JADILAH SEPERTI AIR…
Air ialah keseimbangan. Itu sebab salah satu ungkapan terkenal Bruce Lee ialah JADILAH SEPERTI AIR. Saya rasa ungkapan beliau ini menarik untuk kita bahaskan dalam ruangan ini. Menarik kerana dalam suasana kehidupan yang penuh dengan pandemik, pengangguran, pemotongan gaji, dan stres yang pelbagai itu pastinya kesimbangan dalam hidup sesuatu yang penting dicapai oleh semua orang pada masa ini.
Air tidak melihat kiri dan kanan. Kita tidak perlu risau akan pandangan orang lain. Air hanya bergerak ke hadapan selagi dia mampu. Sememangnya air cuba berubah-ubah tetapi meneruskan perjalananan merupakan satu kemestian. Malah, ketika air tenang pun, unsur alam ini terus mampu untuk memusnahkan persekitarannya secara perlahan-lahan.
Walaupun tidak mempunyai bentuk yang tetap dan kadangkala dikatakan lemah sebenarnya air merupakan salah satu unsur yang kuat di dunia ini. Unsur ini boleh mengalir dan membasahi serta membanjiri lalu memusnahkan apa-apa permukaan di depannya atau benda yang menghalang alirannya itu. Air dalam bentuk ombak tusnami mampu menenggelamkan kapal yang besar saiznya. Ringkasnya, air melakukan apa-apa sahaja yang perlu dilakukan untuk memastikan dirinya terus mengalir.
Air juga sama ada kita sedari atau tidak akan kembali ke tempat asalnya walaupun sudah jauh merantau. Aliran air sungai akhirnya akan sampai di muara untuk bertemu semula dengan laut yang luas selepas sekian lama perjalanannya itu. Kita juga patut meniru kelakuan air ini iaitu meneruskan kehidupan. Pastikan diri mempunyai perancangan hidup tetapi usah memaksa diri dalam kehidupan untuk mencapai matlamat perancangan itu.
Hidup ini sukar untuk diramalkan. Kadangkala, pelbagai cabaran menimpa kehidupan kita sebagai manusia kerdil. Ada kalanya, peluang baharu muncul di depan. Jika kita meniru sikap air pastinya kita bersedia untuk menerima salah satu daripada perkara tadi dengan lebih terbuka. Sebarang perkara yang berlaku pada hari esok, kita hadapi dengan sedikit pengubahsuaian.
Apabila hidup ini meminta kita berhenti. Kita perlu mendengar lalu mematuhinya. Ambil laluan yang berbeza. Ubahsuai. Berubah dengan perlahan-lahan daripada jatuh menjunam ke bawah.
Apabila hidup ini mengatakan ya, kita teruskan. Turuni dengan penuh kepantasan. Bergerak bak sang pelari yang menuju ke garisan penamat. Melompat seperti kijang yang sudah banyak pengalamannya. Ambil peluang itu dan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.
Apabila krisis hidup melanda, cari kekuatan diri. Bentuk gelombang ombak yang besar meninggi itu sangat berguna. Apabila kehidupan kembali tenang, nikmati kenikmatan hidup bak meluncur di permukaan lautan yang tenang membiru itu. Apabila kita menjadi air, kita akan selalu sedar kepentingan hidup kita dalam dunia ini.
Jadi, ubah diri menjadi air, itu matlamat hidup saya.
No comments:
Post a Comment