Kaedah hulurkan bantuan yang efektif

 Saya agak jarang membaca kandungan di dalam Facebook kecuali untuk menghabiskan masa ketika menunggu seseorang. Namun, pada minggu lepas, tergerak hati saya saya dengan satu paparan FB kenalan saya yang menceritakan mengenai nasib satu keluarga yang terpaksa tidur di kereta mereka selama 8 bulan akibat kejadian satu kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di utara Malaysia sebelum ini. Paparan itu kemudiannya menjadi tular dalam kalangan masyarakat di Malaysia. 

Kemudian, ada seorang usahawan tempatan yang lebih suka dikenali dengan panggilan ustaz telah membantu keluarga ini dengan memberikan tempat kediaman sementara. Nasib keluarga ini menjadi semakin baik kerana semakin ramai rakyat lapisan masyarakat Malaysia sudi menghulurkan bantuan kepada mereka. Sikap ustaz dan beberapa pihak yang memberikan bantuan awal ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai naluri kemanusiaan yang tinggi.


Satu laporan berita tempatan yang saya lihat memaparkan betapa berterima kasihnya si ayah kepada semua pihak yang sanggup menghulurkan bantuan itu. Ungkapan si ayah bahawa anaknya akan menikmati tidur di rumah itu masih terngiang-ngiang di telinga ini. Persoalannya, mengapakah selepas 8 bulan barulah keluarga ini diberi bantuan? Mengapakah tidak ada pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengesan dan mencari keluarga-keluarga yang sebegini nasibnya di Malaysia? Bagaimana pula dengan tokoh-tokoh politik yang sepatutnya bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat yang berada di bawah kawasan pilihanraya mereka?


Kejadian yang berlaku ini telah membuktikan bahawa sistem kebajikan di negara ini masih banyak kelemahannya. Pihak berkuasa sewajarnya mencari kaedah untuk mengetahui sebab keluarga ini tidak diberi bantuan yang sewajarnya. Malah, saya berpendapat, individu yang menyiarkan berita mengenai keluarga ini perlu diambil bekerja oleh pihak media massa atau lebih tepat lagi pihak ahli politik kerana kemampuan mereka untuk mengesan lalu menghidu masalah yang melanda kehidupan rakyat jelata dengan pantas lalu menjadikannya tular pula.


Mungkin ada kaedah meminta bantuan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa (saya sendiri tidak pasti) tetapi kejadian ini mengesahkan kemungkinan proses permohonan itu menyusahkan pemohon atau memerlukan pelbagai pengesahan yang agak sukar untuk dilakukan oleh pemohon. Pihak yang bertanggungjawab memikul amanah untuk mencari dan memastikan golongan-golongan seperti keluarga ini terus terbela dengan diberikan bantuan yang sewajarnya. Mereka tidak boleh menunggu sahaja pemohon datang untuk memohon tetapi sebaliknya keluar ke seluruh kawasan untuk mencari sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan kebajikan itu. 


Pihak berkuasa harus sedar bahawa setiap keluarga yang bermasalah ini mempunyai masalah tersendiri yang mungkin menyukarkan mereka untuk memohon bantuan. Perasaan segan, tidak yakin, fikiran bercelaru dan kemungkinan tidak mempunyai pengetahuan untuk memperoleh bantuan turut perlu dikaji dan dteliti oleh pihak bertanggungjawab. Namun, isu yang penting di sini ialah sebagai pihak yang bertanggungjawab mereka perlu membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan itu dengan seberapa segera yang boleh dan bukannya selepas 8 bulan. Bayangkan 8 bulan tidur di dalam kereta!


Begitu juga dengan pihak ahli politik. Mereka harus membuka pintu pejabat mereka dengan lebih luas kerana kejadian ini membuktikan kegagalan mereka untuk membantu ahli masyarakat. Mereka perlu mengerahkan pekerja-pekerja politik mereka untuk keluar mencari insan-insan yang senasib keluarga ini untuk diberi bantuan segera. Mereka perlu memaklumkan kepada masyarakat cara untuk menghubungi mereka sepanjang masa apabila berlakunya kesusahan sebegini. Mereka perlu selalu turun ke padang melihat kehidupan rakyat dan tidak lagi memikirkan masa depan politik mereka sahaja. 


Semoga tidak ada lagi kes seperti kemelut keluarga ini berlaku di Malaysia namun berdasarkan pengalaman saya hidup lebih lima dekad ini, segala-galanya berkemungkinan untuk berlaku di Malaysia yang suatu masa dahulu popular dengan istilah Malaysia BOLEH.



No comments:

Post a Comment

Aspek psikologi rakyat perlu diberi perhatian

Peristiwa dua pelajar sebuah universiti meninggal dunia baru-baru ini pasti memberikan satu kejutan kepada semua terutama ketika negara seda...