Membaca novel boleh bentuk keperibadian manusia juga

Saya mula membaca novel sejak remaja namun ada satu novel yang memberikan impak yang ketara dalam hidup saya. The Killing Floor hasil karya Lee Child. Buku ini saya temui secara tidak sengaja ketika saya tinggal beberapa bulan di Taipei, Taiwan pada suatu masa dahulu. Ketika melepak di sebuah kedai buku di ibu kota itu, saya tertarik dengan judul buku ini lalu membelinya. 


Saya membacanya sebentar di kedai kopi di situ. Kemudiannya menyambungnya ketika menaiki tren untuk kembali ke rumah sahabat yang saya tumpangi itu. Malah, setelah selesai mandi dan makan, saya menyambungnya di bilik tidur untuk sejam lagi sebelum mata besar ini menutup tirainya. Esok saya menyambung dan menyelesaikannya.


Buku itu menarik kerana wataknya. Watak Jack Reacher yang kadangkala memberikan saya peluang untuk berimaginasi. Konsep hidupnya yang berkelana itu sesuai dengan jiwa ini. Begitu juga dengan sikapnya yang mengamalkan konsep minimalisme begitu mudah difahami oleh jiwa ini. Sikapnya yang mengutamakan jalan keluar setiap kali memasuki kedai makan dan pejabat begitu menarik dan unik. Begitu juga konsep memandunya yang kadangkala menghiburkan diri saya yang secara peribadi tidak meminati amalan memandu itu sebaliknya lebih suka menggunakan pengangkutan awam dałam aktiviti harian .


Namun, apabila kita membaca novel tanpa mengira tajuk atau genre, kita sebenarnya berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik. Itu tujuan saya menulis kali ini. Novel boleh membuka minda dan emosi pembaca menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya. Atas alasan apa?


Perkara ini berlaku kerana novel yang ditulis oleh mana-mana pengarang itu mempunyai jalan cerita yang pelbagai terutama aspek emosi akan memberi impak yang ketara terhadap minda manusia. Apabila kita membaca novel sudah pasti penggunaan bahasa dan struktur bahasa novle itu akan menajamkan lagi kebijaksanaan emosi seseorang. Membaca novel akan membuatkan minda kita boleh membuat simulasi realiti sama seperti komputer yang melakukan pelbagai simulasi untuk mencapai sesuatu objektif itu.


Bayangkan ketika saya membaca buku Jack Reacher ini saya boleh merasakan tindakan yang dilakukan oleh watak seolah-olah saya yang melakukannya.  Secara tidak langsung saya yakin (walaupun saya tidak membuat kajian) bahawa isyarat-isyarat tertentu sudah terpancar dalam minda saya mengenai tindakan-tindakan yang dilakukan oleh watak seperti yang digambarkan oleh penulis itu. Semua ini akan menjadikan minda kita berfungsi dengan sewajarnya.


Jika pembaca belum lagi mengenali Jack Reacher, saya cadangkan anda membacanya terutama karya awal beliau kerana konsep hidupnya yang sederhana itu pastinya memberikan satu perspektif yang berbeza dengan kehidupan manusia yang terlalu mengutamakan kebendaan semata-mata. Atau pilih sahaja mana-mana novel yang anda temui di kedai buku sebagai langkah awal meneroka aspek ini kerana amalan membaca perlu diteruskan.

No comments:

Post a Comment

Pakatan AUKUS timbulkan kemarahan Perancis dan China

Pakatan AUKUS bawa perlumbaan senjata Asia Pasifik Perjanjian Pakatan AUKUS yang melibatkan Amerika Syarikat dan Australia dan UK telah meng...