Hargai Boss kita?

Hargai boss anda?

Semalam saya menemankan kenalan rapat saya untuk membeli sesuatu untuk bossnya. Saya bertanya sebab dia bertindak sedemikian rupa. Katanya dia menghargai bossnya terutama dalam suasana ekonomi yang sebegini teruk. Kenalan saya masih mempunyai kerja, masih mempunyai gaji, dan masih mampu menyara keluarganya. Malah, saya akui hidup kenalan ini dan keluarganya jauh lebih baik berbanding keluarga-keluarga lain di negara ini.

Kami melepak di sebuah pusat beli-belah yang terkenal di ibu kota sambil menghirup kopi dan berbual di sebuah kafe kegemaran saya. Semua perkara yang diungkapkan oleh kenalan saya ini membuatkan saya berasa kagum dengannya. Saya setuju dengan komen-komennya terutama tentang boss. Katanya, kita tidak perlu bersetuju dengan tindakan boss kita tetapi kita mesti menjadi profesional ketika bekerja. Kita juga menurut kenalan saya tidak boleh meminta boss kita menyukai diri kita tetapi kita perlu berusaha menyelesaikan tugasan yang diberikan mengikut arahan boss itu.

Dalam budaya kerja, kita tidak boleh menendang kerusi atau meja apabila tidak bersetuju dengan boss. Kita juga tidak perlu membaling nasi atau lauk ke arahnya jika dia tidak menerima cadangan daripada pekerja. Kita tidak sehrusnya mencalarkan kereta boss. Kita tidak perlu meludah dalam minuman kopi boss itu. Kita juga tidak boleh menengking atau memarahi boss apabila kita diarahkan melakukan sesuatu yang kita tidak sukai itu. Perasaan tidak puas hati pekerja boleh disuarakan tetapi perlu secara profesional.

Sebagai pekerja kita kena menghargai boss kita sendiri. Sama ada boss kita suka atau benci kepada kita , itu perkara kedua kerana selagi kita bekerja dan menerima wang gaji daripada boss, kita terpaksa menelannya. Apabila kita sudah tidak tahan dengan kerenah boss langkah meletak jawatan dengan baik merupakan kaedah yang paling efektif. Dunia kerja di Malaysia ini bukanlah besar jadi semua perkara yang berlaku di pejabat lama pasinya akan diketahui oleh penghuni pejabat baharu juga suatu masa nanti.

Jadi, sebagai pekerja apakah perkara yang boleh kita lakukan sebagai tanda kita menghargai boss kita. Mudah sahaja. Kenalan saya itu sudah bekerja lebih daripada dua puluh tahun sebagai pekerja dan sebagai boss lalu komentarnya mengenai boss saya kongsikan untuk renungan saya dan bekas-bekas pelajar saya yang mungkin sedang berhadapan dengan cabaran menangani boss-boss mereka.

Pertama, pekerja harus mengucapkan terima kasih atas sebarang perkara yang diterimanya. Dalam suasana kehidupan moden ini, ungkapan tq ini lebih mudah disalurkan menerusi penggunaan whatsapp atau SMS sahaja. Kita perlu sedar bahawa boss kita merupakan manusia biasa dan kadangkala emosinya turut terjejas ketika melaksanakan tugas sebagai boss. Ucapan terima kasih yang diberikan terutama setelah menerima sesuatu daripada boss itu merupakan satu langkah yang paling efektif dan profesional dalam menghargai boss. Pemberian hadiah ketika hari jadi atau makanan merupakan satu lagi kaedah simbolik untuk membuktikan penghargaan itu.

Kedua, sebagai pekerja kita perlu hadir pada masa yang ditetapkan oleh boss. Jika boss mengatakan bahawa kita perlu hadir di pejabat jam 9 maka sebelum jam 9 kita seharusnya sudah terpacak di meja sendiri memulakan kerja. Amalan datang kerja ke pejabat mengikut masa merupakan satu aset yang paling penting perlu dimiliki oleh pekerja lalu boss turut berasa gembira. Sebagai pekerja kita harus sedar bahawa kerja itu merupakan satu amanah lalu kita perlu hadir ke pejabat mengikut masa yang ditetapkan supaya kerja atau amanah itu mampu dilaksanakan dengan sempurna.

Amalan menawarkan khidmat atau ringan tulang menjadi satu kaedah yang berkesan untuk membuktikan seseorang pekerja itu menghargai bossnya. Sebagai contoh, ada pekerja lain yang tidak hadir ke pejabat maka kita sebagai pekerja yang ada di pejabat itu boleh menawarkan khidmat untuk menggantikan pekerja tersebut supaya perjalanan urusan pejabat berjalan lancar. Amalan menawarkan khidmat ini bukan sahaja membuktikan pekerja itu menghargai bossnya tetapi turut membuktikan bahawa pekerja itu boleh dan mampu memikul tanggungjawab lain yang ada di pejabat itu pada masa depan.

KIta juga boleh menghargai boss menerusi sikap berterus-terang dan jujur terutama dalam membentangkan sesuatu perkara kepada boss. Sebarang masalah yang berlaku hendaklah dijelaskan dengan betul dan tepat tanpa menyelitkan konsep fitnah atau konsep mencuci tangan sendiri. Semua perkara yang hendak dicadangkan juga boleh diberikan dengan jujur tanpa pekerja mengharapkan sebarang balasan terutama dalam bentuk rasuah yang boleh berlaku terutama jika tempat kerja itu merupakan syarikat besar. Ringkasnya, ketika berinteraksi dengan boss konsep salah ialah salah dan betul ialah betul perlu ditekankan kerana itu tandanya pekerja menghargai bossnya.

Langkah terakhir yang boleh dilakukan oleh pekerja sebagai tanda dia menghargai bossnya ialah dia sendiri memberitahu tentang kebaikan bossnya di khalayak ramai. Mungkin dalam sesuatu majlis yang melibatkan organisasi tempat kerjanya, seseorang pekerja boleh menceritakan kebaikan bossnya kepada rakan kerja lain daripada jabatan yang berbeza . Penghargaan ini turut boleh dibuat di hadapan boss terutama ketika sesuatu majlis pejabat sedang berlangsung.

Kita perlu hargai boss kerana boss memikul tugas berat untuk memastikan syarikat itu hidup dan gaji pekerja terus diterima setiap bulan. Kejayaan dan kegagalan sesuatu projek banyak ditentukan oleh daya kepimpinan seseorang boss lalu sebagai pekerja, kita memikul tugas untuk membantunya supaya projek itu berjaya. Kejayaan boss bermakna syarikat itu mempunyai pekerja yang baik dan kegagalan pula boleh membuktikan bahawa boss dan pekerja syarikat itu tidak mempunyai kemampuan yang secukupnya.

Jadi, usah tendang kerusi, tendang meja, menjerit macam orang gila atau mengata buruk kepada boss kita. Jika kita mahu bekerja, kita sesuaikan diri dengan boss kita atau telan sahaja seperti kata generasi masa ini tetapi jika kita tidak tahan atau berasa selesa lagi maka hantarlah surat berhenti lalu hilang mencari kerja lain tanpa menoleh ke belakang lagi. Kita mempunyai pilihan sendiri cuma kita perlu memilih penyelesaian yang profesional dan matang dalam menangani cabaran kehidupan di pejabat itu.

No comments:

Post a Comment

70 ribu pelajar SPM gaga mendapat sijil SPM?

  70 ribu pelajar SPM gagal memperoleh sijil SPM? Angela 70 ribu bukanlah satu angka yang kecil kerana jumlah ini boleh memenuhi beberapa...