Kehidupan sukar menghadapi dunia penulis di Malaysia?

Penulis bebas boleh hadapi pandemik covid-19?

Saya turut terlibat dalam ekonomi gig kerana turut melakukan amalan menulis untuk pihak lain lalu pandemik yang berlaku ini menyebabkan pendapatan saya berkurangan dan kekurangan itu agak ketara. Sebelum pandemik ini, boleh dikatakan saya mempunyai tugasan menulis setiap minggu daripada tugasan sekolah, kolej, perniagaan dan majalah serta web atau blog. Namun, kemunculan pandemik ini telah menyebabkan rezeki pendapatan saya tertutup sedikit.

Saya yakin bukan saya sahaja yang mengalami perkara ini tetapi banyak lagi penulis bebas yang lain turut mengalami impak perkara ini. Selain daripada bantuan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang diwarwarkan menerusi media massa, saya rasa penulis bebas seperti saya tidak banyak tempat untuk kami mencari sumber bantuan.

Mungkin perkara yang boleh dilakukan sekarang oleh penulis bebas seperti saya ialah mereka cuba membuat iklan mengenai perkhidmatan mereka menerusi blog atau web sendiri. Penulis mungkin boleh membuat video atau menulis di web sendiri sebagai satu usaha kempen untuk mempromosikan diri penulis kepada lebih ramai lagi pelanggan pada masa depan. Iklan atau promosi sahaja yang boleh dilakukan sekarang dalam situasi pandemik dan kekangan pergerakan yang jauh daripada kebiasaan itu.

Saya juga sudah mula menghantar emel kepada beberapa bakal pelanggan yang sebelum ini saya terpaksa tolak kerana beban kerja yang sangat tinggi pada masa itu. (Pada masa yang sama saya juga mempunyai kelas penulisan untuk pelajar sekolah peringkat SPM dan PT3 yang perlu saya jalankan setiap minggu). Tindakan ini mungkin boleh memberikan beberapa tugasan lagi pada masa depan setelah pandemik ini berjaya dikurangkan impaknya. Kaedah ini memerlukan penghantaran mesej dan panggilan telefon yang kerap kepada sesiapa sahaja yang dikenali oleh penulis untuk memastikan kaedah ini berkesan.

Begitu juga dengan perbelanjaan harian yang perlu dikurangkan terutamanya perbelanjaan yang tidak perlu. Sebagai penulis bebas yang pendapatannya tidak tetap kawalan perbelanjaan amat penting terutama dalam situasi pandemik ini. Saya tidak lagi mengunjungi Starbuck untuk mendapat pemangkin idea menulis sebaliknya saya menghabiskan masa di dapur menikmati kopi cap kapal api beberapa cawan setiap hari itu. Kunjungi ke pusat beli-belah semakin kurang disebabkan faktor kewangan dan usia yang sudah melepasi lima dekad kerana pandemik ini masih lagi wujud di negara ini.

Kehidupan saya sebagai penulis bebas tidak banyak berubah kerana saya masih lagi menulis pada sebelah pagi dan petang untuk memenuhi ruangan dalam blog saya. Menulis boleh memberikan semangat kepada penulis untuk melupakan masalah mereka sebentar dan dalam masa yang saya menghasilkan sesuatu karya yang mungkin boleh disiarkan untuk tatapan umum. Saya juga meneroka bidang e-niaga dengan memperkenalkan web www.jombm.com untuk memudahkan pelajar menulis dan membaca lalu membuat karangan. 

Saya yakin sebagai penulis bebas kita semua mampu mengharungi cabaran pandemik ini. Sebagai penulis kita terpaksa melakukan pelbagai kaedah untuk memperoleh kerja. Ada juga kalangan rakan saya yang menjadikan peluang pandemik ini untuk berehat bersama-sama keluarga kerana mahu menghabiskan masa mereka yang terluang akibat ketiadaan tugasan itu. Apa-apa tindakan yang kita lakukan sebagai penulis perlu juga mengambil kira bahawa situasi pandemik ini akan berlarutan untuk satu tempoh yang lama.
Kehidupan sebagai penulis mungkin terjejas tetapi kita tiada pilihan lalu terpaksa berusaha mengurangkan impaknya. 

Anda tidak menulis bersendirian.



No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...