Anda kenal individu di sebelah anda itu?

Anda kenal individu di sebelah anda itu?


Saya akui kemampuan untuk mengkaji lalu menilai dengan tepat sikap atau persona seseorang merupakan satu kemahiran yang penting dalam kehidupan zaman moden ini. Kemahiran ini akan memudahkan manusia untuk mempunyai hubungan yang lebih baik dengan insan lain lalu menghapuskan risiko berlakunya kekecewaan dan kesedihan yang berpanjang. Berdasarkan pengalaman saya dengan individu yang selalu meminta bantuan saya dalam penulisan beberapa pembolehubah telah saya gunakan.


Ingin saya jelaskan di sini bahawa penulisan ini bukan bertujuan untuk menghentam atau menilai orang. Setiap orang mempunyai hak untuk bertanggungjawab atas tindakan mereka dan kadangkala personaliti kita boleh berubah mengikut zaman. Namun, kadangkala ada beberapa pembolehubah yang memberikan pandangan awal tentang sikap seseorang itu.


Cara mereka mempamerkan komitment mereka. Apabila saya memperkatakan aspek komitment bukanlah merujuk perkara yang besar seperti aspek perkahwinan atau apa-apa sebaliknya komitment yang dipamerkan dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh, ada pelanggan saya yang akan memberitahu saya bahawa dia akan sampai di tempat tertentu untuk bertemu saya dalam masa lima minit.  Ada juga pelanggan saya yang mengatakan bahawa dia akan menghubungi saya pada jam 7 malam. Sememangnya, saya akui kita mungkin mempunyai perkara-perkara yang diluar kawalan tetapi kalau pembaca kaji sudah pasti akan ternampak satu corak yang membuktikan seseorang individu itu gagal untuk menyempurnakan komitment mereka. Paling ketara pun mereka akan sering menukar komitment itu. Sikap sebegini membuktikan bahawa individu terbabit tidak boleh diharap atau mereka mungkin tidak bertanggungjawab atas perkara yang mereka ungkapkan atau paling teruk mereka mungkin tidak melihat diri saya sebagai penting dalam urusan projek tersebut.


Cara mereka melayan insan-isan lain yang mungkin lebih rendah kedudukan kewangan atau pangkat. Selalunya perjumpaan saya dengan pelanggan dilakukan di kawasan kafe. Jadi, ujian yang paling mudah ialah cara mereka melayan pelayan kafe. Sudah pasti layanan kepada pelayan kafe mestilah hormat dan ikhlas kerana mereka bekerja di kafe untuk rezeki dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan saya dan Pelanggan tadi. Begitu juga dengan kutu rayau di jalanan yang mungkin menghadapi masalah peribadi tersendiri. Layanan seseorang terhadap golongan sebegini boleh menceritakan pelbagai perkara mengenai sikap seseorang itu. Pernah sekali saya bertemu dengan seorang pelanggan lelaki muda yang bergaya. Kebetulan, kami duduk di luar kafe yang terkenal di Bangsar itu. Kemudian lalu seorang lelaki pertengahan tahun sambil menghulurkan beberapa kuih-muih untuk dijual kepada kami. Saya melihat bagaimana lelaki muda di depan saya itu tersenyum lalu ketawa sambil matanya terbuka luas ke arah lelaki pertengahan tahun itu. Saya tidak meneruskan projek saya dengan lelaki muda itu.


Cara mereka bertindak setelah saya melakukan kesilapan. Kadangkala, saya melakukan kesilapan terutama dalam usaha memenuhi keperluan penulisan pelanggan yang pelbagai. Reaksi pelanggan terhadap kesilapan ikhlas saya ini mendedahkan sikap sebenar seseorang itu. Adakah mereka memperkecilkan orang yang melakukan kesilapan itu? Adakah mereka merendahkan orang itu? Adakah mereka menggunakan perkataan yang seolah-olah kesilapan itu dilakukan sepanjang masa? Tindakan-tindakan sebegini mengesahkan bahawa ada individu yang mula menunjukkan sikap mereka apabila berlakunya kesilapan yang dilakukan oleh orang lain itu. Situasi ini juga memperlihatkan cara seseorang bertindak apabila mereka berada dalam situasi yang getir.


