Ratapi kehilangan seseorang

Cara kita meratapi kehilangan seseorang


Apabila saya mendengar kisah seorang calon SPM terpaksa meratapi kehilangan ayahnya sebelum mengambil peperiksaan, satu perasaan sedih berlingkar dalam hati ini. Ingatan saya perlahan-lahan kembali kepada arwah ayah dan ibu saya. Ya, saya sudah tidak mempunyai ayah dan ibu. 


Kesedihan atau grief merupakan sesuatu yang boleh mengubah keperibadian seseorang. Mungkin ada pembaca yang tidak akan bersetuju tetapi saya rasa dengan pengalaman saya melihat ayah dan ibu saya sihat dan meninggal dunia memberikan kelebihan untuk berbicara mengenai kesedihan akibat kehilangan seseorang yang kita sayangi.


Kesedihan merupakan satu proses biasa yang akan berlaku sebagai reaksi kita terhadap kehilangan seseorang. Kadangkala kesedihan itu begitu ketara sehingga boleh menggugat diri sendiri. Rasa terkejut, marah, sedih, tidak percaya dan sebagainya pasti akan muncul. Kesedihan juga akan memberikan impak ketara kepada kesihatan diri dan kemungkinan menyukarkan seseorang itu untuk tidur, makan, berjalan atau berfikir secara logik. Semua simpton yang saya nyatakan tu merupakan sesuatu yang lumrah kerana saya sendiri mengalami salah satunya.  Ringkasnya, semakin ketara kepentingan seseorang itu dalam kehidupan kita semakin ketaralah kesedihan yang bakal melanda.


Ada orang kata kepahitan jiwa itu akan berlalu begitu sahaja jika kita membiarkan kesedihan itu. Berdasarkan pengalaman saya, kita tidak boleh lari daripada kesedihan atau menyembunyikan begitu sahaja. Cuba melupakan kesedihan itu mungkin akan menjadikan kesedihan itu berpanjangan pula. Kesedihan yang melanda perlu dihadapi secara bersemuka dan secara positif. Pada saya itu tindakan yang lebih proaktif apabila kita kehilangan seseorang yang kita sayangi.


Ada orang kata kita perlu nampak kuat ketika menghadapi kesedihan. Pada saya rasa sedih, takut atau dipinggirkan merupakan impak biasa apabila kita kehilangan lalu menangis itu bukan bermakna kita lemah. Kadangkala kita cuba berpura-pura di depan ahli keluarga untuk menahan kesedihan juga bukanlah sesuatu yang membawa kebaikan. Saya masih ingat air mata saya mengalir perlahan-lahan ketika membawa jenazah ayah saya ke liang lahad. 


Ada orang kata jika kita tidak menangis maknanya kita tidak berasa sedih atas kehilangan individu itu. Menangis itu sesuatu yang lumrah dalam perkara kehilnganan ini tetapi bukan semua orang mempamerkan kesedihan mereka menerusi tangisan. Berbanding ketika ayah saya meninggal, saya kurang menangis ketika mak saya meninggalkan kami. Mungkin juga kerana saya mahu memberikan sokongan moral kepada adik saya ketika itu. Setiap insan mempunyai cara mereka tersendiri untuk melahirkan rasa sedih itu.


Ada orang kata kesedihan itu mengambil masa setahun. Entahlah tetapi saya rasa masa itu bergantung kepada individu. Mungkin ada yang lama dan mungkin ada yang sekejap. Buat saya, hampir sebulan lebih saya tidak pergi ke pejabat. Nasib baik, boss saya di UKM ketika itu, Profesor Norani memahami dan membiarkan saya mencari ketenangan diri. 


Ada orang kata meneruskan kehidupan sendiri bermaksud melupakan kehilangan yang dialami. Pada saya meneruskan kehidupan itu bermaksud kita menerima perkara atau takdir yang berlaku tetapi bukan bermakna kita melupakan individu itu. Memori bersama-sama ayah dan ibu akan tetap di hati ini. Setiap kali saya duduk bersendirian menghirup kopi, semua memori saya dengan ayah terutama ketika menaiki kereta api dan ibu kerana menikmati kesedapan masakannya akan bermain-main di depan mata. Malah, saya yakin semua memori yang berlaku akan memberikan satu semangat kepada kita untuk meneruskan kehidupan ini.


Buat pelajar SPM itu, ungkapan takziah saya hulurkan dan semoga kehidupan anda berjalan lancar selepas ini. Saya yakin anda akan mampu meneruskan kehidupan dengan sokongan ahli keluarga dan rakan yang lain.

No comments:

Post a Comment

Minum kopi amalan biasa

Kopi merupakan minuman yang ketiga terbanyak dinikmati oleh masyarakat dunia selepas air kosong dan teh. Buat masa ini, Brazil merupakan neg...