasmi negara. Arwah ayah saya selalu menasihatkan saya bahawa kita tidak patut lewat kerana orang lain menunggu kita. Jadi, saya pastikan saya akan sampai awal biarpun orang yang saya jumpa itu sampai lewat daripada yang dijanjikan.


Ini merupakan peraturan-peraturan dalam hidup saya. Saya setuju peraturan ini tidak akan menjadikan saya jutawan. Malah, pembaca tidak akan menemukan peraturan-peraturan ini dalam mana-mana majalah atau buku kecuali dalam coretan blog saya sahaja. Namun, peraturan-peraturan inilah yang telah membantu saya untuk mengharungi kehidupan lebih 5 dekad ini. Kita semua perlu ada peraturan hidup sendiri.


No comments:

Post a Comment

Aspek psikologi rakyat perlu diberi perhatian

Peristiwa dua pelajar sebuah universiti meninggal dunia baru-baru ini pasti memberikan satu kejutan kepada semua terutama ketika negara seda...