Cara mereka bertindak apabila diri mereka sendiri melakukan kesilapan. Semua orang melakukan kesilapan. Namun, apabila kita mempersoalkan kesilapan mereka itu,  adakah mereka membalasnya dengan sopan, penuh profesional atau sebaliknya. Saya mempunyai seorang pelanggan yang tidak pernah meminta maaf setelah memberikan informasi yang salah terhadap sesuatu projek penulisan itu. Malah, dirinya sering memberikan pelbagai alasan atau paling teruk ialah dia langsung membiarkan salah kesilapan itu berlaku. Nasib baik, saya tidak lagi berurusan dengan pelanggan ini kerana saya berpendapat indvidu yang baik ialah individu yang boleh bertindak dengan profesional apabila berlakunya sesuatu perkara yang tidak disangka-sangka oleh mereka. Dalam hidup, pastinya ada perselisihan atau pertengkaran pendapat tetapi paling penting ialah cara kita bertindak atau memberikan reaksi yang mencerminkan sikap peribadi seseorang itu.


Cara mereka bertindak apabila mahukan sesuatu daripada orang lain. Saya mempunyai seorang rakan yang berbeza sikapnya. Sebagai contoh apabila dia bertemu dengan wanita yang menarik, secara tiba-tiba perangainya menjadi peramah dan ceria. Sebaik sahaja wanita cantik itu meninggalkan pejabat rakan saya bertukar menjadi manusia yang jauh berbeza sikapnya. Begitu juga apabila boss berada di depannya sudah pasti rakan saya itu akan mempamerkan satu sikap yang jauh berbeza daripada kelazimannya. Rakan saya itu mempunyai dua personaliti. Ini maksud saya, kita boleh menilai seseorang itu apabila mereka bersikap yang jauh berbeza apabila berada dalam lingkungan individu yang boleh memberikan mereka sesuatu. Golongan sebegini mungkin lebih mudah dikenali sebagai pembodek dan sanggup meninggalkan rakan jika mereka mahu memperoleh sesuatu kejayaan buat diri sendiri sahaja.


Cara mereka dalam media sosial dan kehidupan realiti. Saya pernah bertemu seorang pelanggan saya yang begitu obses dengan penampilan dirinya dalam Facebook atau IG. Semua foto-fotonya mestilah dalam suasana yang menarik dan penuh sensasi. Dirinya seolah-olah begitu mengutamakan pandangan orang lain terhadap dirinya. Dirinya seolah-olah membuat perkiraan keadaan apabila mahu bersahabat dengan seseorang. Dirinya mahu disahkan atau diakui sebagai seorang diva. Saya menyiapkan projek dengannya dan tidak menghubunginya sejak itu lagi.


Cara mereka menjaga kereta? Kisah ini sering saya ceritakan kepada pelajar saya di kelas. Cara untuk mengenali seseorang mudah sahaja iaitu melihat kereta (atau tandas) seseorang itu. Bukan melihat jenama mewah sebaliknya melihat sama ada kereta itu dipenuhi dengan sampah-sarat atau sbegaianya. Kita boleh melihat karektor seseorang dengan melihat keadaan kereta atau rumah (bukan besar atau kecil ya) mereka kerana cara kita memperlakukan sesuatu (kereta) boleh memberi gambaran cara seseorang itu melakukan sesuatu yang lain dalam kehidupan mereka.


Tujuan penulisan ini seperti yang saya katakan tadi bukanlah untuk menilai seseorang tetapi lebih ke arah menilai seseorang pelanggan yang bakal menentukan sama ada projek itu akan berjaya atau tidak kerana semua indikator ini boleh memudahkan kita untuk melihat nilai dan matlamat serta perkara penting yang dikongsi bersama-sama. Perkara ini penting kerana apabila kita dikelilingi oleh individu yang mempunyai persamaan daripada segi matlamat, konsep kehidupan, dan sebagainya sudah pasti hubungan yang bermuka sebagai pelanggan itu akan merebak menjadi kawan sejati pula.

No comments:

Post a Comment

Aspek psikologi rakyat perlu diberi perhatian

Peristiwa dua pelajar sebuah universiti meninggal dunia baru-baru ini pasti memberikan satu kejutan kepada semua terutama ketika negara seda...