Rasuah oh rasuah 


Berdasarkan laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 14 Disember 2020, sudah 50 individu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kegiatan pemalsuan cop kemasukan bagi melintasi sempadan negara. Daripada jumlah tangkapan itu, seramai 28 orang melibatkan pegawai imigresen. Manakala RM800 ribu bersama-sama 26 buah kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi telah dirampas dalam Operasi Selat itu. Persoalannya, mengapakah perkara ini boleh berlaku? Apakah yang mendorong mereka melakukan kegiatan sebegini secara terbuka pula dengan menayangkan kereta-kereta mewah itu? Perasaan sayang akan negara tiada? Perasaan takut terhadap hukuman agama kemudian hari tiada? Perasaan malu kepada anak-anak tiada? Atau mereka benar-benar melihat amalan itu sesuatu yang biasa  lalu percaya bahawa mengambil rasuah itu sesuatu yang lazim berlaku di Malaysia?


Konsep mengambil rasuah tidak boleh dipertikaikan lalu saya enggan membicarakan perkara itu kerana rasuah tetap rasuah. Amalan ini boleh meluaskan ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam mana-mana masyarakat. Rasuah boleh menjejaskan masyarakat secara menyeluruh berbanding beberapa kes jenayah lain. Mana-mana negara yang mempunyai sistem perundangan yang adil dan saksama serta efektif akan mendakwa mereka yang mengambil rasuah dengan seadilnya. Cuma perkara yang ingin saya ketengahkan ialah apakah punca yang menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan ini berani melakukan rasuah dan kemudian sengaja menayangkan kemewahan mereka secara terbuka. Apakah mereka tidak sedar akan ada orang lain yang membuat dakwaan kepada SPRM apabila melihat kereta mewah itu diletak di depan rumah berdasarkan tangga gaji pegawai kerajaan? Atau adakah mereka benar-benar yakin bahawa perkara ditahan oleh polis atau SPRM ini tidak akan berlaku terhadap diri mereka? Atau mereka yakin rasuah sudah menjadi satu kelaziman dalam masyarakat lalu tidak akan ada dakwaan dibuat? Atau mereka sedar mereka mempunyai kuasa untuk menghalang atau menutup dakwaan itu kemudiannya?


Mengapakah saya bertanya perkara ini di dalam hati ini kerana jika (secara teori untuk perbahasan sahaja) saya mengambil rasuah jutaan ringgit, pertama sekali saya akan menyimpan wang itu sahaja. Saya hanya perlu menunggu masa saya pencen atau berhenti kerja lalu membeli sebidang tanah di kawasan kampung untuk hidup selesa. Saya akan menternak kambing, lembu dan ayam. Sekali-sekala saya akan ke Kuala Lumpur memandu kereta kancil untuk menghirup kopi di sebuah kafe yang saya minati.  Itu yang akan saya buat jika saya mengambil rasuah.


Jadi, apabila saya membaca keangkuhan pegawai-pegawai ini mengambil rasuah lalu menayangkan kereta-kereta mewah (malah, saya ada terlihat whatsapp kumpulan yang menceritakan ada kes rasuah yang melibatkan pembelian basikal berharga ribuan ringgit) rasa bingung melanda diri saya. Pegawai-pegawai ini bukannya tidak berpendidikan tinggi lalu saya yakin mereka melakukan rasuah ini kerana mereka yakin mereka akan terlepas. Mereka yakin dengan kredibiliti mereka sebagai pegawai kerajaan mereka tidak akan didakwa. Mereka yakin mereka mampu menutup kes sebegini terutama dengan bantuan rakan-rakan yang lainnya. Itu sahaja penjelasan yang boleh saya terima setelah membaca berita-berita ini. Pemahaman inilah yang membuat saya berasa bimbang dengan situasi negara pada masa depan terutama untuk golongan muda yang akan meneruskan kehidupan di negara ini. Mereka yang akan menerima tempias daripada kewujudan rasuah dalam kalangan masyarakat jika gejala ini berterusan pula.


Namun, persoalan terakhir yang paling penting yang masih berlingkar dalam minda saya ialah adakah ini sahaja pegawai yang terlibat atau ada banyak lagi?

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...