Kes rasuah terus bertambah di Malaysia?


Pada 30 Januari 2021, akhbar Utusan (menerusi satu rencananya) melaporkan bahawa kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah bertambah teruk. Daripada 180 buah negara yang dinilai, Malaysia menduduki tangga ke-57 pada tahun 2020 berbanding tangga ke-51 pada tahun 2019. Saya secara peribadi melihat situasi rasuah di negara ini semakin teruk kerana laporan ini berdasarkan persepsi dan bukannya realiti. Jadi, kemungkinan realiti masalah rasuah itu lebih tinggi berbanding dengan persepsi yang berlaku. Ini sesuatu yang membimbangkan.


Lihat sahaja kes penjualan daging yang tidak halal baru-baru ini. Ada laporan yang mengatakan bahawa perkara ini sudah berdekad-dekad berlaku tetapi tiada tindakan diambil yang secara tidak langsung mengesahkan bahawa wujudnya amalan rasuah dalam kalangan pihak yang bertanggungjawab itu. Begitu juga dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan beberapa ahli politik yang seolah-olah mencerminkan betapa meruncingnya isu ini. Jika perkara sebegini boleh wujud bertahun-tahun sudah pasti amalan rasuahnya juga sudah bertanam agak lama dalam kalangan pihak berkuasa yang terbabit.


Jadi, apakah tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah ini? Saya sering menggunakan Singapura sebagai contoh bandingan bukan disebabkan saya suka Singapura tetapi setiap kali sesuatu laporan antarabangsa diumumkan pastinya jiran kita itu akan mempunyai keududukan yang lebih baik berbanding Malaysia. Saya juga sudah mula muak mendengar hujah bahawa Singapura lebih baik daripada kita kerana negara itu kecil. Rakyatnya sedikit lalu mudah untuk mengawalnya. Singapura lebih baik kerana kawasannya kecil dan sebagainya lagi. Kenapakah kita tidak mahu melihat kedudukan Singapura yang lebih baik daripada kita itu sebagai satu seruan untuk melakukan yang lebih terbaik terutama dalam aspek pembasmian rasuah ini? 



Itu baru isu penjualan daging yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Bagaimana pula dengan isu rasuah dalam aspek perhutan negara atau penglibatan rasuah dalam anggota polis atau pemberian rasuah dalam proses mendapatkan lesen memandu? Jika kita masih berdiam diri dengan masalah rasuah ini sudah pasti kedudukan negara akan terus jatuh pada tahun-tahun berikutnya.


Namun, untuk menolak usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak adil. Jika dilihat menerusi laporan sidang medianya, agak banyak juga tangkapan yang telah dilakukan oleh SPRM ini. Mereka berusaha untuk memastikan jenayah rasuah ini tidak menular tetapi usaha mereka ini memerlukan lebih banyak sokongan dan kemungkinan peruntukan daripada kerajaan. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, kadar tangkapan SPRM jauh lebih banyak dan berkualiti pula terutama kes-kes berprofil tinggi.


Mungkin, kita sebagai rakyat Malaysia harus menukar mentaliti untuk bekerja dengan jujur baik di sektor swasta dan awam. Atau kita sebagai orang biasa sedang menunggu ahli-ahli politik untuk mengambil langkah pertama untuk berubah itu.

No comments:

Post a Comment

Aspek psikologi rakyat perlu diberi perhatian

Peristiwa dua pelajar sebuah universiti meninggal dunia baru-baru ini pasti memberikan satu kejutan kepada semua terutama ketika negara seda...