Pupuk minda menjadi kuat untuk kehidupan lebih baik

Saya juga ada dan pernah mengajar pelajar. Ada pelajar saya berumur bawah 12 tahun dan ada pelajar saya berumur bawah 20 tahun. Malah, ada pelajar saya berumur antara 20an dan 30an. Saya melihat sendiri kesan kejayaan dan kegagalan yang berlaku terhadap seseorang pelajar itu. Pengalaman saya mengesahkan bahawa semuanya bermula dengan minda seseorang itu. Keperibadian seseorang itu ditentukan oleh bahan-bahan pemikiran yang disuapkan oleh ahli keluarga, kawan dan masyarakat serta diri sendiri.



Pemikiran dan sikap kita sendiri yang menentukan cara kita melihat kehidupan ini.


Kualiti kehidupan seseorang insan itu banyak ditentukan oleh kualiti buku-buku yang dibacanya ketika masa senggang. Kualiti insan-insan yang sering dihabiskan masa juga memainkan peranan dalam kualiti kehidupan manusia itu. Begitu juga dengan kualiti hubungan yang dijalinkan oleh seseorang dengan insan lain. Malah paling penting ialah kualiti pemahaman diri seseorang tentang realiti kehidupan semasa berdasarkan kekuatan mindanya.


Lantaran itu, kemampuan untuk meningkatkan kualiti minda seseorang akan turut menjadikan kualiti kehidupan diri menjadi lebih sempurna. Saya sering memberitahu pelajar saya bahawa kemampuan seseorang menyelesaikan masalah peperiksaan dan kehidupan bukan ditentukan oleh kebijaksanaan otak mereka tetapi banyak ditentukan oleh kemampuan atau kedudukan minda dan fizikal pelajar itu ketika menghadapi cabaran tersebut.


Minda yang berkualiti menjadi asas kepada satu kehidupan yang bermakna kerana setiap tindakan yang dilakukan akan membentuk pemikiran minda pada masa depan lalu kehidupan manusia menjadi penentunya. Namun, usaha untuk menukar atau memiliki minda yang berkualiti bukanlah satu proses yang mudah. Malah, lebih tepat lagi proses ini mengambil masa yang panjang. Semua usaha membentuk minda yang berkualiti memerlukan kemampuan insan itu untuk mengekalkan satu pemikiran yang terbuka. Konsep terbuka di sini bermaksud kemampuan mereka untuk mempersoalkan tanggapan dan prinsip diri seseorang itu apabila mengalami atau berhadapan dengan sesuatu perkara.


Kita boleh meningkatkan minda kita jika kita memilih untuk berbuat demikian tetapi jika kita terlalu cepat pula sudah pasti minda itu akan gagal berfungsi lalu kembali kepada keadaan sedia kala pula tanpa wujudnya sebarang perubahan positif yang hakiki.


Kualiti kehidupan menentukan kualiti minda manusia


Untuk memulakan proses menjadikan pemikiran minda seseorang berkualiti sudah pasti mereka perlu memulakannya dengan cuba menerima pandangan yang baharu, prinsip baharu, idea baharu, dan persepsi baharu yang sebelum ini sukar untuk diterima pula.


Apabila kita mendedahkan diri dengan pelbagai idea atau corak pemikiran sudah pasti pemahaman kita terhadap kehidupan menjadi lebih mendalam. Pada masa yang sama pemahaman tentang diri juga berubah tetapi menjadi lebih jelas. Kita boleh memulakan proses mengubah kualiti minda ini dengan membaca lebih banyak buku yang berkualiti terutama buku tentang kehidupan, tokoh, peristiwa sejarah dan sebagainya.


Apabila kita membawa buku berkualiti, mendengar podcast yang berkualiti, menonton filem berkualiti, mempelajari pemikiran tokoh-tokoh pemikir dan sebagainya akan membawa proses mengubah diri seseorang daripada tidak sempurna sebelum ini ke arah satu kesempurnaan pula. Semakin banyak kita mengalami semua perkara ini semakin berkualiti minda diri tersebut. Bahan bacaan seperti buku sering dikatakan bahan santapan minda yang sejati.


Kejayaan bermula daripada cara kita berfikir. Lantaran itu, kita perlu membentuk minda yang berkualiti kerana minda berkualiti inilah yang akan membentuk diri kita menjadi manusia yang lebih sempurna. Jika kita mampu mengubah minda menjadi lebih baik sudah pasti kita berupaya untuk mengubah apa-apa perkara yang berlaku dalam kehidupan nanti.


Jika kita tidak mampu mengubah pemikiran minda kita sudah pasti kita tidak akan mampu mengubah apa-apa dalam kehidupan itu


Kita perlu bersedia untuk berubah atau mengubah minda kita dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan sendiri. Sebarang sikap dan pemikiran yang tidak akan bersesuaian dengan kehidupan sendiri perlu dibuang jauh. Kenal pasti perkara ini terlebih dahulu kemudian kikisnya jauh-jauh. Gantikan perkara-perkara negatif ini dengan perkara positif yang boleh membantu kehidupan sendiri kerana kualiti sikap sendiri turut menentukan kualiti kehidupan manusia itu.


Pemikiran yang terhad atau cetek boleh menjejaskan perkembangan dan prestasi seseorang dalam kehidupan. Perubahan kecil dalam cara berfikir dan kemungkinan perubahan kecil dalam sikap seseorang akan memberi impak yang besar dalam usaha sesiapa sahaja yang mahu mempunyai kehidupan minda yang berkualiti itu kerana diri mereka sedar betapa pentingnya mempunyai satu kualiti kehidupan yang baik.


Jadi, mari kita ubah kualiti pemikiran minda kita semua.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